Wednesday, November 24, 2010

PAS Baru dalam Era Politik Baru



WZWH suka lihat perkembangan suara muda dalam PAS. Suara muda PAS inilah yang akan membentuk parti PAS baru untuk relevan dengan tuntutan masa depan.

Iklim politik sememangnya telah memasuki era baru yang menjadikan pentasnya lebih lebar , situasinya kian mencabar , saingannya makin getir dan isu - isunya bergerak pantas. Mendepani fenomena seperti ini pastinya seluruh jentera parti yang terdiri dari pemimpin dan anggotanya tidak lagi boleh rehat panjang dan sambil lewa dalam melaksanakan tugas atau amanah perjuangan suci yang disandangnya.

Mesti keluar dari zon lama atau wajib membebaskan diri dari cara fikir , cara tindak dan cara dekat yang lama kepada satu pemikiran , tindakan dan pendekatan yang baru dan berkesan tanpa perlu menafikan warisan tradisi lama yang soleh. Sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah menggandingkan warisan tradisi lama yang soleh dengan penemuan - penemuan [ kaedah atau pendekatan ] baru yang bermanafaat dan berkesan untuk mencapai matlamat perjuangan .

PAS lama tidak boleh bersikap prejudis dengan usaha tajdid [ pembaharuan ] kerana pendekatan dan pembawaan parti [ jamaah ] mesti bergerak semasa dan seiring dengan masyarakat yang menjadi sasaran atau madu'unya serta memahami keperluan dan tuntutan semasa yang mesti dilengkapkan oleh pemimpin dan jamaah agar kepimpinan dan wadah perjuangan Islam ini senantiasa berada di arus perdana dan dilihat sebagai bahtera penyelamat yang mampu ditumpangi oleh ummah sedang mereka meronta mohon diselamatkan dari kemungkaran dan keruntuhan tamadun material hari ini .

Islam yang diperjuangkan oleh PAS adalah agama yang sesuai dan relevan di sepanjang zaman. Biarpun al Quran diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu namun prinsip , kaedah , iktibar , nasihat , hukum dan isu yang dibawa oleh al Quran masih segar dan hidup. Selama mana perjuangan ini melandasi kaedah dan hikmah al Quran maka selama itulah perjuangan ini terus segar , baru dan sesuai di sepanjang masa perjuangannya.

Justeru itu , dalam usaha membugarkan wadah perjuangan Islam PAS ini ditengah - tengah kemelut dan krisis masakini , PAS tidak perlu apologatik untuk terus bercakap mengenai dasar dan prinsip perjuangan Islam yang PAS dokong seperti perlaksanaan syariah Islamiyah dan seumpamanya. Tinggal lagi PAS perlu perluaskan perbahasan secara hikmah [ bijak ] dan himmah [ wibawa ] bukan kasar , keras , bersifat menghukum dan tidak inklusif dalam perbincangan atau perbahasan .

Suara muda PAS tidak bersetuju membawa PAS baru dengan menenggelamkan atau menyembunyikan hasrat atau cita - cita untuk mendaulatkan Islam walaupun ia dilakukan atas nama strategi kerana kelak PAS akan dilihat berpura - pura [ hipokrit ] . PAS mendakwa memperjuangkan Islam dengan pakej asal yang tulen dari Rasul saw.Tiada pakej kedua atau ketiga sekalipun untuk berdepan dengan usaha meraih sokongan dan undi non muslim. Pakej perjuangan PAS telah siap dan kekal iaitu al Quranul karim dan ia dibaca oleh seluruh ummat manusia sejak lebih 1400 tahun lalu tanpa sembunyi dan perlu disepikan lagi .

Pembaharuan yang perlu PAS lakukan ialah bagaimana PAS menafsirkannya kepada ummah agar PAS tidak hanya terhenti setakat meriwayat , mengungkap slogan , berkisar dalam aspek tekstual tanpa pergi lebih jauh kepada menyediakan solusi dan tindakan yang berkesan . Sebagai contoh, pemimpin dan anggota PAS mesti sedia berubah secara total untuk keluar dari minda pembangkang kepada minda negarawan atau pemerintah . [ Biarpun ia agak sukar kerana terlalu lama menjadi pembangkang ] tetapi kini keadaan memaksa PAS berubah.

Kempen baru PAS dalam musim atau diluar musim pilihanraya mestilah tidak lagi menggunakan kaedah lama yang hanya membuatkan ahli sendiri berasa syok sementara orang - orang atas pagar dan mereka yang berada di seberang pagar akan lari malah tersinggung rasa dengan cara PAS . Sedang kempen adalah untuk mendekatkan orang kepada PAS. Kaedah lama seperti perkataan kasar penuh emosi yang dilontarkan mungkin berbalas takbir yang bergema dari kalangan sendiri tetapi ia menambah liar hati orang ramai kepada perjuangan PAS. Sebenarnya ini bukanlah kaedah baru pun sebab ianya telah disebut oleh Allah dalam al Quran yang bermaksud : "wahai Muhammad , jika sekiranya kamu berkasar dan keras hati nescaya mereka akan lari daripada kamu".

Masaalah utama dihadapi oleh PAS ialah bukan tidak ada perkara "baru" yang mahu dilakukan bahkan PAS mempunyai terlalu banyak idea - idea baru yang dicambah sesama PAS [ melalui retreat , meeting dan brainstorming ] serta dicampak atau dilontar oleh pihak lain kepada PAS tetapi masaalah utama yang dihadapi ialah keupayaan mengurus sumber tenaga , sikap dan minda .

Menjadi PAS baru juga bukan bermaksud PAS mesti terkesan dan terpengaruh dengan persekitaran dan keadaan baru yang PAS hadapi lalu PAS jadi seperti mereka , sebaliknya PAS menguasai persekitaran dan memimpin keadaan agar mereka dibimbing ke arah mencapai matlamat perjuangan suci yang PAS dokong .

Yang ramai majoriti suara muda PAS fikirkan kenapa tidak PAS bergabung saja dengan UMNO membentuk parti gergasi Melayu Malaysia? Supaya mudah menjalan urusan agama, bangsa dan tanahair untuk memajukan umat Islam dan rakyat Malaysia. Tidakkah PAS itu lahir dari perut UMNO!

1 comment:

Anonymous said...

PAS X KAN TERJERAT 2X OLEH UMNO!! PERNAH DTIPU MACAM GERONIMO !BEZANYA PAS BEBAS KELUAR TAK CAM
GERONIMO YG MATI DALAM PENJARA!!

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024