Dua hari terakhir ini UMNO dan BN ini akan melakukan perubahan yang drastik dalam usaha menarik sokongan pengundi.
Pengarah Pilihan Raya BN, Tengku Razaleigh Hamzah berkata parti itu akan meningkatkan kempen pilihan raya dalam tempoh sehingga pilihan raya pada Khamis ini.
“Sudah tentu kita akan tingkatkan kempen kita,” kata beliau.
Beliau juga berkata pengundi Cina kini sudah berubah arah dengan menyokong BN.
“Saya lihat perubahan (undi Cina) kepad BN. Kalau dibanding dengan 2008 saya lihat sudah ada perubahan.
“Apa yang berlaku pada 2008 adalah tsunami politik, tidak boleh diambil kira. Tsunami yang berlaku bukan hanya di Galas tapi saya menang, tapi sekarang sudah berubah,” katanya.
Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan “Ku Li” berkata, sepanjang kempen pilihan raya beliau akan cuba untuk “bermesra” dengan pengundi Cina.
“Kita akan cuba bermesra dengan pengundi Cina, lagipun bukan mereka tidak kenal saya.
“Kita akan bertentang mata dengan mereka, hati ke hati. Kalau dulu mereka percaya saya sekarang pun mereka percaya,” katanya.
Terlebih dahulu, dalam ucapannya ketika melawat masyarakat Tionghoa di Kampung Baru Gua Musang, veteran Umno ini berkata, beliau tetap “orang sama” yang dikenali pengundi.
“Saya nak ucapkan terima kasih kerana telah sokong saya bukan hanya pada hari ini, semalam tapi sudah hampir 40 tahun.
“Ku Li dulu, Ku Li sekarang serupa, kita tak pernah cakap bohong. Kalau cakap nak bikin hospital kita bikin, kalau cakap nak bikin rumah murah kita bikin.
“Ini semua BN mahu tolong kerana anda semua telah tolong saya. Ini adalah balasan kepada rakyat, kita nak beli undi, ini projek (perumahan rakyat) sudah satu tahun lebih, tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya (kecil) pun,” katanya.
Justeru Ahli Parlimen Gua Musang itu meminta supaya pengundi memilih BN.
“Sekarang saya nak anda undi saya punya parti. Kita bikin (projek) bukan kerana pilihan raya (kecil) tapi nak balas undi anda.
“Saya jadi wakil rakyat paling lama dalam Parlimen, Lim Kit Siang, Karpal Singh pun tidak lama macam saya,” katanya.
Tengku Razaleigh juga menyalahkan kerajaan negeri Kelantan sebagai punca pembangunan Gua Musang tidak berkembang.
“Kita mahu Gua Musang berkembang, ada kilang, ada industri, ada kerja.
“Tapi tidak boleh kerana PAS yang berkuasa di sini. Kerja tiada, anak muda pun tiada, semua sudah keluar. Kita tidak mahu Gua Musang jadi ‘bandar hantu’,” katanya.
PAS mendakwa Barisan Nasional (BN) akan melakukan serangan besar-besaran terhadap PAS di Galas mulai malam ini hingga hari mengundi Khamis ini, kata Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
"Mereka akan menggunakan taktik sama seperti di Manek Urai iaitu menggunakan sogokan wang dan barangan untuk menang di Galas," katanya.
Beliau juga mendakwa, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) akan menggunakan taktik sulit untuk memastikan calon BN, Abdul Aziz Yusof menang dalam pilihan raya kecil Galas.
Bercakap dalam sidang media di sini hari ini, Abdul Halim berkata, "Ku Li akan mengarahkan penyokong-penyokong kuatnya bergerak dari rumah ke rumah untuk memberi wang dan barangan kepada mereka.
"Kumpulan ini yang diketuai seorang yang mengandungi 10 perayu undi di Galas," katanya.
Abdul Halim yang juga ahli parlimen Pengkalan Chepa berkata, Ku Li akan melakukan apa sahaja untuk memastikan BN menang di Galas.
Katanya, tokoh veteran Umno dan juga pengarah pilihanraya BN Galas itu mahu menjaga maruahnya.
"Umno Gua Musang selama-lamanya bergantung kepada Ku Li tetapi sejauh manakah pengaruhnya. Sebanyak mana pengaruhnya pada 30 tahun lalu, 20 tahun dan hari ini?" katanya.
Bagaimanapun, pengarah pilihanraya PAS Pusat itu yakin mereka Dr Zulkifli Mohammad yakin boleh menang.
"Tetapi saya tidak dapat meramalkan sebanyak mana undi kemenangan itu," tambahnya.
Seramai 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil kali ini iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.
No comments:
Post a Comment