Isu diskaun Bumiputera — Khairy Jamaluddin
Kita sudah mendengar pelbagai reaksi dan ulasan terhadap cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, YB Tony Pua, kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk memansuhkan diskaun Bumiputera dalam pembelian rumah berharga RM500 ribu ke atas dan hartanah komersial berharga lebih RM2 juta di negeri tersebut.
Ramai pihak, termasuk PAS Selangor, membantah cadangan tersebut. YAB Perdana Menteri sendiri telah mengingatkan YB Tony Pua dan parti DAP supaya jangan “terlalu menekan orang Melayu dan Bumiputera” dengan cadangan-cadangan yang tidak sensitif dan separuh masak.
Cadangan terbaru dari DAP rata-rata dilihat sebagai satu lagi usaha untuk menolak tepi kepentingan masyarakat Bumiputera. Saya percaya tanggapan itu juga telah mendorong PAS Selangor untuk membantah cadangan tersebut dan menyebabkan Ketua Umum PKR, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, terus membisu dalam hal ini.
Di sini perlu saya tegaskan, saya sudah berkali-kali menyuarakan keperluan untuk orang Melayu berani keluar dari kepompong zon selesa dan tidak hanya berharap pada tongkat. Saya mahu melihat masyarakat Bumiputera bersaing secara terbuka berdasarkan merit dan kekuatan sendiri. Hujah-hujah saya dari awal konsisten, yakni Kerajaan perlu membantu golongan Bumiputera yang benar-benar layak menerima bantuan sama ada dari segi keperluan atau merit.
Mungkin di sini ada yang tertanya, kalau begitu prinsip dan pegangan saya, kenapa pula saya tidak menyokong saranan Pua? Apa yang dicadangkan oleh Pua itu cuma pemansuhan diskaun untuk rumah-rumah yang boleh dikatakan rumah kos tinggi dan juga premis komersial yang agak mahal. Bukankah sudah tentunya mereka yang mampu membeli hartanah seperti ini merupakan individu dan syarikat yang sudah berjaya, maka mereka tidak lagi memerlukan diskaun tersebut?
Sekiranya dilihat dari kanta teori ekonomi semata-mata, mungkin ada yang akan bersetuju dengan rasional cadangan Pua. Kenapa perlu kita kekalkan diskaun kepada mereka yang mampu membayar jumlah yang besar untuk rumah kos tinggi? Tetapi hakikatnya, sekiranya kita melihat kepada pegangan hartanah Bumiputera di setiap peringkat, angkanya jauh ketinggalan berbanding kaum lain.
Statistik pada tahun 2007 menunjukkan peratus pemilikan bangunan oleh Bumiputera cuma 15.7 peratus. Bagi hartanah komersial pula, Bumiputera hanya memiliki sekitar 29.2 peratus untuk kompleks perniagaan dan serendah 3.5 peratus untuk premis perindustrian. Statistik ini menggambarkan suatu ketidakseimbangan yang terlalu ketara.
Sekiranya kita mengambil kira premis-premis komersial di kawasan bandar dengan harga RM 2 juta ke atas, saya percaya peratus pegangan Bumiputera begitu rendah. Antara faktor penentu kos sesuatu premis adalah lokasi, dan bukan semata-mata saiz atau keluasan. Sekiranya cadangan Pua dilaksanakan, maka amat sukar bagi usahawan-usahawan Bumiputera untuk berniaga di lokasi yang strategik lantas hanya terhad kepada pinggiran bandar semata-mata.
Satu lagi hujah Pua adalah hartanah yang dibeli dengan harga diskaun ini dijual semula oleh broker atau orang tengah dengan harga yang lebih mahal. Beliau menegaskan bahawa salah guna dasar seperti penjualan semula oleh broker menjadi salah satu sebab skim diskaun ini perlu dimansuhkan. Saya tidak langsung boleh menerima alasan ini kerana jika pelaksanaan menjadi masalah, maka wajarlah kita menangani kelemahan tersebut dan bukannya memansuhkan terus dasar diskaun Bumiputera ini.
Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah pelaksanaan adalah memastikan bahawa status dan klasifikasi lot Bumiputera tidak diubah bagi mengelak sebarang pihak yang membeli hartanah tersebut dengan harga diskaun dan menjualnya dengan keuntungan harga pasaran secara terbuka.
Perlu diingat bahawa diskaun tersebut berkait rapat dengan galakan pemilikan dan bukan suatu tiket kepada keuntungan. Satu lagi masalah berkait adalah di mana pemilik Bumiputera menjual kepada
seorang pembeli Bumiputera lain dengan harga pasaran yang lebih tinggi. Isu ini boleh ditangani dengan mewajibkan satu tempoh khusus atau “moratorium” sebelum seseorang pemilik yang membeli rumah dengan harga diskaun Bumiputera dibenarkan menjual semula rumah tersebut,
walaupun kepada Bumiputera lain. Ini akan mampu mengelakkan masalah di mana dasar diskaun ini disalahgunakan untuk keuntungan cepat, dan bukannya digunakan oleh mereka yang benar-benar berniat tinggal di sesuatu kediaman.
Ada juga dakwaan yang kita dengar mengenai pemaju perumahan yang tidak bertanggungjawab sengaja menipu dengan mengisytiharkan kuota untuk Bumiputera tidak boleh dijual dan seterusnya memohon kepada pihak berkuasa agar hartanah tersebut dijual kepada bukan Bumiputera atas
harga tanpa diskaun. Semua ini merupakan isu-isu berkait dengan dasar tersebut yang tidak disentuh dan dikaji oleh Pua sewaktu member hujah-hujah cetek dan separuh masak beliau.
Maka saya menolak cadangan DAP berhubung pemansuhan diskaun atassebab-sebab di atas. Jika pemansuhan tersebut dilaksanakan, maka segala usaha dan galakan memperbetul ketidakseimbangan dalam pemilikan hartanah di Selangor pastinya akan gagal lantas terus melebarkan jurang ekonomi antara kaum.
Saya percaya pendirian saya ini akan mengundang kritikan — khususnya akan ada komen kononnya cadangan DAP ini tidak akan memberi kesan kepada Bumiputera berpendapatan rendah. Namun, saya berpandangan bahawa komen sebegini kurang tepat dan simplistik sepertimana hujah YB
Tony Pua. Usahawan Bumiputera yang cuba membeli premis komersial berharga RM2 juta tidak boleh diklasifikasikan sebagai ‘kaya’, sepertimana juga mereka yang mahu membeli rumah berharga RM600,000.
Barangkali dasar diskaun Bumiputera ini boleh disemak untuk kategori yang lebih tinggi, contohnya di atas nilai RM2 juta bagi pembelian rumah banglo. Malah YAB Perdana Menteri sendiri menyebut bahawa dasar ini tidak boleh diteruskan selama-lamanya. Dalam erti kata lain, dasar ini boleh diubah dan dikemaskini dalam jangka masa panjang, tetapi bukan sebelum pemilikan hartanah diseimbangkan lagi.
Saya juga amat kesal dengan saranan Pua kerana beliau langsung tidak mencadangkan sebarang dasar lain untuk memperbetul ketidakseimbangan ini, jikapun tidak bersetuju dengan diskaun 7 peratus tersebut. Ini jelas mendedahkan bahawa DAP tidak ikhlas malah tiada niat untuk membantu agenda Melayu, walaupun mereka tidak henti-henti cuba menjaja persepsi kononnya DAP adalah parti untuk seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum.
Saya berharap kelak, sebelum mereka mengeluarkan sebarang cadangan seperti ini, mereka akan dapat memberi alternatif bagaimana masalah asas iaitu ketidakseimbangan dalam pemilikan hartanah dapat ditangani.
Sekiranya tidak, maka ternyatalah DAP gagal membawa aspirasi seluruh majoriti Malaysia.
No comments:
Post a Comment