Tuesday, June 25, 2013

Politik Hendaklah "Cerdik Melayu" Membina Ekonomi Bangsa




Isu Dasar Ekonomi Baru menjadi tiba-tiba hangat selepas keputusan PRU 13. Orang Melayu mahu DEB dihidupkan semula. Sebelum itu umum sudah tahu betapa kecewanya dengan partisipasi dan prestasi orang Melayu dalam ekonomi dan dalam pemilikan kekayaan Negara.

Tetapi yang peliknya selain dari sebilangan kecil yang muncul bercakap mengenai isu itu hampir tidak kedengaran yang lain bercakap secara jelas dan positif megenai cabaran besar itu; iaitu bagaimanakah kekayaan Negara dapat diagih supaya kaum Melayu tidak ketinggalan dalam Negara yang maju membangun.




Bagi pemimpin Melayu sepatutnya tidak ada yang lebih mustahak dan berprioriti lebih utama dari isu ekonomi kaum Melayu. Politik kepada orang Melayu tidak ada erti jika ia tidak dijadikan kunci kejayaan dan kemajuan kedudukan kaumnya.. 

Tersirat dalam cakap-cakap mahu memilik sekurang-kurangnya 30% dari kekayaan Negara ialah kemahuan menjadikan itu sebagai jaminan bagi kaum Melayu menjaga maruah di tanah air sendiri.

Umum juga tahu bahawa apa pun jaminan bagi kaum Melayu yang termaktub dalam mana-mana dokumen itu adalah tidak sama dengan keteguhan ekonomi yang ada di tangan. Perkara-perkara lain bukan tidak penting tetapi jika perkara-perkara itu tidak diadun bagi menghasil keteguhan kedudukan ekonomi kaum Melayu secara relatif orang Melayu pada ‘amnya akan mengalami masalah.




Sama ada wujud atau tidak Dasar bagi menolong orang Melayu pemimpin Melayu perlu pastikan supaya pengurusan kearah itu diperhebatkan. Langkah sedemikian memerlukan usaha, tenaga, kaedah dan sumber yang luar dari biasa yang perlu dicari, dikhtiar dan dilaksanakan sebagai satu misi kebangsaan. 

Dari sudut orang Melayu jika pemimpin yang mereka angkat tahun demi tahun untuk memimpin mereka hanya pandai jadi pentadbir membangun Negara, menjaga keselamatan Negara, mengibar jalur gemilang terbesar, menarik pelabur asing dengan banyak, memungut pelbagai cukai dengan efisyen dan mempertajam daya saing di antarabangsa sedangkan dalam urusan semua itu orang Melayu tidak dapat tumpang maju secara relatif selari dengan kaum-kaum lain maka semua itu sia-sia; semua kejayaan itu tidak bererti, tidak relevan. 

Jangan pula ada yang cepat beranggapan bahawa jika perhatian diberi kepada menolong orang Melayu kaum-kaum lain dan Negara akan terabai. Apabila berada dalam kegagalan meletakkan 30% dari kekayaan Negara ditangan orang Melayu setelah 57 tahun Negara merdeka rakyat dan kerajaan perlu bersama-sama menyelami masalah dan mencari kaedah dan jalan yang dapat menjayakan apa yang belum tercapai.




Meminta kepimpinan memberi prioriti kepada cabaran memajukan orang Melayu tidak sekali-kali bermaksud supaya pemimpin mengabaikan tugas kenegaraan. Yang dikehendaki ialah supaya Negara ditadbir dengan pengurusan yang terbaik sambil luang dan ruang yang berkualiti perlu dikhaskan bagi memikir dan melaksana dasar dan program yang dapat memberi kesempatan kepada orang Melayu berpartisipasi secara berkesan dalam pembangunan negara; iaitu berusaha di segala peringkat dengan menggunakan ilmu pengtahuan, kepadaian, teknologi dan jaringan untuk meneguhkan kedudukan diri dan kaum. 

Memiliki asset dan menyuburkan asset selari dengan kemajuan Negara adalah jaminan maruah bagi Melayu.Yang nyata dari segala segi ialah ekonomi lah yang akan menjamin kedudukan dan maruah kaum Melayu di tanah air sendiri. Bagi orang Islam sudah tentu perolehan keteguhan kedudukan ekonomi hendaklah selari dengan mencari keredhaan Allah.

Oleh itu yang penting dalam ‘perjuangan’ politik Melayu ialah membina keteguhan ekonomi kaum. Untuk itu adalah perlu supaya iktibar diambil dari pengalaman pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru.  WZWH  mengajak seluruh orang Melayu memusatkan perhatian kepada destini bersama dikalangan kaum Melayu dan dikalangan pelbagai kaum. Bagi pemimpin-pemimpin Melayu pemerahan otak dalam politik mesti menyumbang kepada kemajuan kaum Melayu secara ‘cepat’.




Politik hendaklah ‘cerdik Melayu’. Politiking yang memecahbelah perlu diredakan bahkan dihentikan; perbezaan pendapat dan pegangan perlu ditangani secara yang tidak menghalang kemajuan ekonomi. Tugas amat besar yang dihadapi bersama oleh orang Melayu ialah bagi menjayakan usaha meneguh ekonomi. 

Jika pelbagai virus dibiar melemah partisipasi orang Melayu maka tidak mungkin usaha besar itu dapat menghasil kejayaan. Kaum Melayu akan kecewa dengan ketiadaan satu treatment yang serious dan mendalam dari pemimpin Melayu untuk membuat penilaian dan memilih strategi bergeliga dalam menghadapi cabaran meneguhkan ekonomi mereka.

No comments:

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...