Monday, January 3, 2011

Kekuatan UMNO Kampung Tradisional Ulu Cheka

Sayup kejauhan Gunung Benum yang membanjari Kampung Ulu Cheka.

Mukim Hulu Cheka, kira-kira 20 km dari bandar Jerantut. Perjalanan ke perkampungan yang menghijau tu mengambil masa kira-kira 25 minit. Melalui jalan yang bengkang-bengkok di awal perjalanan memang sedikit merimaskan, apatah lagi permukaan jalan kini sangat mendukacita, berlubang, beralun, berlopak dan rosak di sana sini.

Selepas melepasi pekan Damak, perjalanan ke Hulu Cheka, mengambil waktu yang makin singkat. Kg Bukit Batu, Kg Jungai, Kg Tengah dan lain-lain kampung memanjang sejauh 10 km ke pusat mukim Ulu Cheka. Menariknya, kampung-kampung ini terkenal dengan kebun buah-buahan serta kebun kelapa sawit yang menghijau. Terdapat juga penduduk di sini yang mengusahakan ternakan ikan kolam, sama ada secara komersial ataupun kecil-kecilan. Ini kerana di hujung mukim ini terdapat pusat akuakultur yang besar di Perlok. Berbagai jenis ikan dibiak benihnya untuk dijual kepada penduduk sekitar atau penternak dari luar Jerantut. 

Allahyarham Pawang Nong tokoh legenda masyarakat Ulu Cheka.

Tokoh masyarakat yang di kenali dengan Pawang Nong memang masyhur di mukim tersebut dan dianggap ikon bagi masyarakat Mukim Hulu Cheka. Pawang Nong atau nama sebenar beliau ialah Haji Nong Talib Bin Santan adalah merupakan Pawang Diraja Negeri Pahang suatu masa dahulu. Beliau juga adalah pengikut serta dikatakan pernah menuntut dengan pahlawan Pahang yang terkenal iaitu Mat Kilau yang berjuang menentang penjajah Inggeris.

Beliau merupakan pengasas atau pembuka Kampung Ulu Cheka bersama 7 orang kawannya pada tahun 1907. Dan beliau dilantik sebagai ketua kampung pertama sehingga tahun 1966. Selain itu beliau merupakan pengasas masjid Kampung Ulu Cheka serta merupakan Pawang Utama di kampung ini serta menjadi Pawang Diraja.

Beliau juga merupakan pengasas seni silat cekak di kampung Ulu Cheka serta merupakan Pahlawan Melayu Pahang yang menentang penjajahan komunis di daerah ini.

Selain itu beliau jugalah yang berjaya menangkap orang minyak yang berleluasa di sekitar perkampungan Ulu Cheka dan Kampung Damak. Dikhabarkan juga melalui cerita lisan orang tua-tua dahulukala bahawa ketika zaman penjajahan tentera Jepun, beliau berjaya memagari dari dilihat atau dicerobohi oleh tentera Jepun untuk memasuki kawasan perkampungan dari Kampung Damak sehinggalah ke kampung Ulu Cheka.

Beliau telah dilahirkan di Kampung Sempiat, Tanjung Besar Benta Kuala Lipis pada tahun 1874 dan beliau telah meninggal dunia pada 10 November 1977 di Kampung Ulu Cheka. Makam beliau boleh dilawati di perkarangan masjid Kampung Ulu Cheka, Jerantut, Pahang.

Atas jasa-jasa beliau ini sebuah sekolah rendah kebangsaan dinamakan sebagai Sekolah Rendah Kebangsaan Pawang Nong Ulu Cheka bagi mengingati atau mengenang jasa beliau dalam mempertahankan dan memperjuangkan orang-orang Melayu suatu masa dahulu.

Perkampungan Ulu Cheka juga dikenali sebagai "Kashmir Jerantut" kerana pemandangan banjaran Gunung Benum yang ke dua tertinggi selepas Gunung Tahan yang cantik dan cuacanya yang sejuk. Terdapat banyak lata-lata yang menarik dengan air terjun yang cantik.

Tok Empat Kampung Ulu Cheka, Nazri Che Husein boleh menggerakkan masyarakat di sini. Tengku Muda  Pahang sewaktu lawatan kerja sehari beliau ke Kampung Ulu Cheka pada tahun 2009 begitu terharu dengan sambutan ramai penduduk di Mukim Ulu Cheka.

Lawatan kerja seharian Tengku Muda  Pahang ke kampung tradisional Ulu Cheka pada tahun 2009. Beliau cukup terharu dengan keramahan dan sambutan meriah masyarakat Mukim Ulu Cheka.

WZWH mahu lihat kekuatan UMNO Kampung Ulu Cheka berdasarkan PRU 12. Melalui peti undi SM Agama Ehyail Maarif Ulu Cheka. Terdapat 1098 pengundi berdaftar. Seramai 857 yang keluar mengundi. 241 tidak keluar mengundi. Parlimen BN menang majoriti 59 undi. Manakala DUN Damak BN kalah majoriti 14.

Ke mana perginya kekuatan UMNO kampung tradisional Ulu Cheka yang tidak segagah tokoh legendanya Pawang Nong? Jika kampung tradisional Pulau Tawar pun UMNO sudah lemah maka ini bukti pemimpin atasan UMNO perlu melihat kenapa sokongan yang selama ini jitu untuk UMNO tetapi mula terhakis.

Adakah isu-isu pembangunan seperti Projek Jalan Jerantut Benta yang terbengkalai atau pembesaran kampung dan infrastruktur masih tidak memuaskan hati pengundi di kampung tradisional Ulu Cheka. Adakah pemimpin UMNO Bahagian Jerantut kerap melawat kawasan Mukim Ulu Cheka ini termasuk Kampung Batu Balai dan Pekan Damak yang dikedua-dua peti undi ini parlimen BN dan DUN Damak BN kalah dengan majoriti 297 dan 171.

WZWH boleh cakap perlu buat sesuatu...

3 comments:

Anonymous said...

Peruntukan untuk jalan2 Persekutuan dalam negeri Pahang ni memang agak susah Kerajaan Pusat nak bagi sebab Negeri Pahang ni masih kubu kuat UMNO. Mesti utamakan negeri yang kalah untuk tawan semula hati pengundi. Masalah Projek Jalan Jerantut Benta tu mungkin hal yang terlalu kecil. Cuba kita tengok jalan2 persekutuan dalam Jerantut boleh dikatakan semuanya teruk, susah untuk pihak yang berkenaan nak perbaiki sebab kekangan peruntukan dari Kerajaan Pusat.

Anonymous said...

Salam anon 11.51.Kalau pahang kubu kuat UMNO tapi masih ketingalan pembangunan,.Baiklah kita undi Pembangkang.Walau tak dapat pembangunan pun tak ada sebab kita mmg tak boleh harapkan pembangkang. Tetapi kita puas hati sebab kita telah memprotes

Anonymous said...

Salam Anon 8:08,
Setuju. Protes jangan tak protes. Orang Jerantut mesti beri mesej yang Kerajaan Pusat boleh faham. Buat apa kita bagi mesej yang Kerajaan Pusat tidak faham!

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024