Thursday, August 19, 2010

Pemuda BN: Kenyataan Rasis Pengetua Jijik, Perlu Tindakan Tegas

Pemuda Barisan Nasional (BN) mengecam keras kenyataan berbaur perkauman dan menghina yang didakwa telah diucapkan oleh Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai Jaya pada 12 Ogos lalu.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata ucapan pengetua berkenaan yang didakwa menyebut pelajar Cina tidak diperlukan di negara dan boleh pulang ke China di samping menyamakan gelang keagamaan Hindu, yang dipakai oleh pelajar India seperti rantai anjing, adalah amat jijik.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno memberitahu, kenyataan-kenyataan sedemikian menonjolkan kejahilan pengetua berkenaan mengenai aspek kewarganegaraan dan ritual agama-agama lain negara ini.

“Bahkan, amat memeranjat dan memilukan sekali kerana semua itu diucapkan di hadapan murid-murid pelbagai kaum semasa perhimpunan sekolah bersempena perayaan menyambut bulan kemerdekaan negara.

“Apakah beliau langsung tidak memikirkan perasaan para pelajar, terutama kaum Cina dan India, yang mengumandangkan lirik ‘Negaraku, Tanah tumpahnya darahku’ semasa menyanyikan lagu kebangsaan pada majlis tersebut, namun disajikan dengan ungkapan umpama menghina dan menghalau keluar dari negara ini?” kata Khairy dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata kenyataan pengetua terbabit Siti Inshah Mansor itu hanyalah salah faham dan ia telah diselesaikan.

Malah Alimuddin menafikan pengetua itu telah ditukarkan ke sekolah lain.

Dalam kenyataannya hari ini, tegas Khairy, Pemuda BN berpendapat bahawa insiden ini, yang telah mengundang 17 laporan polis setakat ini, harus disiasat sepenuhnya dan sekiranya benar terjadi maka beliau hendaklah didakwa bagi satu hukuman keras, di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau seumpamanya kerana ia langsung tidak boleh diterima sama sekali oleh masyarakat majmuk di negara ini.

“Pemuda BN juga menyeru supaya kerajaan tidak memandang remeh tentang perkara ini dan sekiranya benar ia berlaku, maka satu hukuman keras perlu dilaksanakan sebagai pengajaran serta isyarat tegas bahawa mana-mana tindakan yang tidak selari dan sejajar dengan gagasan 1 Malaysia, yang memupuk semangat perpaduan nasional, harus ditangani dan diambil tindakan yang sewajarnya,” katanya lagi.

Khairy berkata, insiden tersebut yang melibatkan seorang ketua pentadbir sebuah insititusi pendidikan, mahupun kes terdahulu yang membabitkan seorang bekas pegawai khas kepada Perdana Menteri menampakkan bahawa isu perkauman adalah suatu permasalahan sistemik yang bukan sahaja wujud bahkan menular dalam masyarakat majmuk dan betapa amat mudah sekali bagi mana-mana pihak untuk terjebak dalam apa jua provokasi mahupun konflik berbaur perkauman.

Sehubungan itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menambah, di samping menekankan aspek punitif bagi sebarang insiden yang disabitkan kesalahannya, Pemuda BN juga menyeru agar kerajaan dapat mencari jalan bagi mempertingkatkan penyemaian dan penyuburan semangat serta nilai patriotisme dan perpaduan di kalangan rakyat.

Selain itu kata beliau, kerajaan diharap dapat menginstitusikan usaha-usaha tersebut, terutama dalam aspek penilaian dan kenaikan pangkat kakitangan kerajaan bagi mengelak berulangnya insiden melibatkan seorang pegawai kanan kerajaan, yang berperanan besar dalam urus tadbir sebuah sekolah seperti mana yang berlaku di Kulai Jaya, Johor.

“Umum mengetahui bahawa isu perkauman adalah aspek dua hala yang bukan sahaja membabitkan kenyataan atau tindakan dari bangsa Melayu berhubung bukan Melayu, bahkan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, Pemuda BN menyeru semua pihak untuk bersifat waspada dan menghindarkan diri daripada mudah terjerumus ke kancah polemik dan konflik perkauman di samping kita semua bersama mencari titik penyelesaiannya. Inilah cabaran 1 Malaysia.

3 comments:

Anonymous said...

lu kalo melayu dihina takde plak ko nk menyalak ek sie kit0l..?

Anonymous said...

khairy jamaluddin kata cikgu tu racis dan minta pihak kementerian mengambil tindakan keras terhadap cikgu tu, tapi bila anak cina yang bernama namewee ni memaki hamun pekerja tnb yang berbangsa melayu dan kemudian mengaibkan mereka dengan memasukan klip video maki hamun itu kedalam youtube yang ditonton oleh ribuan manusia diseluruh dunia, kenapa kj diam?

Anonymous said...

salam,
tukar aje nama kj jadi "kow jee latt"mengampu cina terlampau-lampau.ibrahim ali bela melayu dia kata racist.cina hentam melayu kenapa dia diam?patutlah tak jadi menteri.dr mahathir dah nampak lama dah budok ni tak di pakai.

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024