Nuffnang Ads

Pages

Saturday, July 31, 2010

Ku Li: Ubah BN, Pakatan Parti Pelbagai Kaum Dengan Keahlian Terus

Bila WZWH melihat kembali sejarah Tanah Melayu, dulu pada akhir tahun 1940an, Dato Onn Jaafar pengasas UMNO telah mencadangkan idea keanggotaan ahli UMNO dibuka kepada bukan Melayu.

Dato' Onn berpandangan jauh bahawa Tanah Melayu ini yang penduduknya terdiri dari berbilang bangsa iaitu kaum Melayu, Cina, India dll. Negara ini Malaysia akan sakit jika terdapat parti-parti politik yang masih mengekalkan identiti kaum ras masing-masing dan pelabur luar segan hendak bawa FDI masuk melabur di Malaysia.

Tetapi pandangan Dato' Onn tidak diterima oleh majoriti ahli UMNO yang tidak boleh memahami pandangan "advance" Dato' Onn melangkaui masa dan zamannya.

Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menggesa agar Barisan Nasional (BN) berubah sebagai parti pelbagai kaum menerusi status keahlian terus.

Beliau yakin jika BN mengambil langkah itu Pakatan Rakyat (PR), yang dibentuk dua tahun lalu selepas keputusan pilihan raya umum ke-12 akan menyusul.

Pemimpin veteran itu berkata rakyat wajar mengetepikan politik berimejkan perwakilan kaum jika mahu negara ini serius dalam penerimaan slogan 1 Malaysia.

“Jadi, jika serius dengan slogan 1 Malaysia, tukar Barisan Nasional menjadi sebuah parti yang terbuka kepada semua warganegara. Ubah ia sebagai parti pelbagai kaum dengan menjadikan keanggotaan langsung,” katanya.

Dengan mengambil tindakan itu, kata beliau PR juga akan dipaksa berbuat demikian kerana jika tidak, ia akan ketinggalan.

“Kemudian kita patut ada laluan kepada sistem dua parti bukan berasaskan kaum,” kata Ahli Parlimen Gua Musang ini pada Sidang Kemuncak Tahunan Kepimpinan Pelajar Malaysia Keempat di sini.

Tengku Razaleigh menegaskan BN dan PR bertanggungjawab untuk memastikan negara bebas daripada politik kaum dan fahaman komunalisme.

“Jika Umno, MIC atau MCA takut akan kehilangan penyokong, biarkan ahli-ahli mereka menyertai parti pelbagai kaum yang baru ini.

“Rakyat harus melakukan perkara yang sama. Tiada siapa yang harus merasakan mereka ketinggalan. Ahli Umno boleh sertai beramai-ramai,” kata beliau.

“Persatuan Kopitiam Hainan juga boleh sertai mana-mana parti yang mereka mahukan atau kedua-dua parti secara beramai-ramai,” katanya lagi.

Dalam persekitaran sedemikian jelas Tengku Razaleigh, rakyat boleh mengekalkan persatuan-persatuan madani yang dipilih untuk dianggotai.

“Tetapi kita (perlu) mengetepikan kesemua fahaman perkauman apabila bersaing untuk sokongan undi.

“Calon-calon kita bertanding dalam pilihan raya, biarkan mereka mewakili semua kaum, kalah atau menang,” katanya lagi.

Tengku Razaleigh yang terkenal dengan panggilan Ku Li menekankan bahawa politik perkauman telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang “sakit.”

“Ini masa (yang sesuai) untuk merealisasikan impian Dato’ Onn dan semangat Perikatan, Tunku Abdul Rahman. Impian ialah satu bangsa Malaysia dan rakyat yang bersatu,” kata beliau sambil menambah, sedangkan “kita sepatutnya meneruskan usaha mereka, kita mengambil langkah sebaliknya.”

Oleh itu kata beliau, langkah seterusnya ialah melangkaui parti-parti berasaskan kaum untuk menghidupkan sistem parti bukan berasaskan kuam.

“Sistem parti berasaskan kaum adalah sebab politik utama mengapa negara kita sakit, merudum dari pandangan kita sendiri, dengan wang mengalir keluar dan ibu bapa pula memberitahu anak-anak mereka agar jangan pulang ke tanah air selepas habis pengajian,” kata beliau.

Sehubungan itu Ketua Umno Gua Musang ini memberitahu, pentadbiran Najib seharusnya melaksanakan dasar-dasar yang menggambarkan slogan 1 Malaysia.

“Mari kita melihat kerajaan hari ini dengan menunjukkan kepimpinan menerusi teladan. Slogan 1 Malaysia kosong kerana ia digerakkan oleh kerajaan yang menggalakkan sistem parti berasaskan kaum, yang merupakan sebab utama kita tidak beupaya untuk menyuburkan hubungan kaum,” katanya.

Malah kata beliau, ia juga punca pelabur dan rakyat sendiri tidak yakin dengan keadaan ekonomi negara.

“Itu sebabnya kita ketinggalan di belakang Maldives dalam sukan bola sepak, di belakang Filipina dalam menarik FDI, semuanya berkaitan satu sama lain,” kata Tengku Razaleigh.

Tengku Razaleigh juga memberitahu, rakyat tidak harus bimbang untuk mempersoalkan ‘status quo’ politik di negara ini.

Tegas beliau, seruan agar mengakhiri tindakan mengaitkan apa sahaja termasuk politik, ekonomi, dasar pendidikan dengan kaum bukan sesuatu yang konservatif ataupun liberal.

“Seruan itu semakin meningkat,” katanya lagi.

No comments: