Saturday, September 11, 2010

Menziarahi Makam Nenek Moyang

Makam Datuk WZWH, Wan Mohd Hashim bin Tok Muda Wan Mustapha di Kampung Labu, Tembeling Tengah.







Makam nenek WZWH, Wan Khatijah binti Wan Endut di Kampung Labu, Tembeling Tengah.







Makam Marhum Ketapi (Tun Abdullah ibni Tun Da) di Makam Ketapi dekat masjid Kampung Chebong, Tembeling Tengah.











Makam Marhum Ketapi dan anak cucu cicitnya di Makam Ketapi, Kampung Chebong, Tembeling Tengah.

Pada Hari Raya ke 2, WZWH telah menziarahi makam nenek moyang. Makam nenek moyang WZWH terletak di sepanjang sebatang Sungai Tembeling. Antara lokasinya ialah seperti di bawah:
  • Makam Kampung Ketapi berdekatan masjid Kampung Chebong, Tembeling Tengah
  • Makam Kampung Labu, Tembeling Tengah
  • Makam Kampung Jong Berlaboh, Tembeling Tengah
  • Makam Bukit Hangus, Kampung Bantal, Ulu Tembeling
  • Makam Kampung Pulau Besar, Ulu Tembeling
  • Makam Kampung Chenih, Ulu Tembeling
  • Makam Kampung Kuala Tembeling.
WZWH raya kali ini menziarahi makam Kampung Ketapi (dekat Kampung Chebong) dan makam Kampung Labu.

Makam kampung Ketapi tempat moyang WZWH yang no 2 induk. Namanya Tun Abdullah (Marhum Ketapi) ibni Tun Da (Tun Yusup). Tun Da adik beradik dengan Tun Koris (Bendahara Pahang). Tun Ali (Bendahara Pahang) adalah anak Tun Koris. Ini bermakna Tun Abdullah (Marhum Ketapi) adalah sepupu keras Bendahara Tun Ali.

Apa yang menarik tentang makam Marhum Ketapi ialah ada sebatang pokok Sena yang besar tumbuh di atas makam marhum. Marhum Ketapi berpesan kepada anak cucunya supaya jangan diletak batu nesan di makamnya. Tetapi anak cucu meletak juga batu nesan. Akibatnya 3 kali batu nesan retak.

Bila perkabaran ini disembah kepada Marhum Sultan Ahmad maka Marhum menitah seorang Syed pergi ke Kampung Ketapi memberitahu anak cucu Marhum Ketapi supaya menanam pokok Sena di atas makam Marhum Ketapi. Sampai sekarang pokok Sena itu ada lagi.

Marhum Sultan Abu Bakar pernah menitah supaya dibuat pagar besi mengelilingi makam Marhum Ketapi tetapi pagar besi itu akhirnya runtuh berkarat dek masa.

Di makam Kampung Ketapi terdapat banyak makam kaum kerabat WZWH antaranya:
  • Wan Musa bin Engku Khatib (Wan Endut)
  • Wan Ahmad bin Engku Khatib
  • Wan Mahmud bin Wan Hussain
Seorang lagi anak Engku Khatib bernama Wan Hussain (anak yang paling tua) dimakamkan di Makam Kampung Labu. Engku Khatib adalah anak Tun Abdullah (Marhum Ketapi). Makam Engku Khatib terletak di Bukit Hangus, Kampung Bantal Ulu Tembeling.

Di makam Kampung Labu tempat makam datuk dan nenek WZWH sebelah ibu iaitu:
  • Wan Mohd Hashim bin Tok Muda Wan Mustapha
  • Wan Khatijah binti Wan Endut
WZWH telah diberitahu oleh orang tua-tua Kampung Labu bahawa makam moyang Wan Hussain bin Engku Khatib terletak di kawasan tanah moyang. Tetapi bah besar tahun 1926 telah mengambus dan menutup makam itu.

Demikianlah betapa kita perlu menjenguk kubur makam nenek moyang keluarga kita dan mensedekahkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, berwirid, berzikir, berdoa ke hadrat Allah agar roh nenek moyang dan keluarga kita yang sudah pergi ke rahmatullah ditempatkan yang sebaiknya. Kita kena tahu "root" kita. Tanpa mereka nenek noyang, kita tidak akan dilahirkan ke dunia ini.

WZWH akan berusaha untuk menjadikan makam Marhum Ketapi nampak lebih cantik dan indah maka perlu dibuat pagar atau tembok mengelilingi makam tapi tidak boleh letak batu nesan kerana itu memang amanat Marhum Ketapi. Itu WZWH mesti patuhi.

Ada orang tanya WZWH di mana Makam Tun Da moyang induk WZWH di Lembah Tembeling. Menurut cerita orang-orang Tua dan Sejarah Pahang, Tun Da sebelum berhijrah ke Lembah Tembeling dari Pekan, beliau telah menetap di Kampung Pedah terlebih dahulu. Adalah dipercayai makam Tun Da terletak di Kampung Pedah, Jerantut.

3 comments:

Anonymous said...

cuba semak kitab imam mazhab kita al imam asyafie,,,tentang masalah mensiarak kubur,,,

RAI said...

wzwh aok adaLah satu keturunan Al Sultan Pahang tapi keturunan aok tidak terlibat dalam perebutan kuasa di pahang, perang saudara pahang adaLah antara adek-beradek wan mutahir dengan wan ahmad kan jadi kawan nak tanya aok keturunan aok sokong belah mana belah wan mutahir atau wan ahmad ?

Wan Zamzuri Wan Hasenan said...

Salam Rabi,
Setelah Wan Ahmad berpuluh kali berperang tapi gagal Wan Ahmad lari ke Ulu Terengganu. Politik Pahang berubah bila Orang Kaya Maharaja Perba Jelai (Tok Raja) berubah sokongan atas sebab tertentu tidak menyokong Wan Mutahir. Tok Raja meminta Wan Ismail Pulau Besar Ulu Tembeling bawa Wan Ahmad balik ke Pahang dan lancar perang bermula dari Ulu Pahang. Wan Ismail bersama 7 pendekar Kampung Janing bersumpah setia dengan Wan Ahmad di Kampung Pasir Raja, Terengganu. Sewaktu Wan Ahmad menghilir Sungai Tembeling bersama pahlawan Tembeling, Engku Khatib mahu Wan Ahmad jual Wan Hussain (anak Engku Khatib) buat beli ubat peluru. Orang Tembeling dan Orang Jelai berkumpul di Pasir Tambang, Kuala Tembeling. Engku Khatib mengistiharkan Wan Ahmad sebagai Raja Bendahara Pahang pada tahun 1862. Disokong oleh pembesar-pembesar Pahang yang lain maka revolusi bermula dan perang dilancarkan menghilir Sungai Pahang. Keluarga WZWH menyokong Wan Ahmad.

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024