Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan atau membawa kepada berlakunya konflik etnik dan ras, faktor-faktor konflik ini tidak sama dari satu negara dengan negara lain. Terdapat beberapa faktor yang utama yang mendorong kepada berlakunya masalah etnik dan ras ini :-
- Perebutan kuasa di antara kelompok-kelompok atau kumpulan etnik. Dari aspek politik dan ekonomi, perubahan politik dan perkembangan ekonomi yang mencetuskan banyak peluang baru yang menguntungkan telah memperhebatkan lagi persaingan di antara kumpulan-kumpulan masyarakat. Setiap kelompok atau kumpulan akan berusaha untuk mendapatkan sokongan padu daripada kumpulan masing-masing untuk memastikan kejayaan dan keberkesanan persaingan itu. Keadaan ini boleh mewujudkan konflik kerana terdapat penonjolan berbagai-bagai isu perkauman yang diutarakan untuk memenangi persaingan. Apabila pilihanraya diadakan sudah tentu masyarakat majoriti akan mengalahkan masyarakat minoriti. Apabila ini berlaku sudah tentulah wujudnya penindasan. Ini boleh menyebabkan atau mendorong kepada berlakunya perasaan tidak puashati dan mungkin boleh menyebabkan ketegangan di kalangan masyarakat atau kelompok-kelompok.Apabila kestabilan ekonomi tergugat, maka masalah atau konflik akan bertambah hebat.
- Diskriminasi dan prasangka atas dasar warna kulit nyata merupakan faktor yang utama pendorong berlakunya konflik etnik dan ras. Terdapat sesetengah masyarakat negara-negara tertentu masih menilai kemampuan seseorang mengikut kaum, etnik dan kelas sosial. Ada kaum-kaum tertentu diletakkan pada status yang lebih tinggi berbanding kaum lain. Hak kaum lain yang status lebih rendah dalam soal pembahagian kawasan perumahan, peluang pelajaran dan pekerjaan masih dipertikaikan. Permodenan dan pembangunan ekonomi secara dasarnya tidak memanafaatkan kaum yang berstatus rendah ini.
- Layanan atau pandangan yang berbeza-beza diberikan oleh individu atau kelompok terhadap individu atau kelompok yang lain. Konflik akan hanya wujud apabila mereka memandang dan menganggap bahawa perbezaan ras, kebudayaan, agama, kelas sosial atau lain-lain lagi sebagai sesuatu yang boleh membezakan taraf, kedudukan dan sebagainya. Ini terletak pada pandangan mereka sendiri. Ia juga boleh disebut sebagai diskriminasi. Andainya wujud hak kesamarataan atau beranggapan bahawa semua ahli masyarakat adalah sama maka tidak akan wujud konflik . Ini dapat dilihat dari perspektif "transcendentalisme" di mana sifat murni diri perlu wujud agar terhindar konflik etnik dan ras.
- Penubuhan organisasi demikian bukan sahaja menghadkan keanggotaannya kepada anggota dari kumpulan etnik tertentu tetapi juga bertujuan untuk melindungi dan memperjuangkan kepentingan kumpulan yang diwakilinya. Dengan wujudnya begitu banyak organisasi yang berasaskan etnik dan ras, jelas menunjukkan betapa besarnya pengaruh perasaan perkauman itu di kalangan masyarakat. Kegiatan dan perjuangan organisasi-organisasi demikian boleh mendorong kepada peningkatan darjah polarisasi etnik dan ras.
- Salah satu punca berlakunya konflik adalah kepelbagaian budaya (cultural diversity) yang ketara dan kewujudan usaha pemeliharaan status quo di kalangan etnik, tetapi tidak diterapkan unsur-unsur integrasi nasional.
- Golongan elit seringkali memperalatkan perasaan perkauman ini untuk mencapai tujuan politik mereka dengan menggunakan isu-isu sensitif perkauman. Perasaan perkauman itu dijadikan mekanisma bagi memperkuatkan persaingan atau perebutan kuasa di kalangan mereka. Golongan elit ini juga seringkali akan menggunakan media massa samada surat khabar ataupun media elektronik untuk menyebarkan tuntutan atau isu-isu yang mereka timbulkan itu.
No comments:
Post a Comment