Saturday, August 14, 2010

Peranan Usahawan Cina Mencapai MEB Dan RMK10

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sektor swasta memainkan peranan penting dalam menjana inovasi, kreativiti dan pelaburan yang diperlukan bagi meningkatkan daya saing global Malaysia serta menyokong matlamat untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.


"Transformasi sektor swasta sangat diperlukan kerana ekonomi tidak dapat berkembang tanpa komitmen dan penyertaan positif mereka," katanya semasa menyampaikan ucaptama semasa melancarkan Kongres Ekonomi China di sini hari ini.

Kongres bertemakan "Peranan Komuniti China untuk Mencapai Model Ekonomi Baru (MEB) dan Sasaran Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10)" itu anjuran bersama MCA dan Institut Penganalisian Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP).

Najib berkata, perniagaan tidak boleh hanya melihat untuk mendapatkan keuntungan jangka pendek tetapi perlu bersedia untuk mendapatkan keuntungan jangka panjang.

Dalam hubungan ini, katanya, sektor swasta perlu berani mengambil risiko dan melabur di dalam industri, produk dan perkhidmatan baharu.

"Perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan serta pengambilalihan teknologi perlu disifatkan sebagai pelaburan untuk mendapatkan keuntungan jangka panjang," katanya.

Perdana Menteri berkata, sektor swasta hendaklah juga menghargai modal insan dengan menmyediakan gaji dan upah pada paras yang bertepatan dan memperuntukkan sumber untuk memupuk bakat.

Di bawah MEB, katanya, sektor swasta penting melaksanakan pelaburan dan projek yang menyokong Wawasan 2020.

Najib berkata, sasaran untuk mencapai pertumbuhan tahunan 6.0 peratus seperti yang ditonjolkan di dalam RMK10 memerlukan daya tolakan bagi meningkatkan pelaburan yang signifikan yang sebahagian besarnya perlu diperolehi daripada sektor swasta yang lebih dinamik.

"Bergerak ke hadapan, kita semua mempunyai peranan untuk dimainkan. Kita juga memerlukan sektor swasta untuk menstransformasi pemikirannya dan menilai semula kepercayaannya," katanya.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, kedua-dua sektor awam dan swasta perlu bekerja bersama-sama dan menggunakan semua komuniti yang pelbagai.

"Kita perlu menggalakkan perkongsian tulen antara komuniti Bumiputera dan bukan Bumiputera. Melalui perkongsian yang tulen itu, kita akan mencapai matlamat kita untuk mencapai pengagihan seimbang kekayaan negara," katanya.

No comments:

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024