Posting ini mengenai seorang Raja Johor-Maharaja Abu Bakar yang ambitious mahu meluaskan empayar pemerintahannya dengan mengambil wilayah Muar-Kesang milik sebuah keluarga aristokrat Johor melalui kekerasan dan mendapat tentangan sengit melalui Peperangan Saudara Jementah pada 1879.
Menyedari bahawa keluarga bangsawan ini iaitu Kerabat Raja Temenggong Muar juga mempunyai hubungan pertalian darah dengan Sultan Johor maka sikap berkecil hati keluarga bangsawan ini dengan memboikot setiap kali upacara dan majlis yang melibatkan Maharaja Abu Bakar merisaukan baginda.
Bagaimana Maharaja Abu Bakar @ Sultan Abu Bakar memujuk kerabat Raja Temenggong Muar setelah Johor mengambil Muar-Kesang dan mendidik waris keluarga bangsawan ini iaitu Dato' Wan Idris bin Wan Ibrahim menjadi Menteri Besar Johor ke 9?
Ketika Sultan Abu Bakar meraikan Majlis Pertabalan Tahta Sultan di Bandar Maharani Muar pada tahun 1888, baginda mendapati Temenggong Muar dan kaum kerabatnya tidak hadir. Baginda amat sedar dan faham ketidakhadiran Temenggong dan kaum kerabatnya adalah kerana berkecilhati terhadap baginda. Hal ini adalah berikutan pengambilan Muar Kesang oleh Sultan Abu Bakar dan meletakkan Segamat di bawah jajahan pemerintahan baginda yang menjadi Sultan Johor dan diiktiraf oleh Inggeris. Ketidakpuasan hati Temenggong Muar dan kaum keluarganya bertambah menebal apabila Sultan Abu Bakar melantik kerabat baginda sendiri menjadi Temenggong Johor dan mempunyai kuasa sebagai wakil raja di seluruh negeri Johor.
Sultan Abu Bakar telah menunjukkan pengaruh dan kuasa dengan membuka Bandar Maharani pada tahun 1884 ketika masih bergelar Maharaja. Baginda telah membuka Bandar Maharani sebaik sahaja baginda menang dalam perang saudara yang terkenal sebagai Perang Jementah. Peristiwa Perang Jementah berlaku pada tahun 1879 kerana putera sulong Almarhum Sultan Ali , Tengku Alam tidak bersetuju dan berpuas hati, waris tahta Sultan diberikan oleh ayahanda baginda kepada adindanya yang masih kecil. Penyerahan Kesang –Muar kepada Maharaja Abu Bakar juga sangat dimusykilkan dan banyak muslihat. Tengku Alam menganggap ia tidak sah dan menuntut Maharaja Abu Bakar dan Inggeris mengembalikan semula hak baginda.
Walaupun kuasa Temenggong Muar di Segamat telah dimansuhkan, Sultan Abu Bakar dengan bijaksananya telah berusaha mengambil hati dengan memberi kebenaran menggunakan terus gelaran Temenggong Muar. Temenggong serta kaum kerabatnya di Segamat diberi pencen bulanan seumur hidup. Kuasa Temenggong Muar dihadkan setaraf penghulu tetapi kebanyakan keluarga Temenggong tidak dapat menerimanya dengan hati yang terbuka . Ini adalah kerana mereka terasa seperti dipaksakan akibat dari peristiwa Perang Jementah.
Bagi kaum kerabat Temenggong Muar, kedaulatan dan kuasa Temenggong Muar seolah-olah berdiri sendiri turun temurun di bawah kedaulatan Sultan Johor Pahang. Mereka tidak menganggap dan tidak melibatkan diri dengan percaturan politik yang dimainkan oleh Inggeris bersama Temenggong Johor. Mereka juga menganggap tindakan Temenggong Johor dan Inggeris telah melanggar adat istiadat kesultanan Melayu bernegara dan beraja. Mereka lebih suka duduk di bawah kuasa Pahang yang mempunyai pertalian dari segi kuasa dan juga hubungan darah keturunan. Tetapi pada masa itu Pahang juga telah mengambil jalan sendiri dan tidak lagi duduk di bawah kuasa Sultan Johor di Riau mahupun di Singapura.
Setelah menang dalam perang saudara iaitu Perang Jementah, Maharaja Abu Bakar dengan segera menguatkan pengaruh baginda dengan membuka Bandar Maharani dan mendirikan balai-balai polis di sepanjang Sungai Muar, Bukit Kepong, di Pagoh hingga ke Segamat. Baginda memang menyedari Temenggong Muar dan kaum kerabatnya berkecil hati dengan baginda. Baginda juga mengetahui sebenarnya kerabat Temenggong Muar juga mempunyai pertalian saudara dengan baginda dari jalur Bendahara Tun Habib Abdul Majid.
Sehubungan dengan itu, baginda telah mengambil inisiatif memudik ke hulu melalui sungai Muar dengan kapal api baginda dan sampai di Segamat. Baginda telah menziarahi Temenggong dan kaum kerabat beliau. Baginda juga tidak melucutkan gelaran Temenggong yang dipakai turun temurun kecuali kuasanya dihadkan hanya di beberapa kampung di Segamat. Untuk mebuktikan bahawa baginda masih mengiktiraf Temenggong dan kaum kerabatnya sebagai saudara, baginda bercadang mengangkat anak-anak lelaki Temenggong Muar menjadi pembesar baginda di Johor Bahru. Malangnya Temenggong Muar tidak mempunyai anak-anak lelaki yang ramai sebagaimana dikehendaki oleh Sultan Abu Bakar.
Walau bagaimanapun Sultan telah meninggalkan pesan supaya Dato’ Temenggong menghantar anak atau keturunan beliau ke Johor supaya dididik, dilatih dan ditempatkan ditempat yang sewajarnya mengikut kepandaian, tahap pendidikan dan kebolehan. Baginda berpesan supaya menghantar pada bila-bila masa Temenggong Muar suka tetapi hendaklah anak yang dihantar itu masih kanak-kanak berusia 7 hingga 10 atau 15 tahun, baik perilaku dan cerdik. Jika menghantar anak yang telah berusia 10 tahun mestilah telah tahu membaca, menulis dan mengira. Sultan Abu Bakar bijak membuat perancangan kerana anak-anak yang masih kecil mudah dibentuk dan dipengaruhi. Matlamat utama baginda adalah bagai serampang dua mata. Silaturahim tertaut, permusuhan atau pertelingkahan keluarga dapat dibentur dan anak-anak itu sendiri menjadi pendokong dan pelaksana dasar pemerintahan baginda yang dilakukan oleh mereka dengan cekap berikutan pelajaran yang dibekalkan.
Temenggong Muar telah menghantar anak saudara beliau, Wan Idris yang pada ketika itu beusia 10 tahun dan abangnya, Wan Abd Samad berusia 16 tahun pada tahun 1898. Temenggong Muar tidak dapat menghantar cepat kerana banyak mendengar nasihat kaum keluarga yang melihat usaha itu sebagai muslihat untuk menundukkan pengaruh dan kuasa keluarga Temenggong Muar. Beliau lambat mengirimkan kanak-kanak lelaki dari keturunannya, juga kerana beliau sendiri tidak banyak memiliki anak lelaki. Beliau dianggap terpaksa menghantar Wan Idris dan abangnya kerana menunai janji kepada Sultan Abu Bakar. Lebih-lebih lagi Sultan Abu Bakarbaru saja mangkat pada tahun 1895.
Sebelum baginda mangkat, beberapa kali baginda menghantar utusan supaya kerabat Temenggong Muar menghantar kanak-kanak lelaki, ahli keluarga temenggong bagi menyambung silaturahim kekeluargaan kerabat Temenggong Muar dengan Kerabat Temenggong Johor yang kini telah menaiki tahta sultan bagi negeri Johor Dan Negeri-negeri Jajahannya. Parautusan Sultan Abu Bakar juga sering melaporkan bahawa Wan Idris dan abangnya adalah kanak-kanak yang cerdik dan aktif dalam keluarga Temenggong. Pada awalnya, ayahanda Wan Idris iaitu Wan Ibrahim bin Wan Hussein juga berkeberatan untuk menyerahkan anak-anak lelakinya kepada Temenggong Muar untuk diserahkan kepada Sultan Johor. Isterinya Wan Zaleha Shahadan juga tidak merelakannya. Tetapi beliau terpaksa akur memandangkan demi masa depan anak beliau dan juga kepentingan keluarga bagi menamatkan rasa ketidakpuasan hati terhadap Sultan Johor.
Wan Ibrahim, saudara kepada Temenggong Muar dianggap lebih terbuka fikiran kerana biasa berdagang dan merantau. Beliau acap memberi pandangan dan nasihat kepada Temenggong Muar. Beliau dapat melihat perubahan dan kemajuan di luar dan dapat membayangkan masa depan dan nasib anak-anaknya. Beliau juga memujok agar anak-anaknya pergi, agar dapat melanjutkan pelajaran dan berbakti kepada Sultan. Beliau terpaksa menerima kenyataan terhadap kedudukan Sultan Abu Bakar yang bertambah kuat dan berpengaruh. Meskipun terasa pahit jika dilihat dari segi kejatuhan maruah dan martabat keluarga, beliau percaya bahwa untuk mendapatkan hak kuasa Temenggong Muar seperti sebelum Perang Jementah adalah mustahil.
Memandangkan banyak faedah dan demi masa depan yang baik bagi anak-anaknya berikutan keikhlasan Sultan Abu Bakar, Wan Ibrahim yang memiliki seramai 9 orang anak dan ramai antaranya adalah lelaki, telah mengambil inisiatif membantu saudaranya, Temenggong Muar. Beliau juga berpendapat bahawa, ini adalah peluang yang sangat baik kerana ada niat murni untuk mentautkan semula perhubungan darah seketurunan antara keturunan Temenggong Muar dengan Sultan Abu Bakar.
Wan Ibrahim sendiri telah menyiapkan persediaan awal anak-anaknya, sebelum berangkat ke Johor Bahru. Beliau telah mengajar anak-anaknya belajar membaca, menulis dan mengira. Beliau juga menghantar anak-anaknya belajar mengaji, bersilat dan belajar bahasa Inggeris. Wan Idris dan abangnya sangat suka belajar dan Wan Idris sendiri mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu persilatan. Ketangkasan beliau dalam ilmu persilatan atau pertahanan diri secara tradisional ini melebihi dari abang-abang beliau sendiri. Minat beliau ini telah mendorong dan mempengaruhi beliau menjadi pegawai tentera Pasukan Timbalan Setia atau Askar Tuanku (JMF) yang cemerlang dan cekap.
Ketika Wan Idris sampai ke Johor Bahru, beliau telah pun pandai membaca, mengira dan menulis. Beliau juga boleh menulis rumi dan mengerti sedikit bahasa Inggeris meskipun ketika itu beliau belum berusia 10 tahun. Ramai pembesar Johor telah menjadikan beliau sebagai anak angkat kerana beliau adalah kanak-kanak cerdik dan disukai ramai. Di sekolah, beliau adalah murid yang pintar dan sering dipuji oleh guru-guru Inggeris kerana budikerti yang tinggi dan bersopan santun. Beliau juga sering mendapat markah yang tinggi dalam semua mata pelajaran.
Semasa di alam persekolahan di Johor Bahru, beliau juga telah menjadi anak angkat kepada Sultan Ibrahim. Beliau bersahabat baik dan bercampur bebas dengan putera-putera sultan dan anak-anak kaum kerabat diraja serta anak-anak pembesar Johor. Beliau juga telah dididik oleh Dato’ Jaafar Muhamad yang menjadi Menteri dan Penasihat Sultan ketika itu. Beliau juga berkawan rapat dengan Dato’ Onn anak Dato’ Jaafar Muhamad yang juga menjadi anak angkat kepada Sultan Ibrahim. Wan Idris lebih tua 7 tahun daripada Dato’Onn. Dato’ Onn telah dilahirkan pada tahun 1895. Wan Idris telah belajar di Sekolah Melayu Johor Bahru bersama dengan anak-anak pembesar dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris Bukit Zaharah hingga tahun 1903.
Pada tahun 1904 beliau telah terpilih mengiringi rombongan Diraja Sultan Ibrahim berangkat ke England. Rombongan Diraja Sultan Ibrahim berangkat ke England bertujuan meneruskan hubungan baik dengan Baginda Queen yang dipelopori ayahanda baginda, Sultan Abu Bakar. Rombongan Diraja itu juga bertujuan sebagai memenuhi undangan raja England dan mengiktiraf tahta sultan Johor yang diwarisi Sultan Ibrahim. Selain itu, adalah untuk membincangkan pembinaan jalan keretapi di Johor. Sultan Ibrahim juga meneruskan tradisi menghantar pelajar-pelajar tajaan Sultan Johor belajar diEngland terutamanya di kota London. Wan Idris dan Dato’ Onn adalah antara pelajar yang mengiringi putera-putera Sultan Ibrahim iaitu Tengku Mahkota Ismail, Tengku Abu Bakar Bendahara dan Tengku Ahmad Temenggong. Mereka belajar di Sulfork England.
Sultan Ibrahim telah mengadakan majlis kenduri dan doa selamat secara besar-besaran pada 1 Januari 1904 di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru sempena meraikan rombongan Diraja yang akan berangkat ke England. Wan Idris turut serta menjadi orang penting yang diraikan dari kumpulan pelajar yang akan mengiringi putera-putera Sultan Ibrahim menuntut di England. Rombongan Sultan berserta pembesar-pembesar Johor telah berangkat dengan kapal melalui Singapura pada 15 Januari 1904 dan semua pejabat kerajaan diberi cuti umum sempena menghormati hari keberangkatan Diraja itu.
Pada tahun 1908, Wan Idris bin Wan Ibrahim telah berangkat pulang ke tanah air mengiringi Tengku Mahkota yang enggan meneruskan pelajaran berikutan penghantaran pulang Dato’ Onn oleh pihak Inggeris. Inggeris memberi alasan bahwa Dato’ Onn dan pengiring putera raja yang lain, tidak sesuai bersekolah bersama-sama putera-putera raja Johor kerana mereka dianggap orang kebanyakan manakala tempat di Sulfork England hanya dikhususkan kepada putera-putera raja saja. Apa yang berlaku sebenarnya ialah Tengku Mahkota Ismail tidak mahu berjauhan dan berpisah dengan Dato’ Onn dan sahabat-sahabat baginda yang lain. Mereka adalah kawan sepermainan dan membesar bersama sejak kecil di istana Johor.
Pihak Inggeris pula mempunyai agenda tersendiri untuk mempengaruhi putera-putera bakal menjadi raja. Dato’ Onn didapati terlalu bijak sehingga ada diantara guru-guru Inggeris di situ tidak menyangka bahawa beliau adalah anak Melayu. Penguasaan bahasa Inggeris dan Perancisnya amat baik dan diakui setaraf penutur ibunda. Begitu juga dengan akhlak putera-putera Sultan Ibrahim yang lain dan juga pelajar-pelajar lain yang mengiring mereka termasuk Wan Idris. Mereka didapati mempunyai kepintaran melebihi anak-anak pembesar dan kerabat diraja Inggeris di situ. Kepintaran mereka menonjol adalah wajar kerana mereka adalah anak-anak Johor yang terpilih. Sekembali mereka ke Johor, Dato’ Onn dan Tengku Mahkota Ismail telah dititah melanjutkan pelajaran di Maktab Melayu Kuala, Kangsar. Manakala Wan Idris mula berkhidmat sebagai kerani di Pejabat Setiausaha Kerajaan.
Pada tahun 1911 beliau telah diserap ke Pasukan Timbalan Setia Johor menjadi pegawai kadet dan kemudian menjadi penolong pemungut hasil dan cukai pada tahun 1915. Pada tahun 1919 beliau berkhidmat di Segamat dan telah membangunkan makam Dato’ Bendahara Tepok dan Makam Dato’Sagar Diraja yang terdapat di Kampung Lubok Batu, Segamat. Beliau juga melibatkan diri dalam Pasukan Sukarela Askar Timbalan Setia (JVMF) dimana saja beliau berkhidmat. Wan Idris sangat dihormati dan sangat berdisiplin dalam menjalankan tugasnya.
Beliau juga tidak melupakan saudara-mara dan asal-usulnya di Segamat. Kaum kerabat dan penduduk Segamat sangat berbangga dengan kewibawaan dan ketokohan Dato’ Wan Idris. Beliau dianggap benar-benar mewarisi peradapan keturunan bangsawannya, iaitu darah Temenggong, Bendahara dan juga kerabat Diraja. Beliau juga amat menitik beratkan keutamaan melanjutkan pelajaran di kalangan keluarga dan juga penduduk Segamat. Beliau sering pulang dan menziarahi kampung halamannya di Segamat sepanjang beliau berkhidmat dengan Kerajaan Johor di luar Segamat. Berikutan dari itu ramai juga tokoh-tokoh terkenal dan cendikiawan lahir dari Segamat.
Dato’ Wan Idris juga berpegang kuat kepada agama. Beliau sangat menghormati para ulamak dan sering mengadakan kenduri tahlil mengingati jasa-jasa mereka yang telah meninggal dunia di masjid-masjid di Segamat. Beliau juga menggalakkan pembelajaran agama sistem pondok dibangun di Segamat sebagai alternatif kepada orang kampong yang tidak mahu atau mampu menghantar anak-anak ke sekolah kerajaan. Pada tahun 1930, ketika Dato’ Abdullah Esa menjadi Persuruhjaya Segamat, Dato’ Wan Idris telah meminta agar kubur datuk nenek moyangnya dipulihara. Beliau amat peka kepada kepentingan sejarah dan asal usul. Permintaan beliau telah dilaksanakan oleh Dato’ Abdullah. Makam-makam lama didaftar, ditembok, dibuat bumbung dan pagar.
Ketika berkhidmat sebagai Persuruhjaya Kastam Muar pada tahun 1920-an, beliau telah menubuhkan Pasukan Gelap Kastam iaitu satu kumpulan penyiasat dan pengesan kegiatan penyelupan barang-barang tanpa membayar cukai kepada kerajaan. Pasukan ini berpakaian awam dan sering melakukan penyamaran. Mereka bukan sahaja mendapat maklumat daripada orang awam tetapi juga daripada angota-angota kongsi gelap Melayu dan Cina.
Di Muar, kongsi gelap Melayu yang bekerjasama dengan kerajaan termasuk Jabatan Polis, Jabatan Kastam, Pejabat Pemungut hasil dan Cukai dan Pasukan Sukarelawan Timbalan Setia (JVMF) ialah Pasukan Rimau Muar yang diketuai oleh Mohd Yasin JMF. Beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Daato’ Wan Idris, Orang Kaya Muar dan pegawai-pegawai kerajaan Muar. Kumpulan Rimau dipercayai ditaja oleh pihak Istana dan pembesar Johor secara tidak rasmi. Ini adalah kerana Mohd Yasin sendiri adalah bekas Askar Tuanku (JMF) dan mengenali hampir semua pembesar dan pegawai tinggi kerajaan secara sulit termasuk Dato’ Wan Idris. Mereka pernah bersama-sama semasa berada dalam Pasukan Timbalan Setia (JMF).
Mohd Yasin JMF mengambilalih kepimpinan Rimau Muar dari bapa saudara pupunnya Hj Abd Kadir bin Yusuf, bekas Askar Tuanku (JMF) dan anak Orang Kaya Yusuf Muar. Kumpulan Rimau telah ditubuhkan oleh Abdullah Teuko, datuk Mohd Yasin JMF sebelah ibu pada tahun 1895. Datuk Mohd Yasin sebelah bapa iaitu Hj Mohd Noh ialah peneroka Bakri dari Bandar hingga ke Batu 5 dan menjadi naib penghulu Bakri tidak bertauliah dari 1871 hingga 1900. Nenek Mohd Yasin JMF iaitu isteri Hj Mohd Noh, Tun Zainab bt. Tun Mansor mempunyai pertalian darah dengan Wan Idris Wan Ibrahim. Bapa Tun Zainab iaitu Tun Mansor adalah kekanda kepada Sultan Ahmad Pahang dan keluarga ini mempunyai datuk nenek moyang yang sama iaitu Bendahara Tun Habib Abd. Majid, Dato’ Skudai mahupun Bendahara Tepok.
Sehubungan dengan itu Wan Idris mendapat kerjasama sepenuhnya dari Mohd Yasin JMF. Malah kumpulan Rimau menjadi mata dan telinganya. Kumpulan Rimau ialah kongsi gelap Melayu prokerajaan yang menguasai Bandar Maharani secara tidak rasmi. Kumpulan Rimau telah dibubarkan oleh Mohd Yasin JMF pada Disember 1947. Pasukan Gelap Kastam dengan bantuan Kumpulan Rimau, sering berjaya membanteras aktiviti penyeludupan terutama terhadap getah pada masa itu. Jabatan Kastam dan Pejabat Pemungut Cukai Muar mencatat rekod yang cemerlang membanteras penyelupan dan telah memungut hasil yang tinggi sebelum perang hingga perang meletus pada tahun 1945. Kerajaan berjaya memperoleh hasil yang banyak dari penggunaan sistem kupon yang diperkenalkan.
Pada tahun 1930-an, Wan Idris bin Wan Ibrahim bertugas di Johor Bahru. Kecekapan dan disiplin tenteranya telah mempengaruhi etika beliau bekerja. Di Johor Bahru beliau ditugaskan sebagai Pemungut Cukai dan Hasil Tanah Johor Bahru. Beliau telah melaksanakan tugas tersebut dengan baik. Bandar Johor Bahru amat pesat membangun dan dalam bidang ini beliau dianggap sampai kepada kemuncaknya apabila beliau dilantik menjadi Pemungut Cukai dan Hasil Tanah Johor pada tahun 1935.
Mengikut rekod, disepanjang perkhidmnatan beliau ketika berkhidmat di Pejabat Pemungut Cukai dan Hasil Tanah dari tahun 1910 hingga 1935, hasil perbendaharaan Kerajaan Negeri Johor meningkat dengan begitu tinggi. Sebagai perbandingan, pada tahun 1912, pungutan hasil Johor ialah 4,348,642 ringgit, (Empat juta tiga ratus empat puluh lapan ribu dan enam ratus empat puluh dua ringgit), pada tahun 1920 pungutan hasil telah meningkat kepada 11,838,776 ringgit (sebelas juta lapan ratus tiga puluh lapan ribu dan tujuh ratus tujuh puluh enam ringgit) dan pada tahun 1934, pengutan hasil meningkat dengan perolehan 16,660,594 ringgit (enam belas juta enam ratus enam puluh ribu dan lima ratus sembilan puluh empat ringgit).
Perbandingan gaji bulanan berikut dapat membandingkan kuasa beli atau nilai ringgit ketika itu yang dapat menggambarkan betapa banyak atau besar hasil yang dikutip oleh kerajaan Johor. Pada tahun 1912, gaji serendah 18 ringgit sebulan dapat menampung sebuah keluarga untuk menyara hidup selama sebulan. Pada tahun 1920 gaji 30 ringgit dan pada tahun 1934 gaji kakitangan kerajaan serendah 40 ringgit adalah cukup untuk menyara sebuah keluarga yang terdiri ibu, bapa dan 4 orang anak dengan selesa.
Sehubungan dengan kejayaan Dato’ Wan Idris yang telah meningkatkan kutipan hasil dan cukai kerajaan, beliau telah menjadi antara pegawai kanan Sultan Ibrahim yang sangat dikasihi dan dipercayai oleh baginda. Ini adalah kerana, ketika baginda mengambil teraju pemerintahan, kedudukan kewangan perbendaharaan dan khazanah negeri Johor berada di tahap yang amat membimbangkan. Pihak Inggeris sering mengambil kesempatan menegur keadaan kedudukan kewangan negeri Johor dan menuduh ketidakcekapan dan berlaku pemborosan. Ini adalah satu daripada helah dan tekanan Inggeris untuk mencari peluang campur tangan dalam pemerintahan Kerajaan Negeri Johor.
Pada hakikatnya, Johor dikaca mata Inggeris adalah sebuah negeri yang kaya. Hasil buminya dijangka dapat memberi keuntungan yang sangat besar kepada Inggeris jika mereka dapat menguasainya. Ini disedari oleh Sultan dan pembesar-pembesar Johor. Sultan telah menunjukkan kekayaan bagindadengan menghadiahkan kerajaan Ingeris dua skuadron pesawat terbang ketika Perang Dunia Pertama yang bernilai jutaan paun British. Pada tahun 1935, sekali lagi Sultan Ibrahim menghadiahkan 500,000 paun Inggeris (lima ratus ribu paun) kepada King George sempena Hari Keputeraan baginda. Wang hadiah Sultan Ibrahim itu telah digunakan membuat pengkalan tentera laut Inggeris di Singapura.
Kemakmuran Johor yang kaya ini juga diperlihatkan oleh sultan Johor dengan membina pelbagai bangunan kerajaan dan juga istana-istana baginda dan kaum kerabat baginda diseluruh negeri Johor. Bangunan kerajaan yang paling banyak dibina di seluruh Johor ialah bangunan sekolah. Istana-istana hinggap di setiap daerah diperbaiki, diperbesar malah ada yang dibina baru. Sultan juga sering berangkat ke Eropah berserta rombongan keluarga Diraja atau bersama rombongan pembesar-pembesar baginda. Baginda juga sering keluar negara untuk menyertai sukan lumba kuda yang sangat diminati baginda. Penasihat kewangan baginda selain pembesar-pembesar kanan Johor yang lain ialah Dato’ Wan Idris sendiri.
Menjelang tahun 1920-an hingga awal 1940-an, perbelanjaan dan kemewahan sultan Johor ini mula mendapat perhatian dan kritikan rakyat Johor sendiri. Antara tokoh yang sangat berani menegur sultan dalam urusan perbelanjaan kewangan ialah Dato’ Onn Jaafar dan Dato’ Abd Rahman Mohd Yasin. Terdapat juga penulis-penulis Melayu menulis ketidakwajaran Sultan Ibrahim menggunakan wang negeri mahupun wang sendiri kepada perkara yang tidak berfaedah dan pembaziran. Pandangan dan kritikan dari fikiran anak-anak Melayu yang bersamangat untuk memperbaiki standard hidup Melayu ini seolah-olah tidak dipedulikan oleh Sultan Ibrahim. Beliau hanya mendengar dari Majlis Mesyuarat Negeri dan Majlis Jemaah Menteri Johor.
Dato’ Wan Idris adalah tokoh pembesar yang dilihat menyebelahi pendirian Sultan Ibrahim. Beliau berpendapat, sultan telah menjalankan tanggongjawab baginda dan adalah hak baginda bagaimana untuk membelanjakan wang milik baginda. Dato’ Onn pernah mengkritik baginda sultan yang menggunakan tenaga Askar Timbalan Setia dan tahanan-tahanan penjara berkerja di ladang baginda tetapi Dato’ Wan Idris tetap mempertahankan tindakan sultan sebagai mengurangkan pembaziran kerana jika tidak dikerah bekerja mereka tidak berbuat apa-apa manakala mereka diberi gaji dan sara hidup samada Pasukan Timbalan Setia mahupun banduan di penjara.
Dato’ Wan Idris pada era sebelum Perang sangat dekat dengan sultan. Ketika Perang Dunia Kedua dan Johor diperintah Jepun, Dato’ Wan Idris menjadi ADC Sultan Ibrahim. Sultan Ibrahim dan pembesar Johor diberi keistimewaan memerintah mengikut arahan Jepun kerana baginda pernah menerima Bintang Kehormat Maharaja Jepun, pangkat satu yang bertaraf kerabat Diraja Maharaja Meiji. Dato’ Wan Idris selaku pegawai ADC Sultan Ibrahim bertanggongjawab memastikan keselamatan Sultan Ibrahim. Di bawah beliau, terdapat pegawai-pegawai dari tentera Jepun yang ditugaskan khas menjaga keperluan Sultan Ibrahim dalam menjalankan tugas baginda sebagai Sultan kepada rakyat Johor dan juga sebagai Ketua Suku Peribumi Zon Selatan yang meliputi Tanah Melayu, Singapura dan Sumatera.
Baginda Sultan dan Wan Idris berulang alik dari Istana Hinggap di Batu Pahat dan Istana Seri Pelangi di Pasir Pelangi Johor Bahru. Wan Idris juga juga kerap berurusan di Singapura bersama sultan kerana Singapura menjadi ibu pejabat Pentadbiran Tentera Jepun Zon Selatan. Mufti pribadi Sultan ketika Zaman Jepun ialah Kiai Fadhil Banten. Manakala Menteri Besar Johor ialah Engku Abdul Aziz Engku Abd Majid. Dato’ Onn ketika itu menjadi pegawai pengawal bekalan makanan Johor di Johor Bahru.
Selepas perang tamat pada tahun 1945, Dato’ Wan Idris memohon berkhimat di Segamat, daerah tumpah darah dan kampong halaman beliau. Permohonan beliau telah diperkenan oleh Sultan Ibrahim. Beliau telah balik ke Segamat menjawat jawatan Pegawai Daerah. Tujuan utama Dato’ Wan Idris balik ke Segamat adalah untuk memulih dan mengembalikan semangat penduduk Segamat khususnya kaum kerabat beliau kerana Segamat dimasuki tentera Jepun dan menjadi pengkalan tentera Jepun yang besar sebelum mereka berjaya menawan Singapura.
Ketika di Segamat, Dato’ Wan Idris berjaya membagun semula Segamat dari segi fizikal mahupun moral. Beliau berjaya menghidupkan semangat dan keyakinan penduduk Segamat serta merancakkan semula aktiviti yang berupaya mengeluarkan hasil. Sumber hasil bumi Segamat ialah pembalakan dan hasil-hasil hutan disamping hasil-hasil pertanian. Masalah besar penduduk ialah gangguan pengganas komunis. Dato’Wan Idris telah mempebesarkan Pasukan Sukarela Timbalan Setia (JVMF) disamping berjaya memohon pelbagai operasi memburu pengganas dan latihan ketenteraan diada dan dilakukan di hutan Segamat. Meskipun kedudukan Segamatmenjadi pilihan pengganas komunis membuat pengkalan atau pusat ketenteraan mereka, tetapi pengganas komunis tidak dapat berkuasa mahupun dapat mempengaruhi pemikiran penduduk Segamat.
Segamat terus membangun dan berkembang seperti daerah-daerah lain di Johor. Dato’ Wan Idris sangat bekerja keras dan telah menabur jasa di Segamat tetapi beliau tidak menceburkan diri dan berminat dengan aktiviti politik. Beliau juga tidak dapat lama berkhidmat di Segamat. Penduduk Segamat berasa sedih apabila mendapati Dato’ Wan Idris telah dititah oleh Sultan Ibrahim untuk bertugas di Batu Pahat menjadi Pegawai Daerah menggantikan Dato’ Onn Jaafar yang dilantik menjadi Menteri Besar Johor pada tahun 1946. Mereka terpaksa merelakannya kerana mereka tahu bahawa Dato’ Wan Idris adalah orang kesayangan dan kepercayaan Sultan Ibrahim.
Di Batu Pahat ketika itu, semangat perjuangan orang-orang Melayu menuntut pembubaran Malayan Union adalah sangat hebat. Semua orang Melayu telah bersatu padu memperjuangkan pemansuhan Malayan Union yang dianggap tidak sah dan biadab kerana merampas hak orang Melayu dan kedaulatan raja Melayu di tanahair mereka, Tanah Melayu. Orang Melayu Batu Pahat telah berjaya menubuhkan Pergerakan Melayu Semenanjung Johor yang diketuai oleh Dato’ Onn bin Jaafar. Pertubuhan ini berjaya mengadakan beberapa kongres Melayu yang besar pada tahun itu hingga berjaya menyatupadukan semua pertubuhan Melayu dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu yang dikenali sebagai UMNO. UMNO telah ditubuhkan dengan rasminya di Johor Bahru pada 11 Mei 1946.
Ketika Dato’ Wan Idris dititah sultan berkhidmat di Batu Pahat dan Dato’ Onn dipanggil ke Johor Bahru menjadi Menteri Besar, terdengar desas-desus Sultan Ibrahim sebenarnya bercadang menghadkan kegiatan dan populariti Dato’ Onn. Dato’ Wan Idris pula dijadikan mata dan telinga baginda di Batu Pahat kerana ada antara mereka yang ekstrim telah mula menuntut merdeka seperti Indonesia. Mereka menolak kerajaan beraja atau sultan. Hal ini telah dilaporkan oleh Dato’ Wan Idris kepada baginda Sultan dan telah disahkan oleh Dato’ Onn . Dato’ Onn sangat bijak mengambil kesempatan ini kerana beliau tahu bahawa Sultan Ibrahim juga sangat berpengaruh dan ditakuti oleh pegawai Inggeris. Pengaduan Sultan kepada pihak Inggeris telah memberi keuntungan kepada perjuangan UMNO. Ini adalah kerana pihak Inggeris tidak sanggup berdepan dengan pejuang kemerdekaan yang menggunakan senjata atau pertumpahan darah sebagaimana berlaku di Indonesia.
Dato’ Wan Idris telah membuktikan kesetiaannya kepada Sultan dengan melaporkan segala aktiviti politik yang berlaku di Batu Pahat. Beliau juga menyiasat dan melaporkan segala titah yang dikehendaki Sultan. Manakala Dato’ Onn pula telah menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar Johor, menjalankan aktiviti UMNO. Akhirnya beliau telah ditegur sultan danpada tahun 1950, Sultan Ibrahim telah mencabar Dato’ Onn supaya mengutamakan pembangunan negeri Johor daripada hal politik Melayu. Dato’ Onn telah menyahut cabaran bapa angkatnya dengan meletak jawatan Menteri Besar Johor pada 18 Mei 1950 untuk menumpukan perhatian terhadap aktiviti UMNO menuntut kemerdekaan.
Terdapat juga maklumat dari beberapa responden bahawa peristiwa ini berlaku adalah hasil dari salah satu strateji dan jarum suntikan Inggeris untuk melemahkan Dato’ Onn yang tidak digemari mereka melalui pengaruh Sultan Johor. Mereka juga berusaha menggunakan pembesar-pembesar kesayangan dan kepercayaan Sultan Ibrahim seperti percubaan mereka terhadap Dato’ Wan Idris. Inggeris juga cuba menghasut Dato’ Wan Idris supaya menghalang atau mensabotaj Dato’ Onn tetapi Dato’ Wan Idris tidak memberi apa-apa respon. Usaha Inggeris ini akhirnya dianggap berjaya juga walaupun bukan dari bantuan Dato’ Wan Idris, apabila Dato’ Onn yang digeruni Inggeris kerana kebijaksanaannya diketepikan oleh orang Melayu sendiri. Inggeris sangat faham strateji mereka menggunakan sentiment emosi orang-orang Melayu sendiri dengan memperkenalkan YM Tunku Abd Rahman Putra yang dianggap lebih toleren daripada Dato’ Onn telah berjaya.
Sebelum peristiwa perletakan jawatan Menteri Besar oleh Dato’ Onn, Dato’ Wan Idris telah dinaikkan pangkat oleh Sultan Ibrahim sebagai Timbalan Menteri Besar pada 22 Mac 1948. Beliau adalah seorang yang jujur, cekap dan setia kepada Sultan. Beliau sering dipuji Sultan dihadapan pembesar dan pegawai tinggi kerajaan Johor. Diwaktu yang sama, Dato’ Wan Idris terus menjalankan tugas beliau sebagai Persuruhjaya Cukai dan Hasil Tanah Negeri Johor. Beliau telah menganggotai Majlis Mesyuarat Negeri dan juga menjadi Ahli Majlis Jemaah Menteri Johor. Kedua-dua Majlis ini dipengerusikan oleh Sultan Johor.
Dato’ Wan Idris Wan Ibrahim sangat terkenal sebagai seorang pegawai tinggi dan pembesar negeri Johor yang agak pendiam tetapi sangat bijak mengenal segala masalah dan bijak mencari jalan penyelesaiannya. Beliau mempunyai karisma kepimpinan yang tinggi dan ini diakui oleh Dato’ Onn selaku adik angkat beliau. Mereka sebenarnya amat rapat kerana sama-sama membesar dibawah bumbung yang sama. Dato’ Onn pernah memujuk abang angkatnya, Dato’ Wan Idris supaya membantu beliau melaksana dan menjalankan aktiviti politik orang Melayu memperjuangkan kemerdekaan. Dato’ Wan Idris tidak menyertai Dato’ Onn tetapi beliau tidak pernah menghalangnya malah diberi galakan, sokongan dan bantuan.
Terdapat juga maklumat dimana Dato’ Wan Idris sendiri pernah dituduh tidak berjiwa Melayu. Beliau pernah dituduh memberi nasihat yang salah kepada Sultan kerana menandatangani penyerahan kuasa kepada Mac Michael.Tetapi dinafikan sendiri oleh Sultan kerana baginda berpendirian, duduk dibawah naungan Inggeris adalah lebih baik daripada menuntut merdeka dan bekerajaan sendiri jika belum berkemampuan. Satu perkara dimana Dato’ Onn amat berterima kahsih kepada Dato’ Wan Idris ialah sokongan Dato’ Wan Idris dan Tengku Mahkota Ismail sehingga pihak UMNO diberi izin menggunakan Istana Besar Johor oleh Sultan Ibrahim untuk mengadakan Kongres Melayu malah perbelanjaan juga dibantu biaya.
Meskipun kadang-kala Dato’ Onn sering terasa bayang-bayang Dato’ Wan Idris selalu mengekorinya kerana umum mengetahui bahawa Dato’ Wan Idris adalah mata-mata Sultan Ibrahim, bapa angkat mereka, Dato’ Onn tidak pernah mengesyaki apa-apa yang berbentuk negatif dan menghianatinya. Ini adalah kerana Dato’ Onn sebagai adik, juga mengambil nasihat Dato’ Wan Idris dan menjadikannya sebagai dasar perjuangan iaitu supaya jangan sampai Melayu menghapuskan kedaulatan raja mereka sendiri. Ini amat terkesan di sanubari Dato’ Onn kerana mereka mengetahui asal-usul keturunan mereka.
Setelah Dato’ Onn meletak jawatan Menteri Besar Johor pada 18 Mei 1950, Dato’ Wan Idris yang ketika itu sedang menjawat Timbalan Menteri Besar telah dititah Sultan memangku jawatan Menteri Besar. Beliau telah menjunjung titah menjalankan tugas Menteri Besar sehingga 20 Februari 1952. Beliau telah menjalankan tugasnya dengan penuh didikasi dan mendapat sepenuh kepercayaan dari Sultan Ibrahim. Walaupun begitu, sultan tetap menghargai jasa Dato’ Onn yang telah menyelamatkan kedaulatan raja-raja Melayu dan berjaya membubarkan Malayan Union dan menubuh dan menyatukan persatuan orang-orang Melayu dari seluruh negara yang dikenali sebagai UMNO. Baginda pada dasarnya mempunyai pandangan yang sama dengan Dato’ Onn iaitu menuntut kemerdekaan apabila telah bersedia menyiapkan segala keperluan asas terutamanya tenaga professional dan golongan berpelajaran tinggi serta ahli teknokrat yang mencukupi.
Baginda telah menerima nasihat Dato’ Onn dan sokongan Dato’ Wan Idris, supaya melantik Dato’ Syed Abd Kadir bin Syed Mohamed menjadi Menteri Besar Johor. Perlantikan ini dianggap sangat penting dan unik kerana inilah pertama kalinya, seorang Menteri Besar bukan dari kalangan kerabat, bukan berasal usul Melayu dan bukan dari pegawai kanan kelas A1. Tetapi ini telah diterima oleh Sultan kerana Dato’ Onn juga amat bijak membuat strateji agar pemikiran orang Melayu dapat terima dan berubah.
Saranan Dato’ Onn kepada Sultan Ibrahim telah disokong kuat oleh Dato’ Wan Idris selaku pemangku Menteri Besar dan penasihat kepercayaan Sultan. Dato’ Syed Abd Kadir dari keturunan Arab-Melayu juga dijangka dapat mempengaruhi saudagar dan jutawan Arab di Tanah Melayu dan di Singapura dan selain itu Dato’ Onn yakin pengaruhnya terhadap Dato’ Syed Abd Kadir juga dapat memainkan peranan sebagai Menteri Besar Johor di belakang Dato’ Syed Abd Kadir. Orang Melayu seluruh Tanah Melayu ketika itu, semuanya sedang bersemangat untuk merdeka dan Negeri Johor telah dijadikan kunci dan teladan untuk menyusun dan memulakan sebarang tindakan. Sultan Ibrahim pula merupakan sultan yang terkanan dan sangat berpengaruh dikalangan raja-raja Melayu. Jika kerajaan Johor menunjukkan pengecualian dan tidak mengetuai perbincangan dan perjuangan menuntut kemerdekaan, berkemungkinan besar pihak Inggeris tidak mempedulikan bantahan rakyat terhadap dasar-dasar penjajahan Inggeris.
Kedudukan dan pendirian Dato’ Wan Idris yang terlalu setia kepada sultan dijangka memperlambatkan kejayaan dalam perundingan menuntut kemerdekaan. Di satu pihak lain pula menganggap Dato’ Wan Idris adalah juga seorang patriot kerana sanggup berkorban melepaskan jawatan dan kekanannya, tidak mementingkan diri. Dato’ Wan Idris bersetuju dengan pandangan Dato’ Onn demi untuk kepentingan orang Melayu bukan sahaja di Johor tetapi di seluruh Tanah Melayu. Beliau telah melepaskan tugas memangku jawatan Menteri Besar dan Dato’ Syed Abd Kadir bin Syed Mohamed, sahabat seperjuangan politik Dato’ Onn telah dilantik oleh Sultan Ibrahim menjadi Menteri Besar Ke-8 pada 20 Februari 1952 hingga 5 Jun 1955. Ketika itu Dato’ Syed Abd Kadir sedang menjawat hanya jawatan Setiausaha Pejabat Daerah Muar dan berada di kumpulan pegawai kerajaan kelas A3. Tetapi tidak menerima sebarang bantahan kerana peranan dan jasa Dato’ Onn serta titah Sultan Ibrahim.
Apabila Dato’ Syed Abd Kadir melepaskan jawatan Menteri Besar pada 5 Jun 1955 kerana persediaan piliharaya Persekutuan Tanah Melayu 1955, Dato’ Wan Idris telah dilantik oleh Sultan Ibrahim menjadi Menteri Besar Johor Ke-9 . Beliau telah bertugas dari 10 Oktober 1955 hingga 16 Jun 1959. Sebelum itu satu peristiwa bersejarah telah belaku dalam perkembangan politik Melayu dimana Dato’ Onn Jaafar telah keluar dari UMNO pada tahun 1951. Beliau bertindak keluar dari UMNO kerana ahli-ahli UMNO tidak bersetuju diatas saranan beliau untuk membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu.
Secara otomatik, Dato’ Onn juga terkeluar dari kumpulan merundingkan kemerdekaan yang diketuai beliau. Ahli-ahli UMNO telah memilih YM Tunku Abd Rahman menggantikan Dato’ Onn yang dituduh sudah terpengaruh kepada Inggeris kerana termakan budi. Ketika Dato’ Onn sedang kecewa inilah, Dato’ Wan Idris bersetuju menerima saranan Dato’ Onn agar memberi laluan kepada Dato’ Syed Abd Kadir menjadi Menteri Besar.
Pada tahun 1956, Dato’ Wan Idris juga telah memberi laluan kepada timbalannya iaitu Dato’ Mohd Seth supaya menggantikan beliau mewakili Sultan Johor sebagai wakil ahli Majlis Raja-raja Melayu dalam Rombongan Membincangkan Kemerdekaan di London. Dato’ Wan Idris tidak menaruh hati dan dendam meskipun ada khabar-kahbar mengatakan beliau tidak bersetuju merdeka dan dikhuartiri berpendirian serupa seperti Sultan Ibrahim yang tidak menyokong kemerdekaan segera.
Pada ketika itu beliau telah berusia 68 tahun. Beliau telah memohon Sultan Ibrahim yang menitahkan beliau mewakili baginda agar menggantikan dengan orang lain. Dato’ Wan Idris telah dengan ikhlas memohon beliau digantikan oleh Dato’ Mohd Seth atas sebab usia dan kesihatan. Disamping itu beliau juga memberi alasan yang sangat wajar terhadap keistimewaan Dato’ Mohd Seth yang boleh dipercayai baginda kerana beliau adalah Timbalan Menteri Besar, pernah menjadi setiausaha kerajaan Johor dan Dato’ Mohd Seth juga mempunyai hubungan darah dengan kerabat Diraja, keluarga Dato’ Onn dan juga dengan keluarga Dato’ Abd Rahman Yasin yang menguasai UMNO bersama YM Tunku Abd Rahman. Permohonan Dato’ Wan Idris ini telah diperkenan oleh Sultan Ibrahim. Persekutuan Tanah Melayu telah merdeka pada 31 Ogos 1957.
Kesemua rundingan kemerdekaan telah diwakili oleh Pemangku Sultan Johor iaitu Tengku Mahkota Johor, YM Tengku Ismail Ibn Sultan Ibrahim. Manakala wakil kuasa ekserkutif diwakili oleh Dato’ Mohd Seth. Dato’ Wan Idris Wan Ibrahim telah menumpukan perhatian beliau terhadap tugas-tugas Menteri Besar Negeri Johor dan melaksanakan semua amanah Sultan Ibrahim mentadbir negeri ketika baginda tidak berada di Johor. Sultan sering berada di luar negeri atas faktor perubatan dan kesihatan. Ini adalah kerana baginda sering uzor kerana usia tua. Setelah Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada tahun 1957, kesihatan Sultan Johor yang telah berusia 84 tahun bertambah buruk. Baginda sering gering dan telah mangkat di London pada 8 Mei 1959.
Berikutan dari kemangkatan Sultan Ibrahim, Dato’ Wan Idris Wan Ibrahim telah melepaskan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Johor Ke-9 pada 16 Jun 1959 untuk memberi laluan kepada penyandang baru mengikut Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Tan Sri Hassan Yunos yang telah menang dalam pilihanraya Persekutuan telah dilantik menjadi Menteri Besar Johor Ke 10 pada 27 Jun 1959 dan berkhidmat sehingga 31 Jan 1967. Beliau merupakan Menteri Besar pertama pilihan rakyat mengikut sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.
Semenjak bersara, Dato’ Wan Idris banyak berehat dan mengurus Jemaah Kerabat Diraja Johor yang dianggotainya. Beliau merupakan ahli berdarah kerabat dan juga berjiwa rakyat tertua yang aktif sehingga 1965. Pada tahun 1973, Dato’ Wan Idris Wan Ibrahim telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan diiringi kesedihan dari seluruh rakyat Johor terutamanya kaum kerabat beliau dan penduduk Segamat. Beliau adalah ikon keluarga Temenggong Muar dari zuriat Bendahara Tepok dan bendahara Melaka. Beliau telah menunjukkan taat setia yang begitu berhemah dan tidak pernah menderhaka atau mengambil kesempatan membalas dendam terhadap perlakuan Sultan Johor ke atas keluarganya.
Dato’ Wan Idris Wan Ibrahim adalah seorang pembesar Johor yang amat berjasa dan sangat bijaksana terlahir dari dasar dan perancangan teliti Sultan Abu Bakar dalam bidang pelajaran. Beliau juga merupakan salah seorang pembesar Johor yang berjaya membuktikan kebolehan dan kecekapan Melayu mentadbir dan memerintah negeri secara moden. Kejayaan dan jasa beliau yang terbesar ialah mengawal perolehan hasil Johor sehingga menjadikan Johor sebagai negeri Melayu yang terkaya di era perkhidmatan beliau. Beliau sangat dikasihi dan dipercayai oleh Sultan Ibrahim Johor dan beliau telah menunjukkan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi hingga ke akhir hayat. Jasa dan bakti beliau telah dikenang dengan menamakan bangunan sekolah, jalan raya, taman perumahan dan kampong di Segamat, Batu Pahat dan di Kota Tinggi.
Sumber dari blogger Sejarah TSEB
1 comment:
Wah...thanks for sharing...rasanya kisah ni ada sikit2 je dlm subjek sejarah kan...
Post a Comment