Wednesday, August 18, 2010

Najib Umum KDNK Suku Kedua Memberangsangkan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membayangkan prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan pada suku kedua tahun ini.

Tanpa mendedahkan butirannya, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan mengumumkan pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu esok.

“Kalau boleh saya mahu umum malam ini tetapi tak bolehlah. Kita akan umumkan esok.

“Percayalah kita akan umum kadar pertumbuhan yang memberangsangkan esok,” kata beliau ketika berucap pada majlis berbuka puasa dengan penduduk Pangsapuri Perdana, Taman Sri Manja di Masjid As-Salam di sini, malam ini.

Najib berkata pertumbuhan ekonomi negara yang lebih baik juga boleh dilihat berdasarkan kepada kedudukan mata wang ringgit yang menunjukkan pengukuhan berbanding mata wang lain di Asia Tenggara.

Ringgit diniagakan kukuh hari ini apabila ditutup pada 3.1575/1605 berbanding dolar AS.

Menurutnya, beliau hari ini mempengerusikan mesyuarat selama empat jam mengenai Model Ekonomi Baru (MEB) untuk memastikan dasar itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Banyak idea baharu dikenal pasti hasil daripada mesyuarat itu dan ia akan membolehkan kerajaan menyediakan perancangan yang lebih teratur untuk memastikan MEB dapat digerakkan dan bukan sekadar retorik, kata beliau.

“Kita akan menyediakan perancangan yang lebih teratur dan tersusun untuk melaksanakannya. Untuk itu kita harap rakyat akan memberikan sokongan supaya segala perancangan dapat dilaksanakan dan matlamatnya dapat dicapai,” kata beliau.

Najib berkata sekiranya negara berjaya mencatatkan KDNK enam peratus setahun, tidak mustahil dalam tempoh 10 tahun negara boleh menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

Beliau berkata kerajaan mempunyai perancangan induk kepada sesuatu perkara dan jika diberi peluang untuk melaksanakannya, ia boleh memberi kesan yang besar kepada rakyat dan negara.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk membangunkan negara,” kata beliau.

No comments:

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024