DEB telah melahirkan generasi yang terlebih akademik, terpelajar, terbijak, terpandai, tersangat arif menilai kualiti sesuatu kerajaan. Generasi pasca DEB begitu kritis sekali memilih kerajaan. WZWH ucap terima kasih kepada Tun Razak yang mencipta DEB.
WZWH merasakan hendak menjadi pemimpin sekarang perlulah punyai kualiti kepimpinan yang penuhi "great expectation" generasi muda pasca DEB.
Perdana Menteri Najib Abdul Razak mengakui bahawa salah satu cabaran besar dihadapi kerajaan sekarang ialah bagaimana untuk menangani masyarakat hari ini yang semakin hari semakin bijak. Dengan kebijakan dan kelayakan yang ada, mereka tidak mahu lagi hanya menurut dan mendengar, tapi mahukan lebih kebebasan bersuara untuk melontarkan pendapat dan kritikan.
Kesediaan perdana menteri menerima kenyataan ini sangat-sangat dialukan. Kerajaan Umno dan Barisan Nasional sudah sekian lama memainkan hujah ketaatan dan kepatuhan kepada pemimpin sebagai alasan untuk terus managih sokongan rakyat. Hujah yang berasal daripada mentaliti feudalistik ini terus dicanang terutamanya di kalangan orang Melayu. Prinsip asasnya ialah, walau apa jua kelemahan pemimpin dan pemerintah, pantang anak Melayu menderhaka!
Pada golongan muda, sering dilaungkan pula hujah ketaatan yang diadun pintaan untuk membalas budi dan berterima kasih. Semua orang Melayu yang menerima bantuan biasiswa dan pinjaman kewangan daripada kerajaan disaran agar tidak sesekali berpaling tadah menyokong selain daripada Umno dan Barisan Nasional. Yang perlu ditunjukkan adalah sikap taat setia dan berterima kasih kepada kerajaan. Mana mungkin digigit tangan yang menyuap makanan.
Hujah-hujah seperti ini sudah tidak lagi berkesan. Sepertimana yang diucapkan perdana menteri, masyarakat kini semakin bijak. Bijaknya mereka sehingga ramai yang tahu membezakan antara ketaatan kepada rakyat dan negara dan ketaatan kepada pemimpin-pemimpin politik dalam kerajaan.
Memang benar kerajaan banyak menabur bantuan biasiswa dan kewangan. Namun, dana yang digunakan untuk bantuan-bantuan ini bukanlah milik parti-parti politik Barisan Nasional. Dana yang digunakan adalah milik awam, milik rakyat Malaysia keseluruhannya. Maka, semua penerima-penerima biasiswa perlu berterima-kasih kepada rakyat Malaysia dengan menggunakan sepenuhnya ilmu dan pengalaman yang ada untuk membangunkan negara.
Antara sumbangan yang boleh dilakukan ialah dengan memperjuangkan pembentukan kerajaan yang lebih telus, adil dan efisyen. Fikrah perjuangan tidak semestinya dengan Umno dan Barisan Nasional. Ada yang memilih berjuang bersama parti-parti pembangkang. Tidak kira fikrah perjuangan mana yang dipilih, matlamatnya tetap sama yakni untuk membangunkan tanahair yang tercinta.
Perdana Menteri Najib Abdul Razak pastinya sedar bahawa tidak munasabah untuk mengharapkan golongan muda yang berpelajaran tinggi dan terdedah dengan pelbagai falsafah ideologi dan teori pemikiran dengan mudah dapat menerima apa sahaja yang diluahkan kerajaan. Setiap dasar akan diteliti, setiap kata-kata akan diamati, dan jika ada kelemahan dan kepincangan yang dikesan, bersedialah mendengar kritikan.
Justeru itu, perlu ada ruang yang luas yang disediakan bagi rakyat berbahas dan berbincang isu-isu yang membelenggu negara dan kerajaan. Rakyat perlu diberi kebebasan melontarkan hujah, cadangan dan kritikan agar pemimpin kerajaan diingatkan bahawasanya tanggungjawab mereka bukan untuk bersenang-lenang di atas kerusi empuk pejabat kerajaan, tetapi untuk mencurahkan segala tenaga dan tumpuan kepada masalah negara dan rakyat.
Kebebasan bersuara yang diharap bukanlah kebebasan mutlak tanpa batasan. Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia, garis panduan yang kemas perlu digubal untuk memandu perbincangan dan perbahasan pada setiap peringkat. Kita tidak mahu kebebasan hingga ke tahap pemimpin-pemimpin kerajaan dan parti-parti politik dihina dan dijadikan bahan gurauan yang keterlaluan. Tidak molek juga sekiranya kebebasan itu sampai ke tahap gambar-gambar wajah pemimpin-pemimpin dipijak dan dibakar.
Cukuplah sekadar ruang yang luas diberikan agar segenap masyarakat dialu-alu mengutarakan hujah dan pandangan. Janganlah diugut mereka dengan ancaman dakwaan dan tindakan undang-undang walaupun mungkin hujah yang diberikan tajam dan pedas mengkritik dan mendedahkan kepincangan dalam kerajaan.
Lantaran muncul individu-individu yang lantang menuduh kerajaan terlibat dalam pelbagai skandal, yang mahu dilihat ramai bukanlah tindakan undang-undang diambil ke atas mereka. Yang mahu dilihat adalah respon terperinci bagi setiap tuduhan yang dilemparkan.
Yang perlu diamati adalah cara bagaimana hujah itu disampaikan dan bahasa yang digunakan. Berbahasalah dengan cermat dan tertib. Tidak perlu terjerit-jerit sambil menghunus keris. Tidak perlu juga kata-kata nista yang menghina bangsa dan agama lain. Sekiranya terbukti kritikan yang disampaikan palsu dan berniat jahat, barulah tindakan undang-undang dikenakan.
Perbezaan pendapat adalah lumrah setiap sistem demokrasi. Tugas seorang pemimpin bukanlah untuk melayan hanya hujah yang menyokong dan melenyapkan semua yang tidak. Seorang pemimpin yang baik perlu bersedia mendengar kesemuanya, mempertimbangkannya sedalam mungkin dan bertindak hanya setelah semuanya dikaji.
Bukannya mudah menjadi pemimpin zaman sekarang. Masyarakat yang kian sofistikated pemikirannya tidak mahu pemimpin politik dan wakil rakyat yang hanya tahu menguruskan gotong-royong dan menyampaikan derma dan sumbangan. Mereka mahukan tokoh-tokoh yang arif akan isu-isu politik dan ekonomi dan berani berdepan segala hujah dan kritikan yang dilemparkan.
Sekiranya masih ada pemimpin-pemimpin politik di Malaysia baik di pihak Barisan Nasional mahupun di pihak Pakatan Rakyat yang masih menganggap kedudukan mereka setaraf dengan pemimpin zaman feudal dan golongan bangsawan dahulu kala yang tidak boleh disanggah segala hujah dan tindakan mereka, nescaya tidak lama jangka hayat politik mereka.
No comments:
Post a Comment