Berikut adalah Siaran Media oleh Setiausaha Agung UMNO.
12 SEPTEMBER 2013
KENYATAAN MEDIA
Pemutihan ahli UMNO telah dibuat pada tahun 2010, 2011 dan 2012 ekoran daripada pindaan Perlembagaan UMNO pada 15 Oktober 2009. Pemutihan ahli UMNO ini dibuat mengikut pindaan Perlembagaan parti agar senarai ahli yang ada di setiap bahagian adalah mengikut daftar yang terkini setelah penghapusan yuran tahunan ahli selain pentingnya untuk memastikan kesahihan senarai ahli UMNO antara bahagian dan Ibu Pejabat.
Sehubungan itu, saya menyarankan mana-mana anggota, cawangan dan bahagian yang akan bermesyuarat agar membuat semakan keahlian bagi mengelakkan sebarang kerumitan dan permasalahan berlaku. Berkaitan dengan ini, dimaklumkan bahawa persidangan cawangan yang berlangsung pada tahun 2010, 2011 dan 2012, Ibu Pejabat tidak menerima sebarang aduan berkaitan keahlian di mana-mana cawangan namun demikian, dalam persidangan cawangan 2013 terdapat pelbagai masalah yang timbul barangkali ekoran kelalaian atau kelekaan daripada membuat semakan keahlian masing-masing.
Berhubung Pemilihan UMNO yang bakal berlangsung dengan dikawalselia oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan UMNO 2013, dilaporkan bahawa Jawatankuasa terbabit menerima pelbagai aduan. Dimaklumkan, Jawatankuasa tersebut bersidang tiap-tiap hari di Ibu Pejabat bagi membincang, menyelaras, menyelia dan memastikan setiap aduan berkaitan permasalahan yang timbul dapat ditangani dengan adil dan telus seterusnya memberi kaedah penyelesaian terbaik. Namun demikian, ianya hendaklah disahkan oleh Ketua Bahagian dan Setiausaha Bahagian UMNO dan sebarang siasatan berkaitan aduan dibuat oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri.
Antara aduan-aduan yang diterima oleh Jawatankuasa terbabit adalah bersifat:
i. dengan sengaja berniat untuk memburukkan anggota/cawangan/bahagian;
ii. dengan sengaja berniat untuk membatalkan mesyuarat yang dijalankan;
iii. aduan yang tidak munasabah.
Oleh yang demikian, saya ingin mengingatkan semua pihak khususnya ahli-ahli UMNO agar tidak mengambil kesempatan terhadap mana-mana persidangan sama ada untuk kepentingan peribadi atau atas agenda lain termasuklah membatalkan persidangan. Ini kerana kuasa pemutus adalah ditentukan oleh Majlis Tertinggi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan dan peraturan parti.
Ibu Pejabat juga telah mengenalpasti beberapa UMNO Bahagian yang bermasalah seperti di Pulau Pinang, Kelantan, Perak dan beberapa negeri yang lain dan Ibu Pejabat sedang meneliti dan memperhalusi kaedah terbaik agar setiap masalah dapat diselesaikan dengan baik.
Selain itu, Ibu Pejabat juga turut mendapat maklumat di peringkat UMNO Bahagian bahawa terdapat pihak yang bertindak negatif termasuklah mengoyak, membakar dan melakukan politik wang. Sehubungan itu, saya ingatkan mana-mana ahli UMNO yang secara jelas terlibat dalam anasir-anasir sedemikian dan melanggar tataetika ahli UMNO maka mereka akan diambil tindakan keras termasuklah digantung keahliannya. Sebarang bantahan yang dibuat perlulah melalui Ketua Bahagian dan Setiausaha Bahagian UMNO.
Sehingga hari ini, jumlah perwakilan yang telah selesai melaksanakan tanggungjawabnya melalui persidangan cawangan ialah sekitar 53 peratus.
Sebarang permasalahan berkaitan keahlian dan semakan boleh dibuat dengan menghubungi talian bebas tol Ibu Pejabat UMNO 1-800-22-8666.
Sekian, Terima Kasih.
TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
No comments:
Post a Comment