Tuesday, November 23, 2010

Strategi, Pemikiran Dan Harapan DAP Pahang


YB Leong Ngah Ngah ADUN Teriang, Pengerusi DAP Pahang. Beliau telah menjadi ADUN Teriang sejak tahun 1990.

Walaupun di peringkat DUN Pahang, DAP hanya ada dua kerusi saja iaitu Teriang dan Teras namun WZWH mengambil berat strategi, pemikiran dan harapan DAP Pahang. Majoriti pengundi di bandar adalah kaum Cina dan WZWH perlu tahu kaitan hubungan antara DAP Pahang dan pengundi Cina di bandar-bandar Pahang. 

Di Pahang, WZWH mengamati pemikiran politik DAP melalui Pengerusi DAP Pahang, YB Leong Ngah Ngah (ADUN Teriang) dan Setiausaha DAP Pahang, YB Choong Siew Onn (ADUN Teras).

DAP merasakan ada perubahan  'landscape' politik di Pahang selepas PRU 12. Kerajaan pembangkang berjaya menubuhkan kerajaan di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor. Sebelum ini rakyat undi DAP sebab protes tapi sekarang DAP adalah sebahagian dari kerajaan negeri. Rakyat berharap PR akan buat lebih lagi dari BN.

Mengikut keutamaan DAP isu-isu yang menyentuh Pahang ialah isu tanah. Terdapat 17 DUN yang terlibat dengan FELDA. Manipulasi gred kelapa sawit, sistem tanam semula FELDA, antara isu yang diketengahkan menarik minat peneroka.

Orang Cina pula adalah isu tanah haram dan pembaharuan. Contoh di Cameron Highland, petani Cina susah mahu dapat hak milik tanah dan pembaharuan TOL. TOL diperbaharui setiap tahun. Petani Cina diugut jika tidak sokong BN, lesen tidak boleh diperbaharui. Di Bentong, Raub, dan Teriang ramai petani Cina  sudah mengusahakan tanah lama tetapi belum mendapat hak milik tanah.

DAP beritahu petani Cina jika pembangkang membentuk kerajaan, TOL mereka akan disambung 30 tahun atau terus dapat hak milik. Dengan kerjasama yang erat antara pemimpin PAS dan PKR Pahang, DAP percaya PR ada peluang yang baik membentuk kerajaan di Pahang.

Bagi rakyat di bandar-bandar besar seperti Kuantan, isunya ialah kekurangan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan. Rakyat mahu kerajaan baru PR membuat perubahan polisi kerajaan  dan persekitaran perniagaan dimana rakyat boleh berniaga dengan mudah.

DAP percaya rakyat sudah boleh percaya dan menerima PR sebagai kerajaan alternatif untuk menyelesaikan masalah rakyat. DAP percaya kerajaan PR jujur dan ikhlas menolong rakyat Pahang.

Mengenai peluang PR membentuk kerajaan di Pahang, DAP mengandaikan peluangnya 50-50. (WZWH anggap sebenarnya DAP tidak berapa yakin dengan politik rakyat Pahang). DAP masih mengharap orang Cina lekat dengan positif kepada PR. Orang Melayu sudah terbuka. PAS aktif berceramah di kawasan FELDA. Harakah memain peranan penting menyebar maklumat kepada peneroka FELDA.

Dulu bila UMNO serang DAP untuk menakutkan orang Melayu, DAP tidak dapat mempertahankan diri. Sekarang PAS aktif membantu dengan ceramah menerangkan isu dan DAP boleh menumpang platform menyampaikan mesej DAP kepada orang Melayu.

DAP boleh memberi jaminan kepada orang Melayu jika PR berkuasa, orang Melayu tidak hilang hak, keistimewaan dan kuasa. Hanya UMNO, MCA dan MIC yang hilang hak mereka. Dengan mengundi DAP, rakyat memberi balik kuasa kepada rakyat. (ini retorik DAP yang terbaik sekali)

DAP biasanya bertanding di kawasan bandar tempat majoriti orang Cina maka tiada masalah bagi DAP. Tetapi untuk PR menakluki Pahang, pengundi Melayu sangat penting membentuk 75% dari pengundi keseluruhan Pahang. DAP terpaksa bergantung kepada PAS dan PKR untuk sampai kepada pengundi Melayu. Bagi pengundi India pula DAP ada pemimpin untuk sampai kepada mereka.

Yang penting DAP sudah tidak takut kepada UMNO bila menyerang DAP kerana PAS dan PKR sentiasa ada mempertahankan DAP.

Kerjasama PR Pahang adalah yang terbaik dalam Malaysia. DAP telah mempunyai hubungan dengan PAS sejak 25 tahun dulu. Setiap kali ada program PR seperti ceramah dan jamuan makan kutip derma, kedua DAP dan PAS ada wakilnya. PAS lebih mempercayai DAP.

Masalah pengagihan kerusi mungkin rumit buat DAP dan PAS. DAP anggap isu negara Islam telah diselesaikan di peringkat nasional. Kini PAS sedang mempromosi 'Negara Kebajikan' dan 'PAS untuk Semua' yang mana boleh diterima oleh semua kaum. Malah dalam isu 'Kalimah Allah' dan lawatan bukan Islam ke Masjid telah 'dineutralkan' oleh PAS. PAS cakap boleh. Ini yang melegakan DAP 

Pada masa lepas DAP susah hendak merekruit orang Melayu dan orang India. Orang Melayu mempunyai impresi yang pilihan terbaik ialah UMNO, PAS atau PKR. DAP selalu dilihat sebagai pilihan  ke empat

Hari ini PAS dan PKR menyokong DAP. PKR ada bukan Melayu. DAP juga ada Melayu. PAS merancang mempunyai ahli bukan Islam ini memperbaiki imej PAS sebagai parti sederhana. Dalam jangka panjang DAP akan menumpukan menarik orang Melayu yang tidak bersetuju dengan PAS, PKR atau UMNO.

DAP berharap masa akan menyebelahi keinginan hasrat DAP. Di Pahang, DAP ada Tengku Zulpuri Shah Raja Puji ( Timbalan Pengerusi DAP Pahang) sebagai contoh. Bapanya ialah mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang. DAP berharap ramai lagi orang Melayu Pahang menyertai DAP.

Cabaran DAP Pahang ialah  cabaran dan provokasi dari UMNO dan MCA tentang kerjasama DAP dan PAS. Banyak isu ras dan agama dimainkan untuk memberi masalah kepada hubungan DAP dan PAS. UMNO suka menakutkan orang Melayu dengan mengatakan undi DAP orang Melayu hilang kuasa. Ini kepakaran UMNO dalam perang saraf psikologi orang Melayu.

Jika kepimpinan PR nasional boleh menempuh dan menyelesaikan ini semua maka DAP dan PR Pahang pun boleh menempuhnya tetapi apa yang berlaku kini kepimpinan PR nasional berdiam diri saja dan kemelut yang berlaku dalam pemilihan kepimpinan PKR turut membuat bukan sahaja DAP tidak selesa malahan PAS tidak mahu memikul biawak hidup. Lebih-lebih lagi kekalahan PAS dan PKR di PRK Galas dan Batu Sapi membuatkan Presiden PAS, Haji Hadi Awang berkata,"undi Melayu sangat penting kalau PAS mahu ganti UMNO di Putrajaya". Inilah yang mula memeningkan DAP Pahang dan bimbang cita-cita DAP Pahang tidak akan tercapai.

No comments:

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024