Wednesday, March 16, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa


WZWH sangat puas hati menonton filem epik Hikayat Merong Mahawangsa. WZWH bangga anak-anak muda Melayu yang kreatif boleh menghasil filem epik Melayu bertaraf dunia. Syabas WZWH ucapkan kepada adik beradik KRU production Norman, Edri dan Yusri.

Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) arahan Yusry Abdul Halim sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat filem tempatan. Ini kerana sejak dari awal pembikinannya, filem ini mendapat publisiti yang cukup meluas. Bahkan, ia turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Secara jujurnya, WZWH merasakan buah tangan terbaru Yusry ini adalah yang terbaik berbanding filem-filemnya sebelum ini. Walaupun tidak sehebat filem epik dari luar negara tetapi penghasilan HMM memberikan satu penanda aras untuk kemajuan filem Malaysia.

Sebenarnya banyak aspek yang boleh dipuji dalam filem ini. Ia adalah sebuah filem epik penuh aksi dengan watak-watak mitos yang sarat dengan penggunaan kesan khas visual (CGI) dan set, busana dan "props" kurun ke 2.

Menurut Yusry, filem ini terpaksa mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana ia melibatkan kajian dan perancangan yang rapi. Jelas pengarah muda ini, bukan mudah untuk menterjermah satu karya klasik ke dalam sebuah filem yang hanya mengambil masa 110 minit.

WZWH suka dengan perjalanan cerita filem ini. Yusry bijak menyusun plot cerita sehingga ia mudah diikuti. Teknik CGI yang ditampilkan menerusi filem ini juga layak diberi pujian. Biarpun masih tidak kemas kerana ada yang nampak seperti lukisan, tetapi ia boleh dimaafkan kerana secara keseluruhan, CGI ini sangat membantu menghidupkan jalan cerita. Rasanya tidak ada lagi filem tempatan yang memaparkan teknik CGI secemerlang HMM. 

Bagaimanapun, WZWH berasa sedikit terganggu dengan mutu visual filem ini. Daripada mula hingga ke akhir, skrin kelihatan kabur dan malap. Mungkin produksi mahu mencipta suasana pada zaman dahulu, tetapi WZWH merasakan visual yang jelas dan cantik adalah lebih bagus. 

Selain itu, WZWH juga berasa sedikit terganggu dengan suara latar yang digunakan. Intonasi suara kedengaran seperti dibuat-buat dan tidak sesuai mewakili filem yang ingin dipasarkan ke luar negara. Alangkah lebih baik kalau suara Datuk Rahim Razali digunakan kerana suara pelakon veteran ini lebih jelas dan berkarisma. 

Menyentuh tentang lakonan pelakon terlibat, WZWH puji dengan kesungguhan Stephen Rahman Huges dalam menghayati watak Merong Mahawangsa. Mahupun tidak mampu berbahasa Melayu, tetapi jejaka berdarah Inggeris ini mampu menuturkan kata-kata dengan lancar walaupun adakalanya berbaur Inggeris. 

Dengan lakonan yang mantap tidak mustahil pada masa akan datang Stephen akan terus mendapat peluang untuk menjadi hero filem tempatan. Dengan wajah tampan dan tubuh yang sasa, lelaki ini memang mempunyai pakej sebagai hero filem. 

Begitu juga dengan lakonan Khir Rahman yang memegang watak Kemawas, ketua lanun Geruda yang cukup digeruni. Pelakon berpengalaman ini berjaya membuatkan penonton merasa marah dan benci terhadapnya. 

Manakala kehadiran Ummi Nazeera juga tidak mengecewakan. Pelakon yang sedang melanjutkan pelajaran di Australia ini membawakan watak Embok, seorang gadis kampung yang jatuh hati kepada Merong Mahawangsa. 

HMM mengisahkan tentang seorang nakhoda dan pahlawan yang bernama Merong Mahawangsa yang dikatakan berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain. Pada tahun 120, Empayar Rom yang ketika itu di bawah pemerintahan Hadrian sementara negara China, Dinasti Han merupakan empayar yang kuat dan telah memperluaskan pemerintahannya ke negara Asia Tengah.

Sewaktu angkatan Rom sedang membaik pulih kapal mereka di Goa, mereka meminta pertolongan Merong Mahawangsa mengiringi Putera Rom ke Langkasuka untuk berkahwin dengan seorang Puteri China yang cantik dari Dinasti Han.

Bagaimanapun, puak lanun dari Geruda telah menculik puteri tersebut dan menjadikannya sebagai tebusan. Dalam pertempuran dengan Geruda, Merong telah cedera parah dan dia telah diselamatkan oleh Kesum yang telah meramalkan tentang kehadiran seorang raja yang bakal menyelamatkan kampung mereka. 

Filem yang mengambil masa dua bulan untuk sesi penggambaran ini menelan belanja RM8 juta, sekaligus menjadikannya filem termahal dalam sejarah perfileman tempatan selepas filem Puteri Gunung Ledang.

Filem Hikayat Merong Mahawangsa ini dibintangi oleh Stephen Rahman Hughes sebagai Merong Mahawangsa, dan dilaporkan berdialog 70% bahasa Inggeris dan selebihnya dalam bahasa Melayu klasik.

Sedikit info:
  • Kos pembikinan filem adalah RM8 juta menjadikannya filem termahal KRU Studios
  • Filem Merong Mahawangsa akan diedarkan di 72 buah negara
  • Sebanyak 3 bas penuh dengan pelakon tambahan berbangsa India dibawa khas ke Terengganu dari Kuantan untuk babak pergaduhan di Goa
  • 2 ekor gajah dan 5 ekor kuda dibawa khas untuk babak di Goa.
  • Set perkampungan Melayu hancur sehari sebelum penggambaran dan terpaksa dibina semula dan menyebabkan penggambaran tertangguh selama 3 hari.
  • 105 orang pemain muzik Orchestra Antarabangsa bermain dibawah Malaysia Philharmonic.
  • Beberapa babak aksi dalam filem ini dirakamkan oleh jurukamera khas lagak ngeri dari Hong Kong.
  • Untuk filem ini, pasukan lagak ngeri dibawa khas dari Hong Kong dan merupakan pasukan yang sama untuk “Hellboy 2″ dan “Rush Hour”.
  • Jumlah shot CGI melebihi 2000 shot.

5 comments:

dobit127 said...

Salam bos...

Tabik kat ko... kawan agak akgum cara ko menulis blog tanpa henti-henti.. hampir setiap hari ada ssaja hendak ditulis.. Tulisan itu pula agak bernas dan mempunyai asas untuk dibicarakan dan dibawa ke tengah...

berkenaan HMM ni.. macam biasa ler, cerita melayu..kawan tunggu keluar TV ler...Sebab,
1. Wayang jauh
2. Jauh dari wayang
3. Serik dan tidak selesa bila tengok cerita Cicakman dulu ..x sempat habis...

Apapun tabik sekali lagi.....Macam mane cuti seminggu ni..banyak kerja jer...kawan relax kat umah la..

Wan Zamzuri Wan Hasenan said...

Salam Dobit127,
Bila ada idea WZWH tulis blog. Idea-fikiran-idea-tulis blog. Terima kasih follow blog WZWH.

Peminat baru... said...

Salam..bro..mcm ni lah..baru best..
kalau info politik sokmo letih juge kepala nak mikir nya...dapat info mcm ni ok juge....apa kata kalau bro nak bagi info.. bagi info kampung kampung yang ada kat jerantut tu...jangan lah asyik dun tahan je...bro kan pemikir politik jerantut..jerantut tu luas bro....cuba sentuh sikit kampung tradisional yang berhampiran dengan bandar... sekali lagi syabas bro.....mula dulu baca blog bro ni mcm nk muntah..tapi sekarang nampak mcm ok lah sikit...

Wan Zamzuri Wan Hasenan said...

Salam peminat baru,
Terima kasih beri cadangan dan komen bernas. WZWH akan pertimbangkan. Sebenarnya banyak benda nak tulis tentang Jerantut ni.

FARHAN PAHANG said...

banyak info sejarah jerantut yang tidak diketahui rakyat malaysia malah warga jerantut sendiri, elok juga kalau WZWH dapat postkannya di blog tuan

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...