Banyak pihak baik kerajaan dan pembangkang membayangkan PRU 13 akan diadakan pada tahun depan. Blog-blog Jerantut seperti SPU dan Menyegar juga spekulasi PRU sudah hampir. Baca sini dan sini.
Mandat yang diberi rakyat kepada kerajaan BN sampai pada tahun 2013. Kenapa kerajaan BN mahu terburu-buru mengadakan pilihanraya.
WZWH difahamkan DS Najib amat meminati sukan bolasepak. Baru-baru ini DS Najib dapat anugerah AFC Diamond of Asia. Beliau dalam ucapannya menyatakan falsafah bola telah diterapkannya dalam politik. Semangat dan kerja berkumpulan, bawa bola ke depan untuk dapatkan gol, permain dalam pasukan berbilang bangsa, semua pemain sama tarafnya dan jangan sumbat gol sendiri.
Jika kita main bolasepak selama masa yang diperuntukkan 90 minit maka kita mainlah mengikut masa yang diberi supaya berpeluang untuk sumbat banyak gol lagi. Kerajaan BN jangan ulangi kesilapan PRU 12 kerana "bad timing" masa yang tidak kena.
Sangat mudah memahami "mood" rakyat dulu selepas PRU 12 kita merasakan rakyat Malaysia agaknya sangat marah dan protes tapi bila masa berlalu kita sudah nampak sokongan kepada kerajaan BN sudah kembali sedikit demi sedikit. Dulu Hindraf marah BN sekarang sudah sejuk. Dulu rakyat berkobar-kobar dengan semangat PR melalui PKR yang nampak menjanjikan perubahan tetapi rakyat sudah nampak temberang dan wawasan "pseudo".
Rakyat sudah nampak kepimpinan DS Najib membawa perubahan dan harapan. Jika diberi masa lagi 2 tahun setengah tentu rakyat akan dapat melihat kegeniusan kepimpinan dan pentadbiran DS Najib lebih terserlah.
Ada beberapa faktor kenapa WZWH mengatakan PRU 13 lambat lagi. Sebab utama ialah faktor ekonomi. Ekonomi dunia belum pulih sepenuhnya. Amerika Syarikat terkial-kial cuba bangkit dari penyakit "British Disease".
Ekonomi Malaysia masih banyak bergantung kepada ekonomi Amerika Syarikat. Jalan menuju pemulihan ekonomi Amerika menemui banyak masalah. Pelabur dunia risau krisis bajet Eropah. Greek sudah bangkrup, Ireland sedang menuju bangkrupsi dan sekarang melarat kepada Sepanyol. China akan lebih mengetatkan dasar monetari untuk mengawal inflasi dan tekanan krisis di Semenanjung Korea memberi kesan kepada pasaran global. Banyak ketidaktentuan ekonomi dunia.
Walaupun Amerika Syarikat telah menambah ransangan ekonomi melalui Federal Reserve sebanyak USD600 bilion, tanda aras ekonomi masih jatuh 1.4 %. Perkembangan ekonomi dan politik dunia yang WZWH telah sebutkan menyebabkan index pasaran saham dunia jatuh 0.5%.
Bagaimana DS Najib boleh yakin untuk membuat keputusan mengadakan PRU 13 lebih awal tahun depan bila faktor ekonomi dunia diambil kira. Yang paling penting faktor ekonomi. Jika ekonomi baik maka politik yang sukar pun turut baik. Tun Mahathir juga sependapat tidak bersetuju PRU 13 diadakan lebih awal. Gunakan masa dan mandat yang diberi untuk menambah khidmat lebih cemerlang kepada rakyat.
Di Jerantut ada satu faktor kritikal. Sebelum PRU 13 yang dijangka pada tahun akhir 2012 atau pertengahan 2013 projek jalan Ulu Tembeling perlu disiapkan sampai ke Kampung Pagi. Kalau DS Najib buat PRU 13 katakan bulan Mac atau April 2011, bagaimana mungkin projek jalan Ulu Tembeling boleh siap. Bagaimana WZWH mahu kempen kepada penduduk Ulu Tembeling?
Kesannya bukan saja kepada DUN Tahan tetapi juga melarat ke DUN Pulau Tawar kerana ramai peneroka di 16 kawasan FELDA berasal dari Lembah Tembeling. Juga kena di DUN Chini terutama FELDA Chini 1, 2 dan 3 dalam kawasan parlimen DS Najib sendiri-Pekan. Ramai peneroka Tembeling di situ.
Ramai orang kata DS Najib suka kepada nombor 11. Mungkin DS Najib akan adakan PRU 13 pada tahun 2011. Suka WZWH nyatakan di sini Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Bunyi hujungnya 11 juga. WZWH rasa masa yang sangat sesuai untuk mengadakan PRU 13 ialah pada tahun 2013.
No comments:
Post a Comment