Friday, July 8, 2011

Jawapan PAS 'Menghalalkan' Ambiga Sebagai Ketua Bersih 2.0



WZWH telah menunggu siapa tokoh PAS, siapa ulama PAS dan siapa intelektual PAS yang sanggup menerangkan kepada orang Melayu dan orang Islam mengapa PAS 'menghalalkan' Ambiga Sreenevasan menjadi Ketua Pemimpin rally Bersih 2.0 yang sememang dari hukum undang-undang negara adalah pertubuhan haram.

Maka ini WZWH kira jawapan sebenar PAS mengapa parti Islam ini menyokong Ambiga seorang tokoh murtad dan anti Islam yang telah tersebar diketahui oleh umat Islam Malaysia. Tentu pembaca blog WZWH sendiri boleh menilai bila ' kena ke aku(PAS) HALAL, kena ke mu (UMNO) HARAM! Pemimpin PAS sudah menjadi semakin liberal dan pluralisme serta sekular!

Dari blog Nik Abduh anak TGNA, Timbalan Ketua Pemuda PAS menulis...

Bagaimana dengan Datuk S. Ambiga? Saya akan merujuk kepada beberapa dakwaan terhadapnya sehingga beliau dituduh oleh pihak yang menuduh sebagai anti Islam, terutama berkaitan soal murtad dan pluralisme agama.

1) Adakah salah untuk seorang bukan Islam berpendapat dan bertindak menyalahi hukum Islam sedangkan ia tidak menyalahi undang-undang negara? Jika salah, maka adalah baik untuk kita tumpukan dulu pertuduhan dan kemarahan kita itu terhadap orang Islam sendiri yang berkata dan bertindak menyalahi hukum ugamanya sendiri daripada melampiaskan kemarahan kita kepada orang luar yang mungkin saja bertindak demikian hanya kerana melihat telatah umat Islam sendiri yang menolak ugamanya.

Jika tidak salah, maka mengapa kita menganggapnya anti Islam, sedangkan undang-undang negara tidak menganggapnya salah? Adakah agama kita memaksakan mereka sebagaimana ugama kita memaksakan kita? Tidak bukan? Undang-undang negara membenarkan mereka mencabar. Jadi, salahkah mereka bergerak di atas lunas-lunas itu?

Yang boleh memaksakan semua adalah undang-undang yang terpakai di dalam sesebuah negara. Islam tak terpakai di negara kita. Jadi persoalan asas adalah mengapakah tidak dilaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya, atau dalam isu ini, yang berkaitan penjagaan terhadap ugama Islam dan individu muslim daripada dijadikan bahan murahan dan mainan seperti kes murtad oleh umat sendiri.

Maksud saya, pertuduhan anti Islam terhadap individu non muslim seperti Datuk S. Ambiga dan sepertinya adalah berbentuk persepsi dan anggapan. Ia bukan terbukti. Sesuatu yang samar-samar tidak boleh dibina hukum di atasnya. Ia adalah kezaliman. Kezaliman tertolak daripada merajai hukum ugama.

Ya, benar bahawa persepsi dan kesamaran itu berguna untuk sikap berhati-hati. Adakah anda menjangkakan BERSIH 2.0 adalah medan untuk menolak agama? Atau ianya adalah untuk menolak ketidakadilan? Penilaian adalah ke atas BERSIH 2.0, bukan lagi pada individu yang mengetuainya itu. Saya tidak berhujah untuk memperkenalkan BERSIH 2.0 di sini. Topik kita ialah ketuanya sesudah BERSIH 2.0 difahami sebagai kumpulan yang bersih murni matlamatnya.

Lainlah jika anda memang berpendapat bahawa BERSIH 2.0 itu sendiri adalah tidak bersih. Kita bincang di lain kali pula hal itu.

2) Siapakah yang patut bertanggung jawab terhadap tindakan-tindakan oleh kumpulan bukan Islam yang mencabar hukum ugama Islam? Apatah, apabila tindakan tersebut dilakukan melalui lunas undang-undang negara? Sudah pasti jawaban kita adalah jelas bahawa yang bertanggung jawab adalah penggubal dan mereka yang meluluskannya. Hukum-hukum Islam, umat Islamlah – pemerintah Islamlah – yang mesti melaksanakan kedaulatannya sehingga tidak boleh lagi dicabar sewenang-wenangnya.

Malangnya, sebelum non muslim, umat Islam sendirilah yang berada di hadapan menentang perlaksanaan hukum syariat ke atas mereka dan negara mereka juga. Siapakah mereka? Agak malang, bahkan pelik sekali kerana mereka inilah juga yang sering menuduh Datuk S. Ambiga sebagai anti Islam?! Jadi, sudah pasti nyata bagaimana pertuduhan terhadap pengerusi BERSIH tersebut adalah semata-mata untuk mengaburi masyarakat agar turut menolak BERSIH 2.0 tersebut, walaupun pengerusinya ditukar kepada TG Abdul Hadi Awang! Saat itu, pertuduhan khas pula dicipta ke atas TG Abdul Hadi Awang. Mungkin sebagai neo Khawarij!?

Khulasahnya, sebelum anda melihat kepada Datuk S Ambiga, lihat dulu kepada kerajaan Malaysia yang menjadi penghalang kepada perlaksanaan syariat Islam yang sebenar dan begitu takut dan ngeri dengan kemaraan BERSIH 2.0 itu. Mengapa takut kepada pencinta keadilan dan kebebasan jika mereka juga adalah kerajaan yang adil dan pro kebebasan?

3) Apakah yang sebenarnya dituntut oleh bukan Islam? Sudah pasti hak mereka sebagai rakyat yang mahukan keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek. Anda harus faham, sebagai sebuah minoriti ugama dan bangsa, non muslim memiliki perasaan sendiri bahawa mereka merasa masih tidak selesa dan selamat dengan undang-undang dan perlaksanaannya di negara ini yang dilihat tidak mesra minoriti. Ini termasuklah hak beragama dan kawalan terhadap ugama mereka.

Adakah setiap kali mereka bersuara, maka hukumnya adalah ‘anti-Islam’, sedangkan tiada pun Islam sebenar yang menjadi undang-undang di negara ini? Adalah menjadi tuntutan ugama Islam bahawa menjaga hak bukan Islam adalah teras besar kepada undang-undang Islam. Tanpa ini, undang-undang Islam adalah terbantut, lemah dan tidak relevan sebagai ‘rahmatan lil alamin’.

4) PAS konsisten memperjuangkan Islam dan kedaulatannya semenjak sekian lama. Ia pertubuhan politik dan dakwah yang secara jelas memperkenalkan Islam dan syariatnya yang sebenar walau terpaksa berhadapan kesusahan dan tindakan zalim pemerintah. Adakah PAS yang diketuai oleh syura ulama yang menepati maksud kekuasaan sebenar Islam tiba-tiba gagal mengenal Datuk S Ambiga? Ia agak jauh, sukar dan ‘unreachable’ oleh otak yang BERSIH!!

Kelima, mengapa Ambiga? Mengapa tidak PAS yang mengetuai demonstrasi aman BERSIH 2.0, sedangkan PASlah yang dilihat menjadi pemain utama menggerakkan massa? Perhatikan,

1) Agar matlamat BERSIH 2.0 tidak dilihat bermotif politik dan parti politik semata-mata, bahkan dilihat sebagai tuntutan bersama rakyat Malaysia, termasuk yang tidak mesra politik dan orang politik. Rakyat mahu pemerintah mereka adalah yang mereka pilih melalui proses pilihan raya yang adil dan telus. Dengan penglibatan golongan non partisan seperti puluhan NGO yang bergabung di dalam BERSIH 2.0, maka adalah nyata bahawa rakyat seluruhnya telah nampak secara jelas bahawa perjalanan pilihan raya negara adalah di tahap lemah dan sering dimanipulasi oleh pemerintah semasa. Rakyat seluruhnya mahukan reformasi pilihan raya!

Maka, Datuk S Ambiga dicalonkan dan semua pihak menerimanya mengetuai BERSIH 2.0.

2) Agar matlamat BERSIH 2.0 tidak dilihat bermotif ugama semata-mata. Oleh kerana PAS terlalu ‘ugama’, maka sudah pasti BERSIH 2.0 akan gagal mencapai matlamatnya yang mahukan seluruh rakyat yang mahukan reformasi pilihan raya itu turut menyertainya tanpa rasa curiga terhadap motif pihak lain. Ia adalah matlamat yang disepakati bersama.

Kesepakatan melakukan kebaikan adalah dendangan syariah Islam.

3) Agar PAS tidak dilihat sebagai ekstrimis ugama. Walaupun PAS berjaya daripada semasa ke semasa memperkenalkan dirinya sebagai pertubuhan Islam yang sederhana dan ‘wasathiyah’, ia tetap menjadi buruan golongan anti Islam untuk menghancurkannya dengan pelbagai tohmahan dan fitnah. Antara peluru utama ke atas PAS adalah senjata tajaan Amerika yang menghukum golongan Islamis sebagai ekstrimis dan pelampau ugama. Sudah pasti tujuannya adalah menjauhkan masyarakat, terutama non muslim daripada PAS.

Apabila orang yang dilabel pula sebagai anti Islam seperti Datuk S Ambiga bersedia untuk bersama-sama PAS mengetuai perhimpunan rakyat, maka ia adalah kebaikan untuk kedua-dua pihak. Sebagai mana PAS, beliau dan kumpulan non muslim juga tidak gemar di label dengan tuduhan-tuduhan yang negatif yang tidak membantu ke arah perpaduan dan keharmonian hidup di negara ini.

4) PAS memerlukan sokongan semua lapisan dan kumpulan rakyat. Negara dibina dan dibentuk oleh rakyat. PAS mencadangkan alternatif yang dilihat terbaik untuk negara Malaysia iaitu negara berkebajikan yang bertunjangkan Islam sebagai neracanya. Adalah satu kesempatan dan peluang yang baik untuk PAS memperkenalkan dirinya sebagai pejuang bersama menuntuk hak-hak rakyat yang diketepikan oleh pihak pemerintah. Adakah menjadi ‘bos’ dalam semua perkara adalah syarat atau rukun dakwah? Adakah ia juga satu hikmah dalam berdakwah? Tidak bukan?

5) Dekad terakhir dalam sejarah dan politik negara adalah dekad anjakan paradigma rakyat dalam banyak hal. Antara yang menarik adalah pecahnya tembok binaan UMNO yang berusaha memisahkan PAS daripada masyarakat non muslim. Kesan tembok itu adalah buruk. Non muslim mengenal Islam yang diperkenalkan oleh UMNO. Kesannya, tiada yang indah dalam Islam. Melayu UMNO adalah dipenuhi penyakit. Bagaimana si pesakit boleh menawarkan kesihatan?

Apabila tembok pecah, kini non muslim mula melihat dan mengenal Islam daripada PAS. Daripada PAS yang ditakuti, kini menjadi PAS yang disenangi. BERSIH 2.0 adalah sebahagian proses berkenalan di dekad baru ini, dekad yang dipenuhi cita-cita bersama ke arah Malaysia yang lebih harmoni, merdeka dan berjaya.

Sekarang anda telah melihat beberapa perkara penting yang mampu menghapuskan keraguan mengenai penerimaan PAS untuk menyertai BERSIH 2.0 walaupun diketuai oleh seseorang yang menghadapi tohmahan sebagai anti Islam.

Walaupun saya tidak membawa nas-nas penghujahan secara lebih terperinci demi meringkaskan, adalah cukup dengan memahami hujah-hujah yang diberi, kita akan melihat nas-nas ugama itu seperti bersedia untuk tampil.

3 comments:

andi said...

1. bukan ker ambiga ni dah buktikan yang dia mementang islam? dengan menentang keputusan makahamah syriah lina tu murtad.
-memanglah agama kita tidak memaksa mereka tapi itu tak bermaksud mreka boleh menidakkan hukum yang tetap dalam agama kita.
-ingin pulak saya ingin bertanya apa sumbangan ambiga kepada agama islam dan orang islam? sehingga dia dilayakkan sebagai seorang yang bukan anti-islam.

-persoalan sungguh ker bersih itu murni matlamatnya, sudah terang lagi menyuluh, siapa yang sebenarnya ahli BERSIH ni? pkr sahaja pas sahaja dap sahaja nak cakap keselurahan rakyat malaysia mustahil saya sendiri menolak konsep demokrasi yang mereka cuba bawa ke malaysia.

-tapi siapa pula kumpulan islam yang suka mencabar undang2 negara ni umno ker? kerana sebab itulah sekrang ni ramai yang tidak sokong mati2an BERSIH

betullah tu umat islam seperti anwar kan dan juga rakan setia PAS DAP(jangan lupa dalam dap pun ada orang mengaku islam dan melayu yer)

perlaksanaan syariat? eh bukan kes pas sendiri yang tak jalan kan hukum hudud di negeri pentadbiran sendiri, ni kenapa nak salahkan orang lain lak ni.

-bersuara tidak salah tapi biarlah berlapik dan kena tempatnya, bila menuntu keadilan contohnya cerminlah diri dulu tang keadilan mana yang tak cukup? bila membangkitkan masalah janganlah lupa bagikan cadangan untuk penyelesaiannya, ini tidak pantang ada masalah huru hara jawapannya.

-PAS konsisten memperjuangkan ISLAM dan kedaulatannya? kenapa tak jalan kan hudud di kelantan kenapa tukar objektif negara islam kepada negara berkebajikan?

-BERSIH dari awal lagi sudah bermotifkan politik, apa yang korang cakap tidak ni? siapa yang yang buat bersih ni? pas dap pkr=bersih

bila ambiga dicalonkan?bila bersih buat mesyuarat agong?

ish macam mana ni? biar betul artikel yang aku baca ni. aku yang duk kat malaysia ni belajar kat kolej jer boleh bertaya soalan2 macam ni? korang yang yang belajar ilmu sufi ilmu dunia tahap tinggi2 tu takkan tak dapat berfikir tentang ni semua.

masyallah.....

Anonymous said...

di malaysia semuanye politik..
kebaikan : semua rakyat sudah memahami politi kepartaian.
keburukan : huru hara kan negara aje..

kesimpulan : kalau nak ubahkan negara.. tunggu lah pilihan raya yang akan menjelang tiba.

moral : jangan jadi pondan. knp? nak lwn kerajaan tak tentu masa.. PENAKUT namanye..
tunggu pilihanraya.. baru anak JANTAN!!

maknenye : BERSIH 2.0 tak perlu.. tapi PRU13 sgt perlu..

Anonymous said...

orang pas sekarang ni semakin teruk.mereka terpaksa menanggung dosa mereka memperalatkan agama selama lebih setengah abad.itu sebabnya pemimpin mereka semakin merapu sekarang ni akibat penipuan mereka terhadap rakyat selama ini. tuhan telah tunjukkan belang dan rupa mereka yang sebenar.umno pula tidak berpura-pura.mereka lebih realistik.rendah moral ke,korupsi ke,skandal ke,mereka tetap mengaku dan terima hukuman nya. cuma pas sahaja yang berselindung di sebalik cengkerang siput atau si umang2.

kutukan dewata :nik abduh tidak layak untuk di angkat sebagai pemimpin islam.tahap pemikiran dia lebih rendah dari ayahnya.

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...