Tuesday, March 12, 2013

Pengaruh Seorang Isteri Pemimpin Boleh Mengubah Dialek Ulu Tembeling



Perhatikan dalam kawasan makam Engku Khatib di Bukit Angus, Kampung Bantal Ulu Tembeling ada sepasang batu nesan dari Brunei yang lebih rendah. Ini ialah makam Puteri Daing Khadija dari kerabat Kesultanan Brunei dan Sulu yang telah berkahwin dengan Engku @ Wan Ahmad bin Engku Khatib yang telah berjaya menyelesaikan isu-isu lanun dan bandit yang mengugat keselamatan negara Brunei pada awal 1900 atas arahan Sultan Pahang yang pertama iaitu Sultan Wan Ahmad.

Sebelum 1904 dialek pertuturan Ulu Tembeling adalah bahasa biasa Pahang tetapi berlaku satu revolusi perubahan dialek bila pengaruh seorang isteri pemimpin boleh mengubah dialek Ulu Tembeling kepada bahasa Melayu Brunei.

Dalam catatan memoir Dato' Sir Mahmud bin Mat, "Tinggal Kenangan" mengenai kisah Hulu Tembeling 1920an.... 

Tuk Penghulu yang berbadan tegap sudah berumur orangnya. Dia bau-bau bacang dengan Almarhum Sultan Ahmad. Bicaranya lembut dan bersopan santun. Sungguhpun dia tidak tahu membaca dan menulis, dia pandai bercerita dan kelakar sungguh orangnya. Pada waktu petang dia sering menghiburkan kami dengan cerita-cerita pengalamannya semasa dia muda-muda dahulu ketika dia dihantar ke Brunei atas urusan Baginda Sultan. Di sana dia berkahwin dan menghabiskan masa bersuka-suka selama lebih enam bulan. Dia pernah menemani Sir Hugh Clifford dalam rangka lawatannya. Dengan pertolongan Sir Hugh Clifford, Tuk Penghulu telah menggantikan tempat ayahnya. Sir Hugh Clifford memberinya surat kuasa yang ditulis dengan tulisan jawi. Katanya surat ini ditulis oleh Sir Hugh Clifford sendiri. Dan tulisan jawinya sangat cantik. 

Dalam perbualan saya dengan Tuk Penghulu Kampung Bantal kali ini saya mendapati penduduk Hulu Tembeling menggunakan perkataan yang berbeza untuk beberapa benda yang biasa. Perkataan ini tidak difahami oleh orang Melayu di tempat lain. Kata Tuk Penghulu bahasa Hulu Tembeling ialah bahasa yang digunakan orang Kepulauan Laut Selatan Sulu Brunei. Hairan juga di hati saya bagaimana orang dari Kepulauan Laut Selatan Sulu Brunei dapat sampai ke Hulu Tembeling, tempat yang sukar dimasuki, malah beratus-ratus batu ke dalam kawasan pedalaman. 

Melalui sumber arkib London, arkib Brunei, arkib Pahang dan sumber lisan orang-orang tua Tembeling maka WZWH dapat mengetahui mengapa dialek Ulu Tembeling menyamai bahasa Melayu Brunei.

Tok Penghulu itu bernama Haji Encik Engku Wan Ahmad bin Engku Khatib @ Wan Endut (1866-1935). Atas jasa Engku Wan Ahmad berjaya dalam misi ke Brunei atas arahan British dan Sultan Pahang menangkap lanun-lanun maka Sultan Brunei telah menganugerahkan kepada Engku Wan Ahmad:

  • Seorang isteri bernama Daing Khadija binti Muhammad (anak Menteri Besar, setelah Engku Wan Ahmad menolak untuk berkahwin dengan anak Sultan Brunei kerana telinga yang lanjut)
  • Warkah pemilikan tanah di Limbang Brunei.
  • Cek bank berjumlah $20,000.
  • 40 pengiring orang Brunei.
  • 2 gong tetawak Brunei (yang secara misteri boleh berbunyi seperti diketuk orang pada masa tertentu).
  • Sepeti kecil emas.
  • Bendera.

Engku Wan Ahmad telah membawa isterinya ke Ulu Tembeling bersama-sama 40 pengiring orang Brunei. Mereka ini mengunakan bahasa Melayu Brunei. Isteri Penghulu Engku Wan Ahmad ini telah mengajar penduduk Ulu Tembeling yang lain belajar berbahasa Melayu Brunei.

Ditambah pula berkembang biak keturunan 40 orang pengiring orang Brunei maka dialek Ulu Tembeling telah menjadi bahasa pertuturan seperti yang ada kekal ke hari ini.

Daing Khadija meninggal dunia pada tahun 1909 dikebumikan di makam Bukit Angus, Kampung Bantal, Ulu Tembeling. Batu nesan di makam Daing Khadija telah dibawa khas dari Brunei semasa beliau hidup lagi mengikut suaminya ke Ulu Tembeling.

Begitulah pengaruh isteri pemimpin boleh mengubah dialek Ulu Tembeling.

Kerapkali rombongan Diraja dari Brunei datang ke Ulu Tembeling kerana mahu melawat makam Daing Khadija dan mencari warisnya. Keluarga beliau di Brunei ada meninggalkan harta untuknya tetapi sayang tiada waris Daing Khadija dari Tembeling yang mahu menuntutnya.

Berkenaan tanah di Limbang yang telah dikurniakan oleh Sultan Brunei kepada Penghulu Engku Wan Ahmad bila ada waris mahu menuntut maka ini jawap Menteri Kehakiman Brunei secara bersurat:

Dulu Kerajaan Brunei telah menghebahkan kepada mana-mana waris supaya menuntut tanah Limbang itu dan jika masa yang diperuntukan itu telah luput maka tanah Limbang itu akan menjadi kepunyaan kerajaan Brunei.

WZWH berpendapat itu tidak adil kerana kerajaan Brunei hanya menghebahkan notis itu dalam negara Brunei sahaja maka tidak diketahui oleh Penghulu Engku Wan Ahmad yang berada di Ulu Tembeling sepanjang hidupnya. Apa bentuk komunikasi yang ada pada zaman itu.

Penghulu Engku Wan Ahmad seorang yang buta huruf tidak tahu menulis dan membaca. WZWH telah diberitahu cek bank yang dikurnia oleh Sultan Brunei sebanyak $20,000 hanya disimpan oleh beliau dalam peti kayunya hingga akhir hayat tidak pernah ditunaikan!

Walaubagaimanapun jika Tuanku Sultan Brunei mahupun kerabat Brunei, ahli sejarah dan budayawan Brunei mambaca blog WZWH ini maka inilah cerita seorang pemimpin dari Ulu Tembeling yang pernah berjasa kepada kerajaan Sultan Brunei dulu pada awal abad ke 20.

Pemimpin yang taat kepada Sultan Pahang dan persetujuan British sanggup memenuhi perintah dan tanggungjawab dalam 'mission to Brunei' bagi mengamankan Brunei dari lanun-lanun.

5 comments:

Anonymous said...

Menarik.sejarah ni. .lebih kurang Kesultanan Sulu je yg mendakwa Sabah kepunyaan mereka....wlu camna pun harap kerabat2 du Tembeling berusaha mendapatkan kepastian dr Sultan Brunei berkenaan Limbanh tu.





Wan Zamzuri Wan Hasenan said...

Berkenaan Limbang ianya sudah terjawab, Dato' Wan Abu Bakar mantan ahli parlimen jerantut selaku cucu Engku Wan Ahmad telah menulis surat kepada kerajaan Brunei. Jawap Menteri Kehakiman Brunei..Dulu kerajaan telah istihar dan warta supaya waris Engku Wan Ahmad menuntut tanah di Limbang tetapi setelah masa yang lama diberi maka luput dan dengan sendiri Limbang adalah kepunyaan Brunei.

syed iskandar said...

wan ahmad adalah seorang yang gagah.sultan brunai minta bantuan inggeris untuk menghapuskan lanun saad dan said yang bikin huru hara di laut.baginda tak mampu menghapuskan dua lanun tersebut.

hugh cliford tahu pahang punya seorang imam perang yang gagah.beliau minta perkenan baginda sultan ahmad untuk membawa misi menyelamat yang akan di pimpin oleh imam perang wan ahmad.

wan ahmad pergi berkayuh seorang diri menghampiri kapal lanun saad dan said.

beliau melompat ke dek kapal.saad dan said cuba menerpa dan menyerang wan ahmad.

dengan satu jeritan kuat dari mulut wan ahmad, saad dan said terpaku.lanun dua orang ini jadi begitu apabila terlihat bulu tebal
didalam mulut wan ahmad.

dengan mudah dua orang ini dapat di tangkap dan di serah kepada sultan brunai.

saad dan said buat kecoh dan bising dalam kurungan.apabila ditengking oleh wan ahmad mereka terus terdiam.

yang mewarisi kegagahan wan ahmad ialah cicitnya iaitu JP wan abdul jalil bin tok muda wan mustapha ayah penghulu wan samsuri.

penghulu wan samsuri cuit wan ahmad.
penghulu wan saifudin cucu wan ahmad.

begitulah sejarah yang diceritakan oleh moyang aku pengiring wan ahmad.

Anonymous said...

sejarah ditulis setelah ianya berlaku , bukan ditulis semasa atau ketika ianya belum terjadi .

sulu dan Berunai, memang ada kaitan , sultan Berunai kini memang ada sedikit darah sulu,

Dahulu, ketika belum adanya sempadan negara2, ketika belum ada imigresen dan kastam , ketika belum ada visa dan passport , negara kepulauan melayu saling berhubungan dagang, laut adalah laluan utama,orang di tanah Melayu biasa berhubungan dengan orang melayu Berunai , sulu , tanah Jawa, sulawesi, sumatera , pattani, Borneo , inilah kepulauan melayu ! bahasa pengantar adalah bahasa melayu!

sejarah beratus tahun tidak mungkin dapat diceritakan dalam selembar kertas, sejarah panjang harus dengan masa yg panjang utk dikisahkan,
sayang...melayu kini tinggal kenangan, kegemilangan melayu jadi satu sejarah pilu untuk generasi seterusnya,

Anonymous said...

terlalu banyak sejarah Berunai yg tidak sampai ketangan bangsa Berunai, banyak sejarah yang dirahsiakan atau tidak mampu diceritakan kerana sebab tertentu

banyak sejarah Berunai yang diperap dalam arkib, samada kurangnya minat mereka untuk tahu atau kerana mereka tidak mahu orang lain tahu ?
demikian juga sejarah sulu, yg ada kini hanyalah sejarah palsu dan menipu untuk kepentingan golongan tertentu di sulu ..

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...