Ini foto 'loving couple' Tuanku Sultan Pahang dan Sultanah melawat rakyat Ulu Tembeling dulu-dulu...dengan mengunakan perahu panjang berkajang berenjin motor sangkut mudik Sungai Tembeling.
Kini Tuanku Sultan suka naik helikopter bila berangkat ke Ulu Tembeling. Masa sudah berubah, teknologi memberi lebih kemudahan...
70 tahun dulu Almarhum Sultan Abu Bakar mengunakan perahu yang lebih besar siap ada tempat memasak bila mahu melawat rakyat sepanjang Sungai Pahang dan Sungai Tembeling.
Ketika itu tiada teknologi enjin motor sangkut, air Sungai Pahang dan Sungai Tembeling masih dalam lagi.
Dari memoir Dato' Sir Mahmud bin Mat, "Tinggal Kenangan" ada menceritakan sewaktu bertugas di Kuala Lipis sebagai ADO menggunakan perahu galah mengambil masa 5-6 hari dari Kuala Lipis ke Kampung Bantal, Ulu Tembeling pada tahun 1924!
Sehingga 1940an penduduk Ulu Tembeling masih bergalah perahu atau rakit hilir mudik Sungai Tembeling bagi keperluan ekonomi mereka.
Bayangkan kesukaran dan kesusahan menempuh air deras dan terpaksa menempuh berpuluh-puluh jeram. Itulah kehidupan dan perjuangan orang Ulu Tembeling.
Ini pemandangan jeti Kuala Tahan Taman Negara hari ini. Perhatikan banyak perahu panjang berkajang dan enjin motor sangkut kepunyaan orang Ulu Tembeling. Kuala Tahan telah mengambil tempat Kuala Tembeling yang lebih 60 tahun menjadi jeti utama transit perahu, bot diesel.
Jeti lama Kuala Tembeling walau sudah ditinggalkan begitu sentimental buat WZWH kerana 12 tahun yang pertama dalam hidup WZWH dibesarkan di Kuala Tembeling sebelum masuk sekolah 'boarding school' di Kuantan.
WZWH telah menulis posting Nostalgia Jeti Lama Kuala Tembeling sila klik sini.
Untuk mendapatkan kesahihan sejarah ringkas enjin motor sangkut Sungai Tembeling, WZWH bertanya kepada Tok Empat Kampung Kuala Sat merangkap Ketua UMNO Cawangan iaitu Encik Rahim bin Manggi, 50 tahun.
Mengikut Tok Empat Rahim Manggi selepas tahun 1950an barulah orang Ulu Tembeling mengunakan teknologi enjin motor sangkut.
Ketika itu guna brand Evinrude dan Johnson HP (horse power) 2. Sangat perlahan kalau hilir mudik Sungai Tembeling boleh ambil masa 2-3 hari.
Kemudian model HP 5, 7 , 10 , 15, dan 25.
Model HP 30 dan 40 menyusul pada tahun 1960an dan 1970an.
Brand baru juga pelbagai seperti Mercury dan Yamaha.
Hari ini kos enjin motor sangkut saja lebih RM10,000 dan perahu panjang berkajang dari RM10,000 ke RM15,000.
WZWH masih ingat model Mercury HP 25 yang dibeli oleh arwah ayah WZWH @ WZWH panggil Engku. WZWH masih teringat pernah menaiki perahu panjang berkajang dengan enjin motor sangkut Mercury HP 25 yang didrebar oleh arwah Engku hilir mudik dari Kampung Bantal ke Kampung Chenih Ulu Tembeling.
Arwah Engku meninggal dunia pada 1975 ketika WZWH sekolah rendah darjah satu. Kali terakhir pertemuan WZWH dengan arwah Engku ketika beliau menghantar WZWH dan Tok (Nenek) mudik Sungai Tembeling ke jeti Kampung Jong Berlaboh, Tembeling Tengah dan selepas itu arwah Engku terus mudik Sungai Tembeling ke Kampung Bantal kerana bertugas sebagai seorang ustad di Sekolah Rendah.
Demikianlah sejarah ringkas enjin motor sangkut Sungai Tembeling yang banyak berjasa kepada penduduk Ulu Tembeling dan juga penduduk Tembeling Tengah dan Kuala Tembeling.
Mungkin dengan siap Projek Jalan Ulu Tembeling fasa 1 dan fasa 2 serta 3 nanti dan berpuluh jambatan, orang Ulu Tembeling tidak akan lagi mengunakan enjin motor sangkut.
Kini jetski adalah teknologi baru pengangkutan air orang Ulu Tembeling yang lebih pantas dan cepat ke destinasi. Biasanya dimiliki oleh ahli politik dan korporat orang Tembeling.
6 comments:
Seronok zaman ni, kami rakyat alur tembeling akan menunggu di tebing kg2 sepanjang sg tembeling gembira/teruja tengok Tuanku mudik dgn rombongan ke Kg Bantal...bila lak akan berlaku..
DAULAT TUANKU
SULTAN YANG BERJIWA RAKYAT
Daulat Tuanku daripada rakyat Johor.
Nama calon dah naik ke?
moh kita ngail weh.....kuala tekai....cari kerai jelawat.....
Post a Comment