Tuesday, October 26, 2010

Idris Jala :Tenaga Nuklear Antara 10 EPP


Projek Nuclear Power Plant Lembah Tembeling bernilai RM3.6 bilion dalam top agenda DS Najib dan Idris Jala memajukan Jerantut, Pahang.

Cadangan menggunakan tenaga nuklear termasuk satu daripada 10 projek permulaan (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Menteri JPM, DS Idris Jala berkata kerajaan memasukkan tenaga nuklear kerana negara bergantung kepada banyak bahan fosil.

Untuk bergerak ke depan kita perlu meninjau tenaga diperbaharui semula seperti biomas dan biogas.

Terdapat keperluan perundingan mendalam terhadap keselamatan penggunaan tenaga nuklear. 

Kerajaan telah pun berbincang dengan negara-negara nuklear dan terlibat dan berbincang dengan negeri-negeri di mana loji nuklear mungkin di tempatkan. Pahang, Negeri sembilan dan Perak mendahului.

Kerajaan telah meluluskan pembinaan loji tenaga nuklear yang dijangka mula beroperasi menjelang 2021 untuk memenuhi permintaan kuasa negara di masa akan datang.

Menggunakan nuklear untuk menjana kuasa tidak dapat dielakkan kerana penggunaan arang batu dan gas untuk menjana kuasa tidak boleh lagi menampung permintaan tenaga negara memandangkan sumber itu semakin berkurangan.

Tanah juga terhad di mana empangan boleh di bina untuk operasi loji-loji kuasa hidro.

Idris Jala berkata selepas melancarkan ETP: Hala Tuju untuk Malaysia oleh Perdana Menteri DS Najib Tun Razak semalam.

Mungkin ramai rakyat Malaysia yang masih merasa agak terkejut atau tersentak dengan keputusan Majlis Perundingan Ekonomi (MPEN) yang memberi lampu hijau kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk memulakan langkah rancangan pembinaan loji jana kuasa nuklear pertama di Asia Tenggara.

Mana tidaknya. Ini kerana ungkapan nuklear dianggap sebagai sesuatu yang mempunyai pantang larang yang tersendiri kerana penggunaannya sudah pasti akan membawa kepada suatu petanda yang tidak baik. Tidak kira sama ada pembangunan nuklear untuk tujuan tenaga atau senjata, persepsi yang sudah pasti timbul adalah penggunaan nuklear adalah satu malapetaka.

Tambahan pula Malaysia tidak dikenali sebagai negara yang mempunyai teknologi dan kemahiran nuklear membuatkan ramai rakyat Malaysia masih sangsi dengan saranan MPEN.

Kebiasaannya, seseorang pemimpin tidak kira dari negara maju atau sedang membangun, seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada menggunakan ungkapan nuklear tidak kira sama ada untuk kegunaan keamanan atau ketenteraan kerana ia boleh memakan diri memandangkan isu tersebut begitu sensitif.

Sebab itulah, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika melakukan lawatan rasmi ke Korea Selatan pada Jun 2009 mengumumkan bahawa Malaysia berminat untuk membina loji nuklear berskala kecil bagi tujuan menjana kuasa elektrik, maka ramai penganalisis berpendapat kenyataan tersebut dilihat sebagai berani dan penuh risiko.

Keputusan MPEN pula dianggap sebagai kemuncak kepada harapan Malaysia untuk memiliki teknologi nuklear dan seterusnya menjadikannya sebagai sumber penjanaan kuasa elektrik.

Sebagai langkah awal, seperti yang ditegaskan oleh Najib dalam blog beliau bahawa satu kajian kebolehlaksanaan terhadap penggunaan tenaga nuklear untuk menjana tenaga elektrik di negara ini akan dilaksanakan untuk memastikan keputusan yang bakal dibuat itu memberi manfaat optimum.

Perdana Menteri juga menegaskan, pandangan rakyat terhadap penggunaan nuklear ataupun sebarang tenaga alternatif yang belum dipertimbangkan bagi membolehkan Malaysia diletakkan sebagai pelopor revolusi bumi hijau akan diambil kira. Kedua-dua langkah tersebut amat penting dilaksanakan untuk mengelak berlakunya kesilapan pelaksanaan dasar oleh pemimpin tertinggi dan salah tafsir di kalangan rakyat.

Berbanding dengan negara Asean lain seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam, Malaysia dikatakan agak ketinggalan dalam membangunkan program nuklear untuk kuasa elektrik. Pembangunan loji nuklear memerlukan masa paling minimum 15 tahun sebelum ia berfungsi sepenuhnya. Ini kerana pembinaannya terpaksa melalui banyak peringkat tapisan yang agak ketat dari segi perundangan dan protokol.

Malaysia pernah satu ketika mempunyai program pembangunan nuklear untuk tenaga yang begitu mantap tiga dekad yang lalu. Oleh kerana pada ketika itu, harga minyak mentah begitu murah sehingga mencapai tahap AS$5 setong (RM16), program tersebut bagaikan telah dilupakan.

Jika diandaikan dasar nuklear tahun 70-an diteruskan maka sudah pasti Malaysia akan mempunyai loji nuklear yang bukan sahaja mampu menjana tenaga elektrik tetapi juga untuk penyelidikan berdaya tinggi.

Pada ketika ini, sebahagian besar kuasa elektrik dihasilkan melalui penggunaan gas asli iaitu sebanyak 60 peratus, sementara melalui arang batu pula merangkumi 24 peratus. Tenaga hidro hanya menyumbang sebahagian kecil daripada keperluan elektrik negara. Peratus pergantungan terhadap gas asli dan arang batu yang begitu tinggi bukan sahaja menyumbang kepada kadar pengeluaran karbon yang tinggi tetapi juga begitu kritikal dari segi strategik.
Projek Hidroelektrik Sungai Tekai Lembah Tembeling bernilai RM2.7 bilion yang mendapat perhatian DS Najib bagi menampung keperluan tenaga alternatif diperbaharui. Tenaga hidro hanya menyumbang sebahagian kecil daripada keperluan elektrik negara. 

Amerika Syarikat (AS) yang merupakan pelopor teknologi nuklear dikatakan agak ketinggalan kerana hanya 20 peratus kuasa elektrik dijana melalui nuklear. Berbeza dengan Perancis, loji nuklear mereka menghasilkan 80 peratus tenaga elektrik untuk kegunaan seluruh negara.

Sejak berlakunya peristiwa kebocoran loji nuklear Three Mile Island pada tahun 1979, dasar AS terhadap program nuklear untuk elektrik tidak diberi perhatian langsung dan akibatnya tiada satu pun loji nuklear dibangunkan sepanjang 30 tahun lalu. Dasar yang diambil oleh AS dikatakan agak aneh kerana pembangunan program nuklear untuk senjata pada era tersebut langsung tidak terbantut, malah semakin rancak.

Presiden Barack Obama mengakui kepincangan dasar tersebut dengan menabur beberapa inisiatif baru supaya lebih banyak loji nuklear dapat dibangunkan secepat mungkin. China adalah negara yang paling aktif membina loji nuklear yang mana dianggarkan setiap tiga bulan, satu loji nuklear baru dibina.

Tidak dapat dinafikan lagi tenaga elektrik yang diraih dari kuasa nuklear adalah kaedah paling selamat, mesra alam sekitar, boleh diharap dan murah dalam jangka masa panjang. Walaupun pembinaan loji nuklear memerlukan pelaburan awal yang agak besar, tetapi faedah yang diperoleh adalah melebihi daripada segala-galanya.

Apa yang perlu diketengahkan adalah pendekatan yang perlu diambil untuk menyakinkan rakyat supaya menerima pembangunan teknologi nuklear. Pendekatan yang diambil mesti digerakkan mulai sekarang supaya Malaysia tidak ketinggalan terlalu jauh. Tetapi apabila pemimpin tertinggi negara telah menyatakan dengan jelas bahawa penggunaan kuasa nuklear adalah alternatif terbaik untuk menjana kuasa elektrik, maka ini sudah tentu akan memudahkan tugas untuk menyakinkan rakyat.

Memang benar bahawa peristiwa kebocoran loji nuklear Chernobyl pada tahun 1986 adalah malapetaka yang perlu dihindarkan dan cara terbaik adalah dengan tidak membangunkan loji nuklear. Tetapi perlu diberi perhatian bahawa teknologi yang digunakan oleh Rusia jauh ketinggalan dan sememangnya tidak selamat. Teknologi ketika ini terutama sekali yang dimiliki oleh Perancis, Korea Selatan dan Jepun sudah terbukti keberkesanannya sehinggakan menjadi kebiasaan loji nuklear ditempatkan dalam kawasan perumahan dan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Tetapi apa yang penting adalah saranan dan pandangan Perdana Menteri yang mempamerkan kemahuan dan kekuatan politik beliau yang tinggi apabila berhadapan dengan isu sensitif seperti nuklear. Seharusnya senario sebegini tidak harus dilepaskan begitu sahaja oleh rakyat Malaysia kerana ia begitu penting untuk masa hadapan negara.

4 comments:

Anonymous said...

Salam WZWH,
Saya menyokong usaha WZWH mencadang dan melobi projek tenaga seperti loji nuklear dan hidroelektrik. Saya harap PM Dato' Sri Najib bin Tun Razak mengambil perhatian usaha murni WZWH untuk memajukan ekonomi Jerantut. Pemikiran WZWH ke depan untuk pembangunan jerantut. Syabas WZWH teruskan usaha anda. Memang WZWH layak dianugerah Darjah Kebesaran A.M.P. oleh Tuanku Sultan Pahang.

Wan Zamzuri Wan Hasenan said...

Salam Anon 6:39,
Terima kasih memberi sokongan.

Anonymous said...

Salam WZWH

Tenaga nuklear adalah tenaga masa hadapan. Malah sisa bahan nuklear juga telah dibuktikan boleh menghasilkan tenaga baru dalam bentuk MOX seperti yang dilakukan di Perancis. Tenaga nuklear adalah bersih dan selamat dan tenaga mahir sudahpun mula dilatih seperti di UKM dan UNITEN. Walaubagaimanapun tenaga pakar hanya perlu dilatih dalam 4 tahun sebelum reaktor tersebut siap untuk memastikan tidak terlalu ramai graduan nuklear yang menganggur sebelum reaktor siap dibina.

Bergerak ke arah nuklear tidak lagi merupakan satu malapetaka seperti teknologi 30 tahun yang lalu. Malah reaktor ciptaan Russia moden juga jenis VVER adalah jauh lebih selamat dari model RBMK (spt Chernobyl). Setelah hampir 30 tahun dan 441 reaktor beroperasi seluruh dunia sejak Chernobyl pada tahun 1986, tiada satu pun kes malapetaka nuklear yang berlaku.

Terima kasih atas blog tuan. Moga tuan dapat terus menyumbang ke arah kemajuan negara.

masCh

Wan Zamzuri Wan Hasenan said...

Salam Anon 10:10 masCh,
Terima kasih beri info dan input yang baik tentang teknologi nuklear. Terima kasih lagi sekali atas sokongan.

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024