Nuffnang Ads

Pages

Sunday, August 8, 2010

UK boys' Thinking Berbeza Dengan Perkasa



WZWH mahu membawa satu pandangan dari pemimpin generasi muda yang mungkin agak berlawanan dengan pemikiran Perkasa. Pemikiran ini WZWH panggil "UK boys' Thinking" kerana penyokong gerakan ini ramai graduan dari United Kingdom termasuk KJ Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

WZWH tahu Ibrahim Ali, Presiden Perkasa telah datang dua hari ke Jerantut mempamerkan pemikiran "Ultra Malay" atau "Malay Dominance" kepada Melayu Jerantut. Ibrahim Ali kata UMNO dan PAS gagal memperjuangkannya.

WZWH pun belajar di UK juga, boleh memahami aliran pemikiran ini berdasarkan nilai "Liberalisme" tapi WZWH ada pemikiran tersendiri. Cuma WZWH mahu cerita apa pandangan "UK boys' Thinking" kepada Melayu Jerantut, dan semua orang Melayu.

Kita ikuti pemikiran Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Eksekutif IDEAS (Institute for Democracy and Economic Affairs) satu think tank yang baru ditubuhkan. Tajuk postingnya ialah "Jangan Biar Melayu Dihina!" ...

Saya gembira membaca laporan yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara yang meggariskan Model Ekonomi Baru (MEB) buat Malaysia. Secara umumnya dokumen tersebut membuktikan betapa pemerintah kita mula sedar bahawa satu-satunya cara untuk membawa pembangunan pesat di negara kita ialah dengan memperteguh pengamalan sistem ekonomi liberal.

Bab 2 dokumen tersebut dengan tegas menyatakan bahawa negara kini telah terjatuh dalam perangkap pendapatan pertengahan (middle income trap). Perangkap ini bermaksud bahawa kita sukar untuk bersaing dengan negara-negara yang menawarkan kos operasi lebih rendah tetapi pada waktu yang sama juga tidak dapat menyaingi negara-negara maju yang mempunyai kebolehan teknologi lebih tinggi. Akibatnya kita “terperangkap” di tengah-tengah.

Kelemahan-kelemahan yang dihadapi oleh negara juga dibincangkan dengan terbuka dalam Bab 2 dokumen tersebut. Dalam bab-bab selepas itu pula, terutamanya dalam Bab 6, dinyatakan beberapa cadangan untuk memastikan negara boleh keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan dan terus mara ke hadapan. Hampir semua cadangan yang dikemukakan menjadikan sistem ekonomi kapitalisme pasaran bebas sebagai teras.

Contohnya, MEB mengatakan bahawa sektor swasta amat penting untuk memacu ekonomi negara. Untuk membolehkan sektor swasta memainkan peranan dengan efektif, maka dokumen itu mencadangkan agar dihapuskan pelbagai subsidi, kawalan harga dan insentif-insentif yang mengganggu perjalanan sistem pasaran bebas. Penghapusan semua ini akan membawa negara kepada satu sistem ekonomi yang lebih bebas dan berdayasaing.

Saya tidak mengatakan dokumen MEB ini adalah satu cadangan yang sempurna. Masih ada ketempangan di beberapa tempat. Tetapi saya tidak berhajat untuk membicarakan dengan terlalu mendalam mengenai MEB dalam dalam artikel ini. Insha-Allah saya akan cuba menulis lebih lanjut mengenai MEB dalam jangka masa terdekat.

Dalam artikel ini, saya hanya mahu memperakui bahawa dokumen MEB telah menggagaskan satu permulaan yang baik untuk proses transformasi negara. Kelihatannya penggubal dasar negara menerima juga bahawa sistem kapitalisme pasaran bebas sahajalah yang boleh menjamin Malaysia akan menjadi sebuah negara maju. Syukur alhamdulillah.

Datuk Ibrahim Ali

Dalam kesempatan ini saya sebenarnya mahu mengulas mengenai tindakan pihak-pihak seperti Perkasa dan Ibrahim Ali yang seolah-olah sengaja mahu menggagalkan usaha Dato’ Sri Najib untuk mentransformasi negara.

Saya amat marah dengan mereka ini kerana mereka berselindung dengan nama Melayu untuk menghina dan memperkecil-kecilkan orang Melayu. Dengan bertopengkan nama Melayu, mereka bersuka ria menuduh orang Melayu tidak boleh bersaing dan tidak boleh maju jika tidak dihulurkan tongkat seumur hidup. Lemah sungguh Melayu di mata mereka!

Tatkala Dato’ Sri Najib begitu yakin dengan kebolehan bangsa Melayu untuk bersaing di arena global, tiba-tiba ada pihak yang memperlekeh kebolehan orang Melayu untuk berjaya dengan usaha sendiri.

Tatkala Dato’ Sri Najib mengambil langkah berani untuk mengurangkan kebergantungan orang Melayu terhadap bantuan dan subsidi kerajaan, ada pula orang Melayu yang bersungguh-sungguh mahu menggagalkan usaha-usaha pemimpin parti Melayu sendiri.

Jangan kita terpengaruh dengan tohmahan bahawa orang Melayu tidak akan berjaya jika tidak dilindungi oleh kerajaan. Kenapa mereka tidak yakin dengan kemampuan bangsa sendiri? Orang Melayu tidak diciptakan bodoh atau cacat sehingga perlukan tongkat subsidi dan hak istimewa seumur hidup. Tidak sama sekali!

Hakikatnya walaupun pemuka-pemuka ini berbangsa Melayu, tindakan mereka datangnya daripada satu punca sahaja, iaitu perangai memandang rendah kebolehan bangsa Melayu.

Benarlah kata Tun Mahathir bahawa Melayu mudah lupa. Mungkin mereka sudah terlupa bahawa pemerintahan Melayu yang amat berjaya pernah wujud di rantau ini ratusan tahun dahulu.

Hakikatnya bangsa Melayu adalah satu bangsa yang boleh berjaya seperti mana-mana bangsa lain di muka bumi. Meragui kebolehan bangsa Melayu adalah sama seperti menghina dan merendah-rendahkan kebolehan bangsa Melayu.

Banyak tindakan-tindakan Dato’ Sri Najib yang menunjukkan beliau kini yakin dengan kebolehan orang Melayu untuk bersaing dalam pasaran terbuka. Bukan sahaja bersaing, tetapi Melayu boleh berjaya dalam persaingan itu.

Contohnya, beliau telah meliberalisasikan sebilangan sub-sektor perkhidmatan kepada pasaran bebas, menjemput pemodal asing melabur di negara kita, menurunkan kadar cukai, cuba mereformasi sistem percukaian dan berusaha mengurangkan kebergantungan orang Melayu terhadap subsidi.

Semua ini adalah langkah-langkah baik menuju ke arah sistem ekonomi liberal berteraskan pasaran bebas. Sistem pasaran bebas amat diperlukan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang rakyatnya berpendapatan tinggi.

Lawan kepada sistem ekonomi liberal pasaran bebas ialah sistem ekonomi terkawal. Contoh paling senang sistem ekonomi terkawal ialah sistem komunis atau sosialis. Kita semua tahu bahana kemiskinan yang dibawa oleh sistem komunis dan sosialis. Melayu tidak memerlukan ekonomi terkawal seperti komunisme atau sosialisme.

Sebagai pemimpin yang telah memulakan langkah pendekar untuk mentransformasi nasib rakyat termasuklah bangsa Melayu di tanah air ini, Dato’ Sri Najib dan para pemimpin negara perlu terus iltizam membangunkan ekonomi negara supaya menjadi lebih terbuka.

Model Ekonomi Baru harus teguh menjadikan sistem pasaran bebas sebagai terasnya, dan berusaha menghilangkan mentaliti subsidi daripada pola pemikiran orang Melayu.

Orang Melayu perlu berhenti menghina dan memperlekeh kebolehan bangsa sendiri. Orang Melayu perlu menolak mana-mana individu atau pertubuhan yang mengatakan bahawa Melayu terus perlukan perlindungan kerajaan. Mereka itu adalah Melayu yang tidak yakin dengan kebolehan bangsa sendiri. Jangan kita percaya jika individu atau pertubuhan itu menyatakan mereka mahu “melindungi” bangsa Melayu. Sikap tidak yakin mereka kepada kebolehan Melayu sebenarnya adalah satu penghinaan kepada orang Melayu.

Melayu boleh bersaing. Melayu boleh berjaya. Jangan biarkan pemuka-pemuka itu terus menghina bangsa Melayu!

No comments: