Saturday, May 14, 2011

UMNO: Transformasi, Harapan Dan Cabaran Kekal Relevan


Umno, parti teras BN walaupun sumbangannya sepanjang lebih enam dekad lalu tidak boleh dipertikaikan, tetapi ia kelihatan terus berdepan dengan proses penolakan di mana parti Melayu itu gagal untuk menangani pelbagai isu berbangkit.

Persaingan daripada PR akan menjejaskan kedudukan Umno sebagai kuasa pemerintah sekiranya masalah-masalah dibangkitkan itu tidak dapat ditangani.

Pada masa sama Umno mengalami proses penolakan. Bila banyak masalah, isu-isu yang tidak ditangani ia akan menjejaskan sokongan kepada Umno.

Umno perlu fikirkan bagaimana untuk terus bertahan. Umno perlu mengikut kehendak dan permintaan rakyat, malah Umno juga perlu menggunakan pelbagai keadah baru untuk terus mendapat sokongan rakyat yang mana kini Umno terpaksa bersaing dengan parti alternatif.

Umno mesti bersatu dan membuang politik berpuak-puak bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Umno harus melakukan perubahan lebih besar untuk terus mendapat sokongan rakyat terutamanya orang Melayu. Umno mesti bersatu. Umno perlu dekat dengan rakyat.

Umno juga perlu memulakan agenda baru agar rakyat terutamanya orang Melayu akan terus menyokong parti tersebut.

Umno perlu berubah ikut perkembangan semasa dan ikut kehendak rakyat, kalau Umno mahu kekal agenda lama perlu ditinggalkan, jika tidak Umno yang akan kena. Banyakkan agenda baru. Banyakkan kaedah baru.

Sepanjang tempoh 65 tahun Umno telah melakukan banyak perubahan kepada negara dan sumbangan itu tidak boleh dipertikaikan.

Pencapaian memang banyak dan kalau kita lihat dari segi pembangunan negara selama ini, Umno yang banyak menyumbang kepada perubahan-perubahan ini termasuk bagaimana Umno membebaskan negara daripada penjajah, bagaimana Umno mengisi kemerdekaan negara, pembangunan yang telah kita capai selama ini adalah sumbangan Umno.

Kita lihat rakyat kita lebih maju walaupun dalam tempoh yang singkat, semua yang telah kita capai dan kita kecapi ini adalah jasa Umno dan kita tidak boleh menafikan perkara ini.

Dalam usia 65 tahun tidak banyak parti di dunia yang mampu kekal relevan dan berkuasa. Umno kekal relevan kerana tidak ada satupun parti di negara ini yang mampu mengambil tempat Umno menjadi parti yang mampu menjadi tunggak sebuah koalisi yang imbangi kepentingan semua agama dan kaum. 

Najib dilihat mampu pertahankan kedudukan ini, dan akan lakukan bayak lagi perubahan selepas ini untuk memastikan Umno kekal relevan bukan sahaja sabagai sebuah parti, tetapi institusi penting negara.

Berbanding tahun pertama memimpin Umno, kini Najib mahu memantapkan parti selepas mendapat mandat sokongan 2009. 

Dalam proses ini sudah pasti kepimpinan akar umbi Umno akan menentukan jatuh bangun Umno ketika pilihan raya umum ke-13, dan kepimpinan ini melihat kejujuran Najib untuk menaikkan motivasi mereka dalam mempertahankan parti dan BN.

Umno di bawah Najib menampakkan perubahan ketara berbanding di bawah kepimpinan sebelum ini. Keazaman Najib jelas mahu memulihkan sokongan terutama ahli yang melakukan undi protes dengan mengundi pembangkang pada pilihan raya umum ke-12.

Kemenangan bersiri dalam pilihan raya kecil menunjukkan sokongan orang Melayu khususnya sudah jauh meningkat. Peningkatan sokongan ke atas Umno turut bergantung pada pasukan kepimpinan yang cuba mencari keserasian tetapi aura Najib yang turut diakui oleh pembangkang boleh mengubah suasana pola pilihan raya berbanding pilihan raya umum ke-12. 

Walaupun sokongan orang Melayu berpecah kepada tiga iaitu Umno, PAS dan PKR, Umno dilihat sedang melalui transformasi seiring dengan transformasi nasional. 

Percakaran dalam parti tidak begitu dominan jika dibanding dengan PAS dan PKR walaupun ada bahagian masih bermasalah. Di bawah Najib, apa yang dilakukan oleh beliau mirip usaha bapanya untuk merapatkan barisan dan menggariskan dasar parti dan waktu yang sama di peringkat kebangsaan tidak tergugat.

Pada PRU 2008, Umno mengalami kekalahan yang teruk di mana lima buah negeri ditawan oleh pakatan pembangkang.

Cabaran Umno kini sangat berat. Yang mendatang belum tahu. Cabaran pertama ialah DAP tidak hanya menentang Umno/BN tetapi menentang sebahagian besar kandungan Perlembagaan.

Cabaran kedua Pengundi Cina mula berpaling daripada menyokong MCA dan Gerakan. Apakah Umno sekali lagi terpaksa mengorbankan hak-hak Melayu demi hendak memperoleh sokongan kepada BN dan melayan tuntutan golongan ini?

Cabaran ketiga, PAS sukar diajak berunding seperti era kerajaan campuran Umno-PAS dahulu. Umno masih menganggap dengan kerjasama PAS, masalah perpecahan sesama Melayu boleh diredakan. PAS memang dikenang banyak memberi sumbangan kepada negara semasa di bawah kepimpinan Datuk Asri Muda. Antaranya, menyokong gagasan Malaysia, menyokong ISA, menyokong Singapura keluar dari Malaysia dan tentunya semasa PAS berada di dalam kerajaan campuran 1973-1977 dahulu.

Atas dasar itulah Umno tidak berhenti mengundang PAS untuk berunding ke arah penyatuan Melayu. Masalahnya, PAS dahulu macam benang, sekarang sudah menjadi kain. Dahulu ideologi Islam PAS lain dengan ideologi Islam PAS sekarang. PAS kini mirip fahaman pemerintahan ulama ala-Iran.

Lagi pun PAS sudah mendapat rakan baru iaitu DAP dan PKR. Sebab itu, PAS kini berlainan fahaman dan aspirasinya berbanding semasa era Datuk Asri dahulu.

Dahulu mereka berhasrat hanya mahu menjadi parti pendakwah Islam, soal politik dan menjadi pembangkang adalah soal kedua. Kini PAS mahu “memerintah Malaysia”. Tentulah “politik” didahulukan” daripada agenda lain.

Perbezaan fahaman politik Umno dan PAS kian melebar dan tentunya disebabkan tiada usaha memupuk hubungan antara Umno dan PAS sejak 1977 hingga kini. Justeru, jarak masa 34 tahun itu tentu sekali membuatkan kedua-dua parti itu mempunyai jurang pendapat yang luas dan haluan berbeza.

Cabaran keempat, adalah bagaimana Umno hendak memperoleh semula sokongan padu orang Melayu? Dikatakan parti itu sedang melakukan beberapa pendekatan baru. Di bawah pimpinan Najib, diyakini akan dapat mengembalikan sokongan orang Melayu kepada Umno, begitu juga sokongan bukan Melayu.

Antara langkah-langkah yang sedang diambil adalah memperkenalkan transformasi politik, ekonomi dan sosial. Di bawah transformasi politik, difahamkan agenda untuk mengajak PAS bergabung dengan Umno masih diteruskan. Ini akan kita analisis kemudian.

Umno juga telah membuat perubahan drastik berhubung sistem pemilihan pemimpin supaya lebih demokratik. Lebih 160,000 ahli Umno akan terlibat dalam pemilihan tersebut, berbanding hanya 1,800 ahli sahaja sebelum ini.

Strategi menerapkan beberapa ciri penting untuk dijadikan panduan kepimpinan. Contohnya memilih pemimpin yang amanah, jujur, dedikasi, beragama, berakhlak mulia , mempunyai etika dan sahsiah diri. Semua bakal calon pilihan raya mestilah terdiri daripada mereka yang profesional dalam pelbagai bidang.

Para pemimpin muda yang berkaliber perlu dilatih dari sekarang sebagai persediaan apabila sampai waktunya nanti akan mengambil alih kepimpinan di semua peringkat. Ini mengelakkan parti tidak punya banyak pilihan.

Beberapa tingkah laku yang tidak baik membawa kepada kekalahan BN/Umno pada PRU-12. Justeru pemimpin-pemimpin Umno haruslah bersikap tidak mengada-ngada, memahami perasaan dan kehendak rakyat, perlu menerima maklumat dari akar umbi, perlu ada rasa “kekitaan” tidak bersikap angkuh, sombong, bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk, bersikap simpati dan “empati” terhadap kesusahan rakyat dan berfikiran terbuka.

Anggapkan kemasukan orang muda dalam parti sebagai “aset, bukan musuh yang mengancam kedudukan; tidak mencantas kepimpinan baru; pemimpin perlu turun padang secara berkala, perlu merapatkan diri dengan masyarakat, jangan terlalu yakin dan selesa dengan prestasi parti.”

Budaya politik baru perlu diwujudkan, Umno sedang dalam proses mengubah mindset daripada budaya politik yang lama kepada budaya politik yang baru; Umno perlu berwajah baru - wajah yang memberi harapan baru kepada bangsa Melayu ke arah menawan semula hati mereka yang sudah luka, rawan dan tidak keruan sekarang ini.

Umno sedang dalam proses membuka seluas-luasnya keahlian kepada semua pihak, profesional, pegawai kerajaan, ahli-ahli korporat dan usahawan-usahawan Melayu.

Akhir sekali, Umno harus menonjolkan budaya politik yang berteraskan kasih sayang dan tolak ansur sesama manusia walaupun berbeza ideologi politik.

Budaya politik baru ini seharusnya berteraskan prinsip agama dan nilai akhlak yang mulia dan tidak terjerat dengan emosi melulu serta fahaman agama yang sempit.

1 comment:

dobit127 said...

salam..
bila sebut tentang pemilihan UMNO yang dijangka diadakan tahun depan selepas PRU ke 13, nampaknya ramai mula memikirkan strategi yang harus dipakai untuk memastikan mereka dipilih lagi .
Untuk menggunakan pengeras sebagai pelicin seperti tahun-tahun pemilihan lalu, perubahan dengan 16,000 orang sebagai pemilih memberatkan pengeluarannya... dulu 1000 orang sebagai pemilih, jika hendak menang, hanya fokus kepada 501 orang sahaja.
ini kena fokus kepada sekurangnya 8,000 orang.
xpelah. Mesti sudah ada strategi baru yang difikir. Kita sama-sama tunggu bila tiba masanya.

Perkara yang lebih penting sekarang adalah untuk memastikan UMNO dan BN terus relevan selaras dengan era transformasi sekarang. Dalam era online sekarang, nampaknya golongan maya dilayan seolah-olah mereka penentu kerajaan akan datang. Kita sedia maklum selain mereka, ada lagi belbagi golongan yang membolehkan kita kekal berkuasa. Golongan ibu tunggal, datuk dan nenek, golongan bersukan, mat rempit dan lain-lain juga berperanan untuk memberi undi kepada BN.
Cuma kita perlu memastikan gerak kerja untuk tackle golongan ini. Ini tidak, gerak kerja hanya dua minggu menjelang PRU sahaja. Kiranya JK berfungsi setahun sekali iaitu mesyuarat cawangan dan 5 tahun sekai bila PRU..
Elemen mencantas tunas-tunas baru nampaknya masih nampak bila orang lama. Walaupun sudah tahu khidmatnya sudah dipenghujung hayat tetapi semua itu diketepikan kerana kuasa dan kemahuan sesuatu melebihi kemajuan anggota..

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024