Di Jerantut terdapat sebuah pusat pengeluaran benih ikan air tawar yang di uruskan oleh Jabatan Perikanan. Tempat ini terletak di Kampung Perlok, kira 38 km dari bandar Jerantut dan dinamakan Pusat Pengembangan Akuakultur, Perlok.
Hari ini WZWH akan merasmi mesyuarat UMNO cawangan Kampung Perlok Ulu Cheka pada pukul 3 petang. Tahun lepas WZWH juga merasmi cawangan Perlok. Nampaknya UMNO Bahagian Jerantut tidak kreatif buat jadual baru sebab itu guna pakai jadual tahun lepas.
WZWH imbas kembali mesyuarat UMNO cawangan Kampung Perlok tahun lepas...
Mesyuarat tahunan cawangan UMNO Jerantut telah bersidang pada 15 hingga 16 Mei 2010 melibatkan 103 cawangan. Kecuali cawangan di Ulu Tembeling bersidang pada 20 hingga 21 Mei 2010.
Tahun ini sungguh meriah kerana setiap UMNO cawangan mendapat wang sebanyak RM1000. Maka ceria dan banyaklah menu dan kuih muih, hamper, cabutan bertuah dan sedikit elaun untuk ahli-ahli UMNO. Terimakasih di atas initiatif UMNO Bahagian Jerantut. YB Dato' Wan Amizan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian sebagai Pengerusi Pengurusan UMNO Bahagian Jerantut menambah," tahun depan kita bagi RM2000, kalau tak cukup kita tambah lagi!"
WZWH sangat setuju baik kita ceriakan orang UMNO orang kita dulu. Kita jaga ahli-ahli UMNO dulu. Pemimpin UMNO yang pandai cari projek apa salahnya beri balik sumbangan kepada UMNO supaya Kita boleh bergerak dengan laju. Kalau pemimpin UMNO tak mahu menceriakan siapa lagi kita mahu harap.
Pada 16 Mei 2010 juga WZWH kena merasmi mesyuarat UMNO cawangan Kampung Perlok Ulu Cheka sebagai wakil UMNO Bahagian. Tahun ini agak pelik sikit AJK Wanita, Pemuda dan Puteri diberi tugas merasmi mesyuarat UMNO cawangan sama taraf dengan AJK UMNO Bahagian yang WZWH kira satu benda innovatif dari Dato' Wan Amizan.
Mana-mana AJK Wanita, Pemuda dan Puteri yang tidak bersedia atau mudah gugup dan gagap sudah tentu terketar-ketar ketika berucap sebagai wakil UMNO Bahagian. WZWH merasakan ini satu perkara yang baik buat mereka kerana merekalah nanti akan mengantikan kepimpinan UMNO Bahagian Jerantut nanti.
Ketua UMNO cawangan Perlok ialah En. Abdul Kassim bin Sulaiman. Beliau juga Tok Empat di kampung itu. Beliau menyatakan Kampung Perlok mula dibuka pada tahun 1961. Beliau merupakan antara perintis utama. Kampung Perlok mempunyai 105 buah rumah dan mempunyai penduduk lebih kurang 500 orang. Masyarakatnya hidup dengan aman dan muafakat. Kampung Perlok merupakan kawasan pertanian. Pusat penyelidikan penternakan benih ikan ada di Kampung Perlok dikatakan yang terbesar di Asia.
Sewaktu mesyuarat UMNO cawangan itu WZWH mendapati apa yang ahli-ahli UMNO Kampung Perlok mahu ialah:
1) memohon menaikkan taraf jalan ke kelompok sejauh 3 km.
2) memohon pihak PLB menaikkan taraf jalan tar ke rumah semua penduduk Kampung Perlok
3) meminta perkhidmatan syarikat bas Lin Siong disambung semula perkhidmatannya dari Kampung Perlok ke Jerantut
Sewaktu jamuan makan selepas mesyuarat, WZWH sempat bersembang dengan Ketua UMNO cawangan Kampung Perlok, En. Abdul Kassim bin Sulaiman merangkap Tok Empat. WZWH bertanya tentang status menaikkan taraf jalan ke kelompok sejauh 3 km tersebut. Tok Empat berkata bahawa Dato' Wan Amizan dan Dato' Hj Nazri ada datang melihat keadaan jalan tersebut dan selepas itu pihak Pejabat Daerah menghantar pegawainya yang bernama En. Azhar datang menyukat tanah. WZWH rasa sudah ada tindakan terhadap status jalan itu.
Tok Empat Abdul Kassim menanya WZWH asal orang mana. WZWH jawab berasal dari Tembeling. "Oh bukan orang lain kita ni wok!" WZWH terdiam memikirkan siapakah Tok Empat ini. Panggilan "wok" adalah panggilan mesra antara keluarga-keluarga lama di kampung tradisional di Jerantut seperti Tembeling, Pulau Tawar dan Ulu Cheka.
Tok Empat Abdul Kassim 64 tahun sebenarnya ialah cucu arwah Pawang Nong seorang tokoh masyarakat yang legenda di Ulu Cheka. Ada sebuah sekolah rendah kebangsaan mengambil sempena namanya. Walaupun WZWH tidak pernah berjumpa dengan Pawang Nong semasa hayatnya yang meninggal pada tahun 1977 tapi WZWH tahu dari cerita orang tua-tua, ilmu kebatinannya sungguh hebat.
Aki Abdul Kassim menceritakan sedikit kisah sejarah hidup Pawang Nong kerana beliaulah cucu yang sempat tinggal bersama dengan Pawang Nong. Sebenarnya Pawang Nong adalah juga berketurunan bangsawan berdarah raja tapi membuang bangsa hidup aman di kampung pendalaman di Ulu Cheka. Pawang Nong seorang yang berpandangan jauh atau futuristik. Beliau boleh nampak apa yang akan berlaku 50 tahun ke depan.
Sewaktu Aki Abdul Kassim masih muda, beliau mahu berhijrah ke Felda seperti anak-anak muda sezamannya tapi ditegah oleh Pawang Nong. "Kassim kamu duduklah di Perlok tu, jagalah tempat tu..jadi orang tua disitu. Esok ada jalan sampai ke Kuala Kerau. Maju tempat tu" Padahal masa itu Pawang Nong bercakap pada tahun 1961!
Pernah pada masa 13 Mei 1969, Pawang Nong berbaring dalam kelambu selama 3 hari 3 malam sampai Aki Abdul Kassim risau bimbang akinya sakit tapi apa yang berlaku 2 buah bas dari Kuala Lumpur datang bersama anak-anak muda Melayu yang bersemangat dengan parang dan keris ke Ulu Cheka. Mereka kata."Orang Tua Pawang Nong panggil!".
Ada satu peristiwa mistik berlaku sewaktu Aki Abdul Kassim masih muda remaja..pada suatu petang ada seorang tua datang menziarah Pawang Nong di rumah. Kemudian selepas Pawang Nong dan orang tua itu berbicara, orang tua itu memberi sebilah keris kepada Pawang Nong lalu menuruni tangga pulang. Pawang Nong berkata kepada Aki Abdul Kassim," Kassim, awak tahu siapa orang tua tu? Aki Abdul Kassim menggelengkan kepala. " Orang tua itulah Mat Kilau!
Nampaknya ada hubungan antara Pulau Tawar dan Ulu Cheka. WZWH diberitahu orang tua-tua dulu semasa berlaku penentangan Dato' Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau menentang Inggeris di Pahang, Moyang-moyang WZWH yang bernama Wan Husin bersemayam di Kampung Labu di Tembeling Tengah selalu membekalkan peluru dan ubat bedil kepada Mat Kilau. Ada moyang WZWH bernama Wan Abdullah bin Wan Ismail telah menolong Mat Kilau melarikan diri sewaktu pertemporan di Jeram Ampai sampai tercedera ditembak Inggeris. Pada tahun 1970, sewaktu orang Tembeling datang ke Pulau Tawar menziarahi Mat Kilau selepas perisyitiharaannya sebagai Mat Kilau. Mat Kilau berkata," Di Kampung Labu ada tinggal seorang Raja..(itu moyang WZWH bernama Wan Husin bin Engku Khatib).
Demikianlah corat coret kisah mesyuarat UMNO cawangan di Kampung Perlok. Juga penceritaan cucu Pawang Nong. Cerita keluarga-keluarga lama di kampung-kampung tradisional Jerantut. WZWH amat bertuah berjumpa dengan cucu Pawang Nong yang sebenarnya mengenali asal usul keluarga WZWH.
1 comment:
Carilah perbezaan antara akuakultur dengan nuklear. Masing2 dibina dengan kepintaran manusia...
Post a Comment