Pada suku kedua tahun lepas, negara merekodkan pertumbuhan -3.9 peratus.
Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata permintaan domestik yang kukuh adalah hasil daripada perbelanjaan sektor awam dan swasta yang tinggi selain peningkatan dalam pemintaan luar yang dirangsang oleh pengeluaran domestik.
Dari segi bekalan, beliau berkata sektor ekonomi utama terus merekodkan pertumbuhan kukuh pada suku itu yang diketuai sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Pada suku itu, permintaan domestik meningkat sembilan peratus (Q1, 2010 5.3 peratus), sebahagian besarnya hasil daripada penggunaan swasta yang tinggi dan peningkatan berterusan dalam perbelanjaan sektor perniagaan dan awam.
Dalam pada itu kata ahli ekonomi, pertumbuhan 8.9 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku kedua tahun ini melepasi jangkaan pasaran.
Ia mengatasi anggaran kami sebanyak 8.5 peratus. Ini menjadikan pertumbuhan 9.5 peratus pada separuh pertama tahun ini,” kata ahli ekonomi AmResearch, Manokaran Mottain, kepada Bernama hari ini.
Malah, jika separuh kedua menyederhana kepada sekitar 6.0 peratus, pertumbuhan setahun penuh masih menghampiri unjuran kami sebanyak 8.0 peratus bagi 2010, katanya.
“Oleh itu, kami tidak menukar pandangan aliran meningkat kami terhadap ekonomi, terutama berdasarkan pemacu pertumbuhan baharu menerusi Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Ke-10, selain keadaan permintaan domestik yang pesat serta prestasi aktiviti dagangan yang kukuh,” kata Manokaran.
Bank Negara hari ini mengumumkan KDNK negara bagi suku kedua berkembang 8.9 peratus.
AmResearch mengunjurkan KDNK suku kedua Malaysia terus kukuh pada 8.5 peratus, walaupun wujud beberapa kelemahan.
Firma penyelidik itu memperakui pertumbuhan perlahan sebanyak 9.4 peratus dalam Indeks Pengeluaran Perusahaan pada Jun seperti yang dinyatakan oleh Jabatan Perangkaan berbanding anggaran sebelum itu sebanyak 11.7 peratus.
Aktiviti pengilangan bagaimanapun masih kukuh pada suku itu, mencatatkan peningkatan 15.9 peratus berbanding 5.3 peratus pada suku pertama.
Ini katanya adalah selari dengan prestasi serantau, terutama dengan rakan dagang utama negara seperti China dan Singapura.
Sementara itu, pakar ekonomi Datuk Muhammad Saleh Majid, berkata angka terkini ini merupakan perkembangan yang “tinggi”, satu angka yang boleh dihormati dan boleh dibanggakan.
“Kita berkembang seiring dengan negara-negara jiran seperti Singapura mahupun China yang sedang memperlahankan perkembangan ekonominya supaya tidak terlalu panas.”
Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) itu juga berkata perkembangan ini sudah dijangkakan, iaitu jatuh sedikit berbanding suku pertama sebanyak 10.1 peratus.
“Namun, kita mampu bertahan disebabkan Pakej Rangsangan berjumlah RM67 bilion yang masih menunjukkan kesan,” katanya.
Angka yang sedikit menurun itu juga lebih disumbangkan oleh ekonomi luaran, dengan negara-negara utama yang mempunyai dagangan dengan Malaysia, masih mengalami kelembapan ekonomi, katanya.
“Amerika Syarikat masih tidak keluar daripada kemelut krisis ekonominya dan Jepun masih bermasalah dengan mata wang Yen yang terlalu tinggi hingga menjejaskan eskportnya.”
“Kita masih lagi selamat. Kita tidak mengalami kejatuhan ekonomi seperti beberapa negara maju di luar sana,” katanya.
No comments:
Post a Comment