Monday, February 14, 2011

Blog Kampung Mela, Nostalgia, "First Love" Dan Sejarah


Novel karya hasil tulisan anak Kampung Mela pada tahun 1962 yang pernah menjadi buku teks sastera Sekolah Menengah Malaysia.

WZWH baru terjumpa blog Kampung Mela. Blog ini dicipta pada Oktober 2010. Tidak diketahui siapa bloggernya tapi tentu anak Kampung Mela.

Penulis blog menghasilkan 52 posting semuanya berkenaan Kampung Mela. Semua posting dibuat pada bulan Oktober 2010. Selepas itu tiada posting dihasilkan. WZWH suka blogger yang tulis pasal sejarah, tradisi, politik, ekonomi dan sosial kampung sendiri.

WZWH pun listkan blog Kampung Mela dalam blog Jerantut. Kampung Mela terletak dalam Daerah Kuala Lipis Mukim Cheka. Kampung Mela merupakan kampung paling hilir Sungai Jelai yang berakhir di Kampung Kuala Tembeling. Ada lagi kampung yang paling hilir sekali iaitu kampung Tanjung Bungor.

Kampung Mela terdiri dari beberapa subkampung lagi seperti Kg Mela Tengah, Kg Selang Dato', Kg Hilir, Kg Atil, Kg Serunai, Kg Temunga, Kg Serdang, Kg Talus, Kg Bungor, Kg Chagah, Kg Gemunchur, Kg Ganding, Kg Temetong, Kg Limau Purut yang terkenal dengan bomoh atau tabib patah, dan Kg Jeram Landak.

Kampung Mela merupakan salah sebuah perkampungan yang berada dalam Mukim Cheka 1. Lokasinya terletak 32 km dari Bandar Jerantut dan 38 km dari Bandar Kuala Lipis. Keluasan kampung ini dalam lingkungan 833 hektar dengan bentuk muka buminya yang berbukit-bukau. Sekolah Kebangsaan Mela merupakan bangunan tertinggi yang terdapat di kawasan ini, tambahan pula kedudukan sekolah tersebut dibina di atas kawasan yang berbukit. Hal ini menjadikan sekolah tersebut sebagai mercu tanda bagi penduduk di kampung ini. Malah, perkhidmatan Kereta api Tanah Melayu yang menghubungkan Daerah Tumpat ke Singapura turut melalui kawasan perkampungan ini.

Penduduk di kampung ini menjalankan kehidupan seharian secara sederhana dan jalinan hubungan sesama penduduk kampung yang baik mewujudkan sebuah perkampungan yang aman dan damai. Penduduk di kampung ini mengekalkan adat resam Melayu yang mementingkan adat sopan dan saling menghormati antara satu sama lain. Amalan ini yang menjadi salah satu keistimewaan yang terdapat pada penduduk di kampung ini.

Sungguhpun Kampung Tanjung Bungor (KTB) terletak dalam Mukim Cheka, Daerah Lipis, namun jaraknya ke bandar Lipis tidak kurang 30 Kilometer. Bandar terhampir adalah bandar Jerantut yang hanya 17 kilometer keselatan (kira-kira 15-20 minit memandu melalui jalan "rollercoaster". Jadi KTB adalah kampung yang paling hilir dalam daerah Lipis jika mengikut aliran sungai Jelai. Pekan yg terhampir adalah Pekan Kuala Tembeling (2 KM) di sebelah Jerantut dan Pekan Mela (4 KM) menghala ke Kuala Lipis. Perkhidmatan bas ke Bandar yang melalui KTB adalah bas Jelai (Transnasional) dan Pahang Ling Siong. Bagi perkhidmatan kereta api, tren henti-henti dari Jerantut - Lipis ada singgah di pekan Mela. Kampung-kampung jiran terutamanya yang terletak diseberang sungai Jelai menghadapi nasib yg sama dengan KTB...tinggal nama...seperti Kampung Paya Bo, Kampung Chagah, Kampung Gemuncur, Kampung Gelugur, Kampung Talus dan lain-lain. Penghijrahan besar-besaran penduduk ke tanah-tanah rancangan Felda pada awal tahun 1970an meninggalkan kampung sehingga lengang. Sebahagian lagi berhijrah dengan membina kerjaya di luar dan enggan pulang apabila pencen. Banjir yang melanda pada tahun 1971 dan 1990 melemahkan semangat anak kampung untuk menetap dan membina rumah di KTB.

WZWH dibesarkan di Kampung Kuala Tembeling lebih kurang 4 batu dari Kampung Mela. Kehidupan kanak-kanak dan remaja (semasa cuti sekolah) banyak dihabiskan di Kampung Kuala Tembeling. Pada awal 1980an ramai budak lelaki di Kg Kuala Tembeling manakala ramai budak perempuan di Kg Mela. Bila Hari Raya selalunya WZWH dan kawan-kawan suka pergi beraya ke Kg Mela kerana ramai remaja perempuan yang cantik di kampung itu.

"First love" WZWH bermula di Kg Mela. WZWH dulu pada awal tahun 1980an pernah ada "girlfriend" di Kampung Mela. Seorang anak dara kampung yang cantik, baik budi bahasa, pandai memasak dan mengemas rumah dan anggun. Itu cerita nostalgia "first love" yang WZWH tidak dapat lupakan.

WZWH telah diberitahu bahawa moyang WZWH yang bernama Wan Ismail bin Tun Salleh mempunyai seorang isteri yang bernama Khaimah merupakan anak Orang kaya Mela. Semasa moyang WZWH mengulangi isterinya di Kg Mela dari Kg Pulau Besar Ulu Tembeling masa itulah Orang Besar Berempat Maharaja Perba Jelai memberi mesej kepada beliau supaya mengambil Wan Ahmad (Sultan Wan Ahmad) dari Ulu Dungun, Terengganu.

Lalu Wan Ismail dan tujuh pendekar Kg Janing datang mengambil Wan Ahmad dan mereka bersumpah setia di Kg Pasir Raja dan bila sampai ke Ulu Tembeling bersama dengan orang Tembeling mudik Sungai Tembeling dan berjumpa dengan orang Jelai pengikut Maharaja Perba Jelai di Pasir Tambang Kg Kuala Tembeling.

Di Pasir Tambanglah pada tahun 1862 Wan Ahmad diangkat oleh orang Tembeling dan orang Jelai memulakan satu revolusi Pahang yang berjaya menjatuhkan Bendarahara Tun (Wan) Mutahir. Sebelum ini sudah berpuluh-puluh serangan  dilancarkan oleh Wan Ahmad tetapi semuanya gagal.

WZWH juga diberitahu keturunan isteri Wan Ismail yang bernama Khaimah ini ada di Kg Limau Purut iaitu keluarga bomoh patah yang terkenal itu.

WZWH dilahirkan di Kuala Lipis pada 21 Januari 1968 di Hospital Kuala Lipis. Selepas itu ketika bayi  WZWH dibawa naik keretapi dari Bandar Kuala Lipis ke Stesen kecil Keretapi Kg Sepial berhampiran Kg Kuala Tembeling melalui Stesen Keretapi Mela.

Ini cerita Mela railway station in memory yang WZWH petik dari Blog Kampung Mela...

Stesen keretapi Mela pada awal tahun 1960an merupakan sebuah stesen yang sentiasa sibuk. Keretapi adalah satu-satunya pengangkutan darat yang terdapat di sini untuk pergi ke bandar seperti Kuala Lipis atau Jerantut. Begitu juga untuk ke tempat-tempat lain seperti Kuala Lumpur Dan Singapura. Perkhidmatan keretapi adalah merupakan nadi utama kepada penduduk kampung untuk bergerak ke destinasi tersebut.


Selain dari itu, stesen keretapi juga menjadi tempat tumpuan aktiviti kepada penduduk kampung. Dari tempat bertemu rakan-rakan untuk berbual, stesen ini juga menjadi tempat tumpuan para peniaga menjual hasil kampung seperti buahan dan sayuran. Pada waktu itu terdapat perkhidmatan keretapi yang dipanggil "serindik" yang membuat perjalanan dari Kuala Lipis ke Kampung Mela Pada pagi dan petang hari. Perkhidmatan mel ekspres juga berhenti menurunkan dan menaikkan penumpang yang hendak pergi ke pantai timur atau selatan termasuk Singapura. Kemeriahan stesen ini amat terasa pada waktu tersebut. Di stesen ini jugalah menjadi tempat bujang dan dara bertemu kali pertama dan mungkin juga membawa ke jinjang pelamin. Kesibukan peniaga jalanan yang menjunjung bakul di atas kepala sambil membuat jualan samada buahan atau makanan kepada para penumpang keretapi pada waktu itu amat memeriahkan suasana.





Stesen ini juga menjadi tumpuan terutamanya apabila ada pertunjukan seperti tayangan wayang gambar (wayang pacak) yang dibawakan oleh pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM) untuk menghiburkan pekerja-pekerja keretapi yang tinggal di kuarters KTM. Penduduk kampung turut sama datang beramai-ramai untuk menonton tayangan gambar tersebut. Di kawasan stesen inilah layar dipasangkan untuk penduduk kampung melihat pertunjukan wayang gambar. Penulis masih ingat lagi, tayangan akan diberhentikan sebentar apabila ada keretapi mel ekspres atau barang yang berhenti atau melalui stesen ini. Kemeriahan sekali lagi terasa apabila terdapat gerai jualan seperti makanan dan minuman di sini pada masa pertunjukan tersebut.


Pada zaman dimana penggunaan keretapi wap, stesen ini menjadi tempat untuk mengisi air di lokomotif. Air tersebut untuk menghasilkan wap yang akan menggerakan keretapi tersebut. Terdapat sebuah stesen pam air yang disediakan oleh pihak KTM di Kampung Selang Datuk, dimana sebuah perigi besar digali dan sebuah pam air yang menggunakan arang batu dipasang. Semasa penulis masih tinggal bersama keluarga di Kampung Selang Datuk, setiap pagi kami mandi air panas yang dihasilkan oleh pam air tersebut. Pam air akan dijalan kan pada waktu pagi untuk memenuhkan tangki air yang dipasang berdekatan stesen. Air dari tangki akan disalurkan ke lokomotof apabila diperlukan. Pam air telah tidak digunakan lagi apabila pihak KTM menukar lokomotof berinjin wap kepada injin disel. Semua peralatan termasuk tangki dan hos besar yang terdapat di stesen tersebut telah ditanggalkan.


Kini semuanya tinggal kenangan. stesen yang diperbuat dari kayu keras masih utuh, tetapi kemeriahan stesen ini sudah tiada lagi. Masih terbayang orang ramai yang memenuhi stesen ini terutamanya semasa hari raya kedua apabila ramai penduduk sekitar kampung beramai-ramai berkumpul untuk ke Kuala Lipis melihat tayangan wayang gambar di panggung di bandar Kuala Lipis, maklumlah pada waktu itu tiada siaran televisyen atau video seperti sekarang. Panggung wayang gambarlah yang menjadi tarikan utama.


Stesen Keretapi Mela mungkin akan kembali meriah apabila sistem elektrifikasi keretapi disambung hingga ke Stesen Tumpat. Itupun entah bila.....


No comments:

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...