Imej gambaran Empangan Hidroelektrik Sungai Tekai dan Loji Janakuasa Nuklear Lembah Tembeling.
Perdana Menteri Najib Razak telah mengumumkan secara rasmi bahawa syarat 30 peratus ekuiti bumiputera akan dimansuhkan berkuatkuasa dengan segera atas dua sebab utama, iaitu:
Pertama, garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) merupakan instrumen yang tidak lagi berkesan dalam mencapai matlamat menyusun semula masyarakat Malaysia dan sasaran pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera di peringkat firma 'across the board'.
Didedahkan bahawa dalam tempoh sehingga 2006, sungguhpun FIC telah berjaya mengagihkan sejumlah RM54 bilion ekuiti kepada bumiputera, namun hanya RM2 bilion (tak sampai 5%) saja yang masih kekal dalam pemilikan bumiputera. Selebihnya (lebih daripada 95%) telahpun dijual untuk mengejar keuntungan segera!
Justeru, pada 1990 ekuiti bumiputera berada pada tahap 19.3 peratus, ia hanya meningkat kepada 19.4 peratus pada 2006 dan tidak berubah sehinggalah ke hari ini. Nyata sekali FIC sudah gagal dalam fungsinya sebagai instrumen untuk mencapai sasaran pemilikan ekuiti bumiputera seperti yang ditetapkan.
Kedua, garis panduan FIC telah merupakan rintangan kepada pelaburan dan pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, penyusunan semula FIC perlu untuk memangkin pelaburan yang lebih mapan bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara terutamanya bila ekonomi negara sedang menghadapi cabaran-cabaran utama berikut:
- Rizab petroleum menyusut (dijangka Malaysia menjadi pengimport bersih pada tahun 2014)
- Kebergantungan kepada FDI (pelaburan asing) yang kian menyusut selepas 1997.
- Tahap pertumbuhan produktiviti yang rendah
- Kebergantungan kepada pekerja asing yang tidak mahir
Demi menghadapi cabaran-cabaran utama tersebut, antara lain, halatuju-halatuju berikut telah dikemukakan:
- Mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif dan mesra pelabur
- Memberi tumpuan untuk meningkatkan peryertaan bumiputera secara berkesan dalam ekonomi berasaskan pendekatan meritokrasi
- Menggalakkan penglibatan berkesan dan berkekalan usahawan bumiputera dengan menguasai pemilikan dan pengurusan syarikat korporat dalam sektor pertumbuhan dan strategik.
- Meningkatkan tenaga kerja bumiputera terutamanya dalam kategori pekerjaan pengurusan dan profesional dalam sektor korporat, dan
- Meningkatkan saiz golongan menengah bumiputera.
Untuk mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif dan mesra pelabur, selain daripada pemansuhan syarat 30 peratus ekuiti bumiputera, FIC tidak lagi memproses transaksi hartanah kecuali membabitkan pencairan kepentingan bumiputera atau kerajaan.
Had pembelian harta oleh warga asing dinaikkan secara umum kepada RM500,000 dan had pemegangan saham asing amanah dan broker saham ditingkatkan kepada 70 peratus daripada 49 peratus. Liberalisasi dalam industri itu akan membenarkan pemilikan 100 peratus saham oleh pemodal asing yang dianggap layak dan profesional dalam menerajui syarikat pengurusan dana yang kukuh untuk beroperasi di Malaysia.
Rasanya pelonggaran had pemegangan saham asing amanah dan broker serta syarikat pengurusan dana kukuh yang beroperasi di Malaysia memerlukan timbangan yang lebih teliti agar ekonomi negara kita tidak dikuasai semula atau dimanipulasi oleh kuasa-kuasa besar antarabangsa, terutamanya memandangkan impak buruk krisis kewangan Amerika Syarikat kepada negara-negara membangun termasuk Malaysia yang sehingga kini masih belum berpulih lagi.
Instrumen baru untuk memikul pelaksanaan halatuju-halatuju baru dalam Model Ekonomi Baru (MEB) tersebut ialah penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) yang bermula dengan modal awal RM500 juta dan akan ditambah sehingga RM10 bilion.
Menurut Perdana Menteri, Ekuinas adalah dana ekuiti swasta yang akan menumpukan pelaburan di dalam sektor-sektor berpotensi mengalami pertumbuhan tinggi – pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perubatan, minyak,gas,bioteknologi dan "renewal energy" seperti hidro, biomass dan nuklear.
Seperti ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ,“Kerajaan sememangnya berpegang kepada konsep pertumbuhan dan pengagihan dan akan terus memikirkan secara menyeluruh untuk mewujudkan instrumen-instrumen (yang baru) dan menambah baik instrumen yang ada.
“ Ini penting untuk memastikan golongan bumiputera tidak dipinggirkan dan diberi sebanyak mungkin bantuan untuk memastikan mereka mampu memajukan diri dan mencapai objektif yang telah dinyatakan dalam DEB sebelum ini. Ini kerana 'roh' DEB dan agenda Bumiputera itu masih ada. Namun kini kita perlu melakukan agenda ini melalui instrumen-instrumen yang dianggap mesra pasaran.”
Dijelaskan beliau secara lebih perinci: “Kuota bumiputera itu pada sektor strategik di tahap mikro tidak kita hapuskan. Hanya di peringkat makro sahaja. Masih lagi menjadi matlamat kita untuk mencapai satu proportion yang tinggi dan kalau boleh dalam sektor-sektor tertentu lebih dari 30 peratus. Bukan sahaja melalui FIC melalui ekuiti tetapi juga melalui lesen.
“ Kalau kita lihat orang-orang kaya di Malaysia dari 10 terkaya ada seorang dua yang menduduki tempat teratas. Mereka menjadi kaya dengan cara bagaimana? Mereka mendapat kontrak dan sebagainya serta dianugerahkan lesen oleh kerajaan.
“ Jadi kita mendapat pengajaran bahawa kita harus menggunakan lesen-lesen sebegini untuk memupuk dan melatih mereka menjadi usahawan besar dan berjaya. Mungkin ada yang mendapat lesen dan sebagainya, namun kita harus lebih menumpukan kepada usaha pemberian lesen untuk menjayakan para usahawan bumiputera tidak akan hilang malah akan diperhebatkan!”
Kerajaan bersedia pula melalui instrumen-instruman lama dan baru untuk menganugerahkan lesen-lesen bagi sektor-sektor yang berpotensi pertumbuhan pesat dan strategik dan konsesi-konsesi bernilai tinggi serta kontrak-konrak besar untuk usahawan-usahawan bumiputera pilihan.
WZWH bersetuju sangat dengan pandangan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkenaan pemberian lesen-lesen bagi sektor yang berpotensi pertumbuhan pesat dan strategik dan konsesi-konsesi bernilai tinggi serta kontrak-kontrak besar untuk melahirkan usahawan berjaya.
Di Jerantut ini yang WZWH nampak ialah lesen tenaga hidroelektrik dan nuklear ada potensi sangat besar untuk melahirkan usahawan Bumiputera terkaya yang boleh menjana ekonomi tempatan dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
No comments:
Post a Comment