Friday, September 24, 2010

Adakah "Gaji Minima" Baik Untuk Ekonomi Malaysia?

Hampir semua pihak dan parti politik seolah-olah begitu cepat sekali menerima gaji minima. Mungkin ini perkembangan yang bagus kerana ahli masyarakat boleh bersatu bersetuju dalam satu isu dan meletakkan politik kepartian ketepi. Namun adalah kurang sihat jika sesuatu pandangan tidak dinilai secara kritis.

Gaji minima merupakan salah satu alat anti-kemiskinan yang digunakan di lebih 100 buah negara. Malaysia merupakan salah satu daripada segelintir negara yang belum melaksanakan akta gaji minima. Malaysia cuma praktiskan "collective bargaining". Kesatuan sekerja dan majikan akan berunding dan membuat perjanjian tentang gaji yang majikan patut bayar kepada pekerja.

Kaedah "collective bargaining" atau perundingan kolektif bukanlah sesuatu yang asing. Ia juga diamalkan di beberapa buah negara maju yang tidak melaksanakan akta gaji minima seperti Denmark, Jerman, dan Sweden.

Pelaksanaan gaji minima untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah. Biasanya mereka ini berpendidikan rendah, berkemahiran rendah, majoritinya wanita, keturunan etnik tertentu, dan mungkin pekerja pendatang.

Antara implikasi utama adalah syarikat terpaksa mengurangkan keuntungan perniagaan untuk membiayai kenaikan kos buruh, syarikat menaikkan harga untuk membiayai kenaikan kos buruh, pengangguran meningkat kerana pekerja dibuang kerja setelah kos menggaji mereka meningkat, dan pengangguran menurun kerana semakin ramai orang mendapat pekerjaan.

Gaji minima boleh dijadikan senjata oleh golongan rasis yang mahu mendiskriminasi kaum di pasaran kerja. Ini ialah pengalaman di Amerika Utara dan Afrika Selatan.

Situasi di mana gaji minima menjadi alat perkauman boleh berlaku apabila majoriti golongan majikan terdiri dari satu kaum, manakala golongan pekerja ramainya terdiri dari kaum lain. Ketidakseimbangan perwakilan kaum dalam pasaran modal dan buruh akan mengakibatkan rasisme di pasaran kerja. Ketidakseimbangan ini wujud di Malaysia.

Gaji minima boleh merencatkan pertumbuhan pendapatan individu dalam jangka panjang. Ia menjadi penghalang kepada individu untuk mendapat kemahiran dan pendidikan lebih tinggi.

Kini selalu kedengaran negara kita terperangkap dalam middle income trap. Ini disebabkan polisi ekonomi negara kita selama ini yang mahu bersaing sebagai hab eksport dengan menggunakan kos buruh murah sebagai kelebihan. Kini kita cuba keluar dari perangkap ini dan naik menjadi ekonomi berpendapatan tinggi. Masalahnya untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi kita memerlukan pekerja berkemahiran tinggi. Negara kita memiliki terlalu banyak pekerja berkemahiran rendah (yang terdiri dari pekerja tempatan dan asing) tetapi terlalu sedikit pekerja berkemahiran tinggi. Salah satu puncanya ialah "brain-drain". Ramai rakyat kita yang berbakat dan berpendidikan tinggi berhijrah ke negara luar.

Ada usaha sekarang untuk menaiktarafkan ekonomi kita dengan memperkenalkan gaji minima. Memandangkan gaji minima menjadikan satu mandat untuk membayar pekerja dengan gaji lebih tinggi, maka ada pihak mendakwa dengan begitu mudah akan tercapailah ekonomi berpendapatan tinggi! Ini pendapat yang dangkal.

Menurut Profesor Madya Shandre M. Thangavelu daripada National University of Singapore, ekonomi berpendapatan tinggi dipacu oleh teknologi, kompetensi sektor terpilih, dan dikekalkan oleh modal insan yang stabil. Semakin membangun modal insan, semakin tinggi pendapatan. Beliau juga berpendapat daripada melaksanakan gaji minima, adalah lebih baik mengamalkan polisi kebajikan yang membantu pekerja meningkatkan produktiviti mereka.

Manipulasi undang-undang untuk pengagihan semula pendapatan tidak akan menghasilkan sebarang pendapatan tambahan kepada ekonomi negara, jauh sekali dari membantu mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi.

Tambahan pula, ekonomi kita hari ini masih tertumpu kepada penggunaan tenaga buruh murah. Kita masih berdaya saing kerana buruh kita murah, itupun sudah mula ketinggalan berbanding negara-negara jiran. Kita belum lagi meningkat menjadi ekonomi berasaskan modal, teknologi, modal insan berkemahiran tinggi. Jika kita naikkan kos buruh kita sekarang, kita akan hilang daya saing. Sudahlah belum ada teknologi dan modal insan yang diperlukan, kelebihan yang kita ada sekarang ini pun seolah-olah hendak musnahkan. Tindakan ini berbahaya kerana mungkin sahaja yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Alternatif yang kita ada ialah membiarkan sektor swasta perlahan-lahan mengubah struktur produksi mereka dari berasaskan buruh kepada modal. Apabila nisbah modal buruh meningkat, produktiviti dan pendapatan buruh juga meningkat. Nisbah modal buruh merupakan salah satu ciri ekonomi yang berpendapatan tinggi.

Persoalannya, mengapa sektor swasta masih mengekalkan struktur produksi berasaskan buruh? Pertama ia memang legasi polisi ekonomi kita yang lama, iaitu menjadi ekonomi pengilang dan pengeksport dengan menggunakan buruh murah. Kesatuan sekerja ditekan dan pernah diharamkan di sesetengah sektor ekonomi, bagi melemahkan kuasa pekerja untuk merunding gaji lebih tinggi. Akta kawalan harga dan subsidi petroleum pula digunakan untuk mengawal kos kehidupan di Malaysia –menjadikan pekerja Malaysia murah untuk digaji kerana kos hidup yang rendah. Polisi immigrasi yang agak terbuka juga merupakan salah satu punca gaji tidak meningkat. Kebanjiran pekerja asing menyebabkan gaji pekerjaan berkemahiran rendah tumbuh perlahan, kerana pekerja asing sanggup bekerja pada gaji lebih rendah.

Malaysia masih bergantung kepada modal insan berkemahiran rendah. Maka gaji minima boleh memberi kesan besar yang negatif kepada ekonomi kita. Gaji minima hanya akan meningkatkan kederasan aliran keluar pelaburan dari Malaysia ke negara yang buruhnya lebih murah. Bahkan tanpa gaji minima, aliran keluar tersebut sudah pun agak membimbangkan.

Akhir sekali, tiada cara yang lebih baik dari pekerja sendiri meningkatkan kemahiran dan tahap pendidikan bagi melayakkan diri mereka menerima tingkat gaji lebih tinggi. Semua ekonomi maju di dunia mencapai kemajuan kerana mereka memiliki lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi berbanding berkemahiran rendah. Kemiskinan pasti wujud, hatta di negara terkaya sekalipun.

Walau banyak mana sekalipun bantuan dan campurtangan kerajaan dalam membantu mereka yang miskin, di hujung jalan ia berbalik pada kemahuan individu untuk memperbaiki kualiti hidup mereka.

4 comments:

one one no belen said...

Salam.Yang pastinya bila gaji tinggi semua harga barang akan naik tinggi juga.Akhirnya akan jadi wal hasil balik wal hasal. pi mai pi mai tang tu jugak.

Wan Zamzuri Wan Hasenan said...

Salam Menyegar,
WZWH bersetuju sekali dengan pandangan saudara Menyegar. Terima kasih kerana sudi singgah di blog WZWH.

Helang Buana said...

Di Malaysia, tak pernah dengar lagi orang mati kebulur. Yang miskin ada banyak faktor, usia, kesihatan, keturunan, lokasi tempat tinggal, yang paling besar MALAS, tidak diberi peluang, dan lain-lain. Yang pasti kita perlu memikirkan golongan ini terbela dengan apa cara sekali pun. Itu tanggungjawab kita sesama manusia. Tak kan lah semua orang kaya atau semua orang miskin. Peratusnya saja yang perlu di jaga supaya ianya setabil dan logik. Itu sebab kerajaan membuat berbagai kajian untuk memastikan ianya setabil dan logik. Satu yang menarik dibincang kan dalam forum MELAYU PAPA KEDANA.

Wan Zamzuri Wan Hasenan said...

Salam Cg Pian,
Menarik juga teori Cg Pian ni. Ekekekeke..

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024