Saturday, September 4, 2010

Catatan Pegawai British Mengenai Pahang

Penulisan pegawai-pegawai British mengenai negeri Pahang pada abad ke 18 dan 19 menggambarkan bahawa mereka kagum kerana negeri Pahang merupakan sebuah negeri yang terbesar di Tanah Melayu yang mempunyai flora dan fauna yang menakjubkan. Ia dianggap sebagai negeri berasaskan sungai kerana mempunyai beberapa sungai yang penting terutamanya Sungai Pahang yang menjadi nadi kehidupan hampir sebahagian penduduknya.

Sungai Pahang adalah sungai terpanjang di negeri Tanah Melayu, telah menyumbang kepentingan kepada negeri ini bukan sahaja sebagai laluan komunikasi tetapi juga sebagai sumber ekonomi. Hulunya bermula dari Sungai Jelai di banjaran Titiwangsa mengaliri Lipis, kemudiannya ke Sungai Tembeling di Jerantut dan Kuala Tembeling. Manakala di hilirnya Sungai Pahang mengaliri beberapa bandar utama iaitu bermula dari Temerloh, Maran, Pekan dan Kuantan. Selain itu, Sungai Pahang juga melalui Rompin sementara di sebelah selatan Sungai Endau penting sebagai laluan dan sempadan dengan negeri Johor. Selain sungai, Pahang juga mempunyai tarikan dengan tanah tingginya yang membentuk banjaran di sepanjang semenanjung.

Gray adalah merupakan orang Inggeris terawal yang berjaya memasuki kawasan pendalaman Pahang pada 1827. Tujuan lawatannya pada 2 Januari 1827 ialah mendapatkan serbuk emas yang ditukar dengan candu. Gray telah mendedahkan mengenai kegiatan perlombongan emas di sekitar Jelai yang dijalankan oleh pelombong Cina dan mengandaikan potensi simpanan sumber galian yang banyak di Pahang. Penulisan Gray telah memberikan maklumat terhadap rupabumi negeri Pahang khususnya mengenai mukabumi kawasan pendalaman. Ia telah mendorong pegawai British yang berada di Singapura untuk mendesak kerajaan British di London untuk memperluaskan pengaruhnya ke Pahang. Tokoh geologi awal yang mengkaji mengenai bentuk muka bumi negeri Pahang pula ialah J.B Scrivenor dengan tulisan bertajuk The Geology of Malaya dan J.A. Richardson bertajuk An Outline of the Geomorphological Evolution of British Malaya dalam tahun 1947. Maklumat mengenai tanah (soil) di Pahang pula telah dihasilkan melalui penyelidikan ahli geologi British bernama W.P. Panton pada tahun 1964. Klasifikasi yang lebih praktikal mengenai kandungan tanah memberikan maklumat penting bagi potensi tanaman dan kegiatan pertanian di kawasan-kawasan yang berbeza di negeri Pahang.

Menjelang 1880an, British sudah mewujudkan pentadbirannya di negeri-negeri Selat dan di negeri-negeri di sebelah selatan Perak, Melaka dan Sungai Ujong. Negeri-negeri di sebelah pantai timur lebih dahulu dikenali oleh pedagang-pedagang Asia tetapi kurang dilawati oleh kapal-kapal perdagangan Eropah. Selepas pembukaan Singapura 1819 perdagangan pantai di antara pelabuhan Singapura dan Pahang diuruskan secara ekslusif oleh kapal-kapal China dan kapal-kapal kecil yang dikemudi oleh orang Melayu atau Bugis dari Celebes.

Bermula tahun 1875 kegiatan penjelajahan (explorer) Eropah telah kian rancak di negeri-negeri semenanjung Tanah Melayu. Dalam hal ini Pahang juga turut menerima limpahannya. Pada tahun 1875 dua orang berbangsa Eropah telah melakukan pengembaraan ke Pahang. Seorang daripadanya ialah Baron M. de Mikluho-Maclay ahli ethnology (kaji manusia) berbangsa Russia mendarat di Pekan dan mengembara ke utara Pahang dan Sungai Tembeling; kemudiannya menyeberang ke Kelantan. Pihak British tidak mahu ketinggalan dan beberapa bulan kemudian satu kumpulan juruukur diketuai oleh D.D. Daly menyeberang dari Negeri Sembilan ke Pahang menggunakan laluan “penarikan” dan berjalan arah ke selatan menuju Serting, Bera dan Ulu Sungai Pahang sehingga ke Pekan. Kedua-dua kumpulan ini telah diterima mengadap Bendahara Wan Ahmad pemerintah negeri Pahang tetapi mereka tidak digalakkan untuk melawat kawasan emas serta tidak diberikan lokasi sebenar kawasan-kawasan penggalian emas di negeri ini. Laluan dahulukala dikenali sebagai “penarikan” tidak digunakan sepenuhnya dan pemerintah Melayu juga berkeras menolak sebarang permohonan orang-orang Eropah untuk memasuki dan melawat ke kawasan-kawasan pendalaman. Oleh itu, bagi orang-orang Eropah, Pahang adalah merupakan sebuah negeri yang masih belum dikenali termasuk potensi ekonominya daripada hasil bumi dan kekayaan hasil hutannya.

Bagaimanapun perkembangan ini tidak bertahan lama kerana dengan kehadiran British melalui campurtangannya di Pahang pada 1888, negeri Pahang telah “dibuka” kepada masyarakat luar. Pengenalan sistem perhubungan jalan laut disebelah pantai timur dengan penggunaan enjin wap telah dijadikan sebagai sistem pengangkutan utama untuk menghubungkan negeri ini dengan Singapura. Malahan para pembesar negeri Pahang juga menggunakan kemudahan kapal wap bagi mereka pergi ke Singapura dan negeri-negeri sebelah pantai barat. Pengembaraan kumpulan ini memberi kesan besar kerana hasil penting ialah mereka telah melakarkan peta perjalanan mereka yang boleh menggunakan jalan darat untuk ke Pahang di samping menjangkakan terdapatnya emas di negeri ini. Dapatan lain ialah laporan mengenai jumlah penduduk Melayu yang begitu kecil serta hampir ketiadaan penduduk asing mendiami negeri ini. Bagaimanapun tiada minat yang mendalam daripada pegawai-pegawai British untuk meneruskan penjelajahan ke seluruh negeri Pahang disebabkan oleh sikap Bendahara Wan Ahmad yang tidak mengggalakkan orang-orang Eropah menjelajah negeri Pahang.

Bagaimanapun di antara tahun 1882 dan 1884 keadaan mula berubah. Ini berikutan Bendahara Wan Ahmad yang melakukan beberapa siri lawatan ke Singapura dan bertemu dengan pedagang-pedagang kaya dari kalangan Arab, China dan Eropah yang mula terdedah dengan minat untuk membuka peluang ekonomi kepada mereka. Beliau kemudiannya bersedia menceritakan maklumat mengenai sumber-sumber kekayaan Pahang dan kedudukan hasil bumi di negeri ini kepada pedagang-pedagang luar. Perkembangan ini telah menarik minat pedagang-pedagang Arab dan China dan pembesar dari Johor dan kemudiannya diikuti oleh pedagang-pedagang Eropah membuat pelaburan membuka lombong-lombong di negeri Pahang. Walau bagaimanapun syarikat-syarikat perlombongan Eropah telah memonopoli kawasan di utara Pahang dan juga kawasan-kawasan seperti Jelai, Lipis, Semantan dan Triang.

Kedatangan pedagang-pedagang Cina dan Arab ke Pahang telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pegawai-pagawai British dan menyedarkan mereka untuk menjadi lebih aktif. Usaha awal dilakukan oleh Sir Frederick Weld, Gabenor British di Singapura pada 1882 apabila beliau memberitahu Bendahara Wan Ahmad niatnya untuk melawat Pahang. Bendahara yang mengetahui niat Weld sebenarnya mahu campurtangan di negeri Pahang menolak permintaan lawatan Weld bertemu beliau dengan memberikan alasan bahawa dewan untuk merima tetamu di istananya masih belum siap. Manakala pedagang-pedagang Arab dan Cina lebih banyak tertumpu di kawasan Pekan dan sekitarnya pantai Pahang.

Tindakan Bendahara Wan Ahmad enggan bertemu dengan Weld menyelamatkan Pahang buat seketika daripada campurtangan British. Weld pula sebaliknya terus berusaha mencari jalan untuk campurtangan di Pahang. Pada awal tahun 1883 Weld menyiasat secara rahsia kematian Syed Salim bin Bakil, seorang Arab dan juga rakyat British yang khabar angin mengatakan beliau mati diracun di Pahang. Weld cuba melobi Setiausaha Kolonial menggunakan kematian Syed Salim sebagai alasan untuk campurtangan di Pahang secara kekerasan. Bagaimanapun, cadangan ini ditolak oleh Pejabat Kolonial menyebabkan Weld terpaksa menangguhkan rancangannya buat sementara waktu.

Peluang pihak British untuk campurtangan di Pahang mula terserlah pada tahun 1884, apabila Engku Muda Wan Mansur, adik kepada Bendahara Wan Ahmad menulis surat kepada W.H.M Read, seorang yang berpengaruh di Singapura meminta Sir Cecil Clementi Smith, Gabenor Brititish di Singapura membantu menyelesaikan perbalahannya dengan abangnya iaitu Bendahara Wan Ahmad. Antara masalah Engku Muda ialah beliau tidak berpuashati dengan jawatan dan elaun beliau. Smith dan pegawai-pegawai British di Singapura merancang menggunakan Wan Mansur sebagai kunci untuk campurtangan di Pahang.

Atas desakan British, Bendahara Wan Ahmad bersetuju memberikan Wan Mansur jawatan Raja Muda semula dan memberikan elaun sebanyak $200 sebulan, kadar yang ditentukan oleh Cecil Smith. Keputusan Bendahara Wan Ahmad menerima cadangan Cecil Smith adalah sebagai usaha untuk mengelakkan pihak British untuk campurtangan secara langsung di Pahang. Walaupun berjaya campurtangan terhadap masalah antara Wan Ahmad dan adiknya Wan Mansur tetapi pengetahuan pegawai-pegawai British di Singapura mengenai Pahang adalah masih amat terhad serta tidak tahu sejauhmana sokongan penduduk terhadap Wan Mansur. Pengalaman buruk mereka di Perak pada 1874 sehingga kematian J.W.W. Birch, mengajar pihak British perlunya berhati-hati.

Keputusan untuk menaikan kadar elaun telah memberikan kesan Wan Mansur untuk pulang ke Pahang. Dalam bulan Mei 1885 Wan Mansur yang merancang bersama-sama Frank Swettenham untuk bertemu di Pahang telah belayar meninggalkan Singapura menuju Pekan menggunakan kapal wap kerajaan British bernama “Sea Belle”. Frank Swettenham bagaimanapun telah memasuki Pahang melalui jalan darat dari Perak dengan misi menyelesaikan perbalahan Wan Ahmad dan adiknya Wan Mansur serta perbalahan sempadan Pahang-Jelebu. Swettenham telah dihantar oleh Cecil Clementi Smith yang menjangkakan usaha berbaik dengan pembesar Pahang lebih berpeluang membawa campurtangan mereka di negeri ini. Angota rombongan Swettenham telah menggunakan jalan menyeberang dari Batu Gajah, Perak dan menuruni Lipis, Jelai dan Sungai Pahang menuju ke Pekan. Swettenham adalah merupakan pegawai British yang pertama menjelajah melalui pendalaman Pahang dan pengembaraannya ini telah dicatat dan diterbitkan pada tahun yang sama.

“I heard from the Chinese that there is plenty of gold in the country, but no one can live here owing the injustice, “squeezing” and want of government.” Antara jumpaan penting Swettenhem ialah sudah ada pelombong-pelombong Cina mengusahakan perlombongan emas di Pahang. Sewaktu tiba di Lipis, Swettenham telah mendapat tahu bahawa terdapat kegiatan perlombongan emas. Dalam catatannya Swettenham mengatakan: “He (Che Wan Da) told me there was a large gold mine called Jali, worked by Chinese, an hour’s walk from here”. Seterusnya mencatatkan.

Melalui pengalamannya, Swettenham beranggapan negeri Pahang yang jauh ketinggalan berbanding Perak dan Selangor tidak mampu dimajukan tanpa bantuan dan nasihat British. Harga barangan utama adalah mahal kerana kegiatan membawa masuk barangan dilakukan oleh orang-orang Cina yang tinggal di Pekan. Peniaga memonopoli barangan dan menaikkan harga sesuka hati. Manakala orang-orang Melayu yang banyak menjadi petani dan nelayan dilaporkan dalam keadaan miskin. Swettenhem mendapati British mempunyai potensi besar untuk menguasai kekayaan sumber galian dan hutan di Pahang sekiranya dapat mengdakan hubungan baik dengan pembesar-pembesar yang berpengaruh di Pahang khususnya To’ Gajah, Tuan Hitam dan OrangKaya Bakti.

Bagaimanapun matlamat utama Swettenham untuk mengadakan perjanjian bagi campurtangan British di Pahang gagal. Kegagalan ini berpunca daripada tindakan Wan Ahmad dapat mencari alasan bahawa beliau tidak dapat bersetuju dengan campurtangan British kerana perlu membincangkan cadangan tersebut dengan pembesar-pembesar Pahang. Malahan mengikut undang-undang negeri, ia perlu mendapakan persetujuan daripada ahli majlis negeri Pahang walaupun ditekan oleh Swettenham.

Selepas kegagalan misi Swettenham, Frederick Weld yang sedang bercuti di London berusaha membentangkan rancangan untuk campurtangan British di Pahang untuk mendapat kelulusan Setiausaha Kolonial. Pada 31 Mei 1886, Weld bersama satu rombongan besar bersama-sama Hugh Low, Residen Perak; John Rodger, Pemangku Residen Selangor dan Hugh Clifford, (anak saudara Weld); Martin Lister, pegawai di Negeri Sembilan; Raja Dris, ketua hakim Perak dan lain-lain pergi ke Pahang melalui Singapura. Kesungguhan Weld untuk bertemu Bendahara Wan Ahmad ada kaitan dengan khabar angin yang mengatakan rombongan kerajaan Perancis telah melawat Pahang dan megambil beberapa surat daripada Bendahara dan pembesar-pembesar tempatan.

Weld yang gagal sebelum ini masih berusaha untuk campurtangan di Pahang. Pada 13 Januari 1887, Weld menghantar Hugh Clifford, yang ketika itu berusia 20 tahun memasuki Ulu Pahang dari Selangor dan mengikuti laluan yang sama digunakan oleh Swettenham. Selepas beberapa minggu menunggu, Clifford berjaya mendapatkan perjanjian dengan Bendahara Wan Ahmad (yang kemudiannya dipanggil Sultan Ahmad) untuk menerima kehadiran seorang Residen British. Kejayaan Clifford adalah disebabkan campurtangan Menteri Besar Johor dan Syed Alsagoff atas perintah Sultan Johor menasihatkan Bendahara supaya bersetuju mengadakan perjanjian dengan British. Walaupun ditekan oleh Weld, namun akhirnya Bendahara Wan Ahmad masih enggan mengadakan sebarang bentuk perjanjian bertulis dengan pihak British. Persetujuan ini adalah berasaskan kepada perkembangan sebelum ini iaitu pada bulan April 1886, Sultan Johor yang berpengaruh di Pahang memaklumkan Pejabat Kolonial bahawa Bendahara Wan Ahmad bersedia mengadakan perjanjian dengan Britain.

Dengan adanya perjanjian campurtangan British, kehadiran Clifford dan rombongan diterima di Pahang dan memberikan peluang kepada beliau untuk menjelajah negeri ini yang sebelum ini masih belum diketahui oleh orang-orang Eropah. Clifford tinggal untuk tempoh beberapa bulan di Pahang dan pada 1887 dan 1888 antara bulan April hingga Mei beliau menjelajah ke utara Pahang menggunakan Sungai Lipis tempat yang dipanggil Penjom kemudian menyeberang ke Raub dan Bentong, keluar daripada dalam negeri menggunakan Sungai Semantan dan Sungai Pahang. Catatan perjalanan beliau ditulis dalam diari peribadi beliau tahun 1888.

Minat untuk mengetahui keadaan sebenar negeri Pahang juga telah membawa kepada usaha Clifford dan Weld untuk menjadikan negeri ini sebagai tanah jajahan British. Paling dominan ialah imej lama Pahang sebagai tanah yang luas dan kaya yang masih belum diterokai dilakukan oleh Frank Swettenham, Hugh Clifford dan Sir Frederick Weld melalui laporan-laporan mereka. Swettenham dan Clifford pada ketika ini adalah diperingkat awal karier mereka dalam perkhidmatan pentadbiran British masih muda, bersemangat tetapi kurang berpengalaman. Cuma Sir Frederick Weld, Gabenor Negeri-negeri Selat yang dianggap pentadbir yang matang tetapi tidak biasa dengan keadaan dalaman negeri Pahang; menghadapi cabaran untuk meyakinkan pegawai-pegawai Pejabat Tanah Jajahan (Colonial Office) khususnya Lord Kimberly, Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan pada 1881 bahawa campurtangan di Pahang adalah perlu.

Tiga perkara penting yang dilaporkan oleh Clifford ialah keadaan kemunduran orang Melayu yang hidup dalam kemiskinan; penguasaan para pembesar tempatan terhadap aktiviti perlombongan emas; penguasaan kuat Wan Ahmad dalam pentadbiran di Pahang serta keengganan beliau menyerahkan tahtanya kepada adik beliau (Wan Mansur). Catatan ini amat berguna dan buat julung kalinya ia telah memberikan gambaran negeri Pahang dan kehidupan masyarakat Melayu di Pekan yang kuat menyokong Wan Ahmad. Ia mengubah strategi British yang sebelum ini mengharapkan Wan Mansur dapat menggantikan Wan Ahmad, menyebabkan mereka mengadkan langkah untuk berbaik dengan Wan Ahmad. Di negeri-negeri Selat, orang ramai cuma boleh membayangkan apa yang akan terjadi kepada negeri Pahang jika sumber ekonomi yang banyak itu dieksplorasi secara aggresif.

Dalam usaha meyakinkan pejabat Tanah Jajahan, Weld telah memberikan gambaran yang amat menarik mengenai negeri Pahang dalam Majlis Perundangan Singapura. Katanya “Pahang is an exceedingly rich country, richer probably and larger than Perak; it marches with all our native states and with good government is capable of great and immediate progress … Perak and Selangor were very small a short while ago but have far more than compensated for the loss of our trade with Archeen, and Pahang is probably richer than Perak and Selangor and may one day compesate, or help materially to compesate, for the proportion of loss we may suffer from trade restrictions at Saigon. Pahang should, in my opinion, be penetrated by roads from Perak and Selangor at the Ulu, also via Jelebu and south by a railway from Malacca which should eventually reach Pekan ..” “Pahang is indubitably the richest and most favoured state in the Peninsula and has only to be properly governed to ensure rapid development and future prosperity”. Sir Cecil Clementi Smith, pengganti Weld juga memberikan sentimen yang hampir sama apabila beliau menulis pada tahun berikutnya.

Tahun 1888 merupakan titik tamatnya era sistem tradisional Pahang dan bermula 1889 Pahang ditadbir secara sistematik mengikut kaedah pentadbiran British. Menjelang 1889, sistem pentadbiran British telah dibentuk di Pahang melalui penempatan Residen British yang pertama iaitu J.P. Rodger. Beliau disokong oleh 15 orang pegawai-pegawai Eropah. Sultan dan pembesar-pembesar tempatan telah dilantik di dalam Majlis Negeri dan diberikan elaun tetap dan pihak British diberikan kuasa mengutip cukai dan mengadakan pentadbiran awam di Pahang. Pahang dibahagikan kepada enam daerah dan setiap satu diketuai oleh Pegawai Daerah yang berfungsi sebagai pemungut cukai dan majistret. Pegawai-pegawai Eropah yang lain diberikan tugas dalam jabatan-jabatan seperti kerja raya, polis dan perlombongan. Persoalan yang ingin dilihat ialah bagaimanakah kedudukan masyarakat Melayu Pahang dengan kewujudan sistem pentadbiran British? Apakah terdapat perubahan besar dari segi kehidupan terutamanya aktiviti ekonomi mereka?

No comments:

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024